PROSES pemindahan ‘Kaavan’. FOTO EPA
PROSES pemindahan ‘Kaavan’. FOTO EPA
Agensi

Islamabad: Selepas pelbagai kontroversi, satu-satunya gajah Asia di Pakistan dihantar ke Kemboja, pada Isnin, untuk menghabiskan sisa hidupnya di negara itu.

Penghantaran pulang haiwan diberi nama 'Kaavan', yang mendapat jolokan 'gajah paling sepi dunia' itu menggunakan pesawat khas Rusia dari pangkalan tentera udara, lapor portal Yeni Safak.

Detik haiwan itu berlepas menyentuh emosi pencinta haiwan, artis dan pegawai kerajaan yang menyaksikan gajah kesepian itu meninggalkan ibu kota ke pusat perlindungan hidupan liar di Kemboja.

Keberangkatan 'Kaavan' ke Kemboja sepatutnya dijadualkan petang Ahad, namun ditunda beberapa jam sehingga pagi Isnin berikutan beberapa sebab teknikal yang tidak dinyatakan.

Ikon pop Amerika Syarikat, Cher, yang aktif membantu mempercepatkan kempen penempatan Kaavan, tiba di Islamabad pada Jumaat untuk melihat gajah itu terlebih dulu.

Wanita itu kemudiannya berlepas ke Kemboja pada Ahad bersama pegawai hidupan liar lain untuk menyambut ketibaan 'Kaavan'.

Pasukan doktor haiwan turut menemani gajah betina berusia 36 tahun itu yang akan menghabiskan sisa hidupnya di Siem Reap di barat laut Kemboja.

Rakaman disiarkan agensi penyiaran tempatan, Geo News menunjukkan, petugas hidupan liar Zoo Islamabad menggunakan tali untuk menarik 'Kaavan' dalam peti logam yang disediakan khas sebelum mengalihkan haiwan itu ke pangkalan udara.

Pada Mei lalu, Mahkamah Pakistan memerintahkan pihak berkuasa hidupan liar membebaskan dan menempatkan 'Kaavan', yang kesepian selepas kematian pasangannya, 'Saheli' pada 2012.

'Kaavan' dihadiahkan kerajaan Sri Lanka pada 1985 ketika usianya setahun, menjadi subjek kempen berprofil tinggi selepas didedahkan haiwan itu dirantai beberapa jam sehari.

Pegawai hidupan liar mendakwa, tingkah laku Kaavan yang semakin ganas terutama selepas kematian pasangannya menyebabkannya dirantai.

Gambar 'Kaavan' yang dikurung menimbulkan kemarahan sehingga ramai pihak termasuk Cher sendiri yang mahukan pembebasan haiwan itu ke tempat perlindungan yang lebih sesuai.

Ia berikutan masalah kesihatannya semakin merosot.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 4:06 PM