CHANG’E-5 mendarat di bulan. FOTO AFP/ Xinhua
CHANG’E-5 mendarat di bulan. FOTO AFP/ Xinhua
AFP

Beijing: Kapal angkasa lepas China memulakan kerja penggerudian di bulan, dalam usaha untuk membawa pulang sampel tanah itu ke bumi.

Kerja itu dimulakan selepas beberapa jam kapal berkenaan mendarat di bulan.

Ia bakal menjadi usaha pertama seumpamanya yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak, dalam tempoh empat dekad.

Beijing sebelum ini membelanjakan berbilion bagi melaksanakan program angkasa lepas kendalian pasukan tenteranya.

Negara itu menyasarkan untuk membina stesen angkasa lepasnya menjelang 2022 dan menghantar angkasawan ke bulan.

Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan China, kapal angkasa lepas Chang'e-5 mendarat di satu bahagian di bulan pada Selasa dan ia kini dalam proses untuk mengumpul sampel.

Misi itu bagi mengumpul batu dan tanah di bulan bagi membantu saintis memahami mengenai asal-usul bulan, formasi dan aktiviti gunung berapi.

Jika misi itu berjaya, China adalah negara ketiga selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang berjaya membawa pulang sampel dari bulan pada 1960-an dan 1970-an.

Kali terakhir usaha itu dilakukan adalah menerusi misi kapal angkasa lepas Kesatuan Soviet pada 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 1:09 PM