ANGGOTA polis Marin dan forensik membawa barang-barang yang dijumpai dari penerbangan Sriwijaya Air SJ182 di pelabuhan Tanjung Priok. FOTO AFP
ANGGOTA polis Marin dan forensik membawa barang-barang yang dijumpai dari penerbangan Sriwijaya Air SJ182 di pelabuhan Tanjung Priok. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Selepas tiga hari, Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (Basarnas) sudah menyerahkan 74 beg dipercayai mengandungi anggota badan mangsa nahas pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di perairan berhampiran ibu negara Indonesia itu, Sabtu lalu.

"Ini menunjukkan kita sudah menemui sejumlah mayat," kata Ketua Basarnas, Bagus Puruhit.

Media tempatan Indonesia melaporkan pasukan Basarnas turut menemui 16 serpihan kecil serta 24 serpihan besar disyaki daripada bangkai pesawat.

Bagus berkata, pihaknya menyerahkan mayat mangsa kepada Badan Siasatan Mangsa Bencana, manakala serpihan pesawat pula diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT).

Operasi SAR itu membabitkan lebih 3,600 anggota pelbagai agensi, 13 helikopter, 54 kapal dan lebih 20 bot kecil.

Pesawat berkenaan terhempas pada kedalaman kira-kira 23 meter di dalam laut.

Media sebelum ini melaporkan pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang termasuk anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta, menuju Pontianak, pada 2.36 petang, waktu Indonesia Barat.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:31 AM