DR Dicky Budiman. FOTO The Columnist
DR Dicky Budiman. FOTO The Columnist
Agensi

Jakarta: Vaksin bukanlah penyelesaian ajaib bagi mengakhiri pandemik Covid-19 namun ia mampu membantu mengurangkan impak yang teruk.

Ahli epidemiologi Indonesia, Dr Dicky Budiman yang juga penyelidik di Pusat Alam Sekitar dan Kesihatan Populasi Griffith (CEPH) Australia berkata, wujud pemahaman yang keliru berkaitan vaksinasi dalam kalangan masyarakat.

"Vaksin hanya satu cara membangun kekebalan individu (terhadap penyakit) dan perlindungan masyarakat.

"Harus diketahui, tidak ada vaksin sempurna memberi perlindungan. Sebahagian kecil penerima vaksin masih berisiko dijangkiti Covid-19 namun impaknya mungkin tidak terlalu parah," katanya seperti dilaporkan Tribunnews.

Menurutnya, sehingga kini, tidak ada pandemik yang berjaya dihentikan dengan vaksin semata-mata.

"Sebagai contoh, penyakit cacar di mana walaupun ada vaksin mencegahnya, ia memerlukan tempoh hingga 200 tahun untuk betul-betul berakhir.

"Begitu juga polio yang mengambil masa 50 tahun," katanya.

Menurutnya, program vaksinasi untuk seluruh penduduk Indonesia mungkin memerlukan tempoh hingga setahun atau lebih.

"Walaupun sudah menerima vaksin, kewajiban meneruskan amalan kendiri tetap perlu dilakukan kerana ada sebahagian masyarakat tidak dilindungi vaksin berikutan masalah kesihatan," katanya.

Dicky berkata, vaksin lebih mudah berkesan sekiranya keluk pandemik dilandaikan.

"Jika keluk terus meningkat, ia mungkin tidak berkesan atau mengambil masa lama menghasilkan imuniti berkelompok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 7:15 AM