SEMUT di kedai milik John. FOTO AFP
SEMUT di kedai milik John. FOTO AFP
AFP

Singapura: Kebiasaannya semut menjadi makhluk perosak dan kerap dimusnahkan, tetapi lain dengan lelaki ini yang menjadikan serangga itu sebagai binatang peliharaan dengan membiarkan semut berkeliaran dalam kotak lut sinar di luar kedainya.

John Ye, 41, memelihara serangga berkaki enam itu yang dianggap 'penyayang' selepas menerima beberapa hadiah daripada kakak iparnya.

Dia kemudian berhenti kerja sebagai pengedar barangan elektronik untuk membuka kedai dinamakan Just Ants pada Januari.

"Saya ingin memiliki tempat di mana peminat semut dapat berkumpul dan berkongsi pandangan serta menjaga semut mereka," kata John.

Kedai itu menjual sarang semut bersama peralatan khas termasuk vakum genggam mini untuk menangkap serangga dan piring kecil.

Bagaimanapun, dia terpaksa menutup kedainya sementara waktu ketika wabak pandemik Covid-19 awal tahun ini.

Tetapi dia kembali membukanya sejak sekatan dilonggarkan dan perniagaannya semakin maju.

Setakat ini, dia mempunyai 30 dan 40 spesies semut yang diperolehi daripada peminat serangga itu, atau dikumpulkan sendiri dan pasukannya di sekitar Singapura.

Menangkap makhluk kecil itu bukan tugas yang mudah dan ia hanya dapat dilakukan ketika ratu semut dan semut jantan terbang ke udara untuk mencari pasangan.

Ratu semut kemudian dimasukkan ke dalam tabung uji atau tangki kecil, di mana mereka akan melahirkan koloni semut pekerja sekiranya mengawan.

Koleksi peribadi John merangkumi puluhan ribu semut marauder, spesies yang biasa ditemui di seluruh Asia yang disimpan dalam kotak besar.

Jumlah peminat semut di Singapura adalah sedikit tetapi dengan kumpulan Facebook sudah mengumpul 4,000 ahli, di mana mereka bertukar pandangan dan nasihat.

Tetapi John mempunyai misi untuk meyakinkan penduduk di Singapura yang makhluk kecil itu adalah binatang peliharaan dan bukan perosak.

Katanya, sebilangan besar rakyat Singapura percaya manusia tidak boleh menyimpan semut kerana ia beracun, kotor, menjijikkan, serta menyebarkan penyakit.

"Kita selalu takut dengan sesuatu yang tidak kita fahami," katanya.

Peminat semut, Wei Sern Lim mengunjungi kedai itu untuk membeli sekotak makanan dan rumah baru untuk 'binatang peliharaan' miliknya.

Individu lain hanya datang untuk melihat sama ada kedai berkenaan benar-benar wujud.

"Menggelikan hati, mereka sebenarnya menjual semut sebagai haiwan peliharaan, saya tidak pernah dengar," kata seorang pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 6:00 AM