GAMBAR HIASAN. FOTO Agensi.
GAMBAR HIASAN. FOTO Agensi.
Agensi

Beijing: Sekumpulan doktor di China dilaporkan mengambil organ mangsa kemalangan kemudian menjualnya di pasaran gelap demi hidup mewah.

Empat daripada enam doktor itu dilaporkan sudah dipenjara di negara itu kerana melakukan jenayah terancang itu.

Portal Mirror Daily melaporkan semua pegawai perubatan itu dilaporkan berpangkat tinggi di hospital kerajaan di Bengpu meyakinkan waris si mati untuk menandatangani perjanjian pendermaan organ rasmi palsu.

Mereka kemudian mengeluarkan hati dan buah pinggang mangsa dalam ambulans, menurut artikel di The Paper, sebuah laman web berita yang berpusat di Shanghai.

Seramai 11 mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya atau pendarahan otak dikeluarkan organ mereka sebelum dijual melalui hospital untuk mendapatkan keuntungan.

Tertuduh dilaporkan disabitkan dengan kesalahan merosakkan mayat dan dipenjara antara 10 dan 28 bulan.

Laporan itu mendakwa, pembedahan diketuai dua pakar perubatan dikenali Huang Xinli dan Lu Sen.

Mereka sebelum ini bekerja dalam bidang pendermaan organ untuk hospital masing-masing.

Selepas organ dikeluarkan dalam ambulans, Huang, pakar perubatan di Drum Tower Hospital Nanjing kemudian akan membawanya ke pelbagai hospital.

Jenayah itu terbongkar ketika seorang waris, Shi Xianglin mendakwa hati dan buah pinggang ibunya 'didermakan' tanpa persetujuannya.

Dia menyedari sesuatu mencurigakan apabila tidak dapat menemui nama ibunya dalam daftar penderma organ rasmi negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:01 AM