LIMA hari diperlukan untuk menyiapkan pusat rawatan yang dilengkapi 1,500 bilik. FOTO AFP
LIMA hari diperlukan untuk menyiapkan pusat rawatan yang dilengkapi 1,500 bilik. FOTO AFP
Agensi

Shijiazhuang: Hanya lima hari diperlukan untuk kerja pembinaan fasa pertama pusat rawatan berpusat bagi jangkitan Covid-19 yang dilengkapi 1,500 bilik di ibu kota Hebei.

Pusat kuarantin itu yang dibangunkan di atas tanah sebuah kilang adalah satu daripada antara enam lokasi pusat penempatan dan rawatan sementara kes jangkitan Covid-19 di bandar Nangong.

Difahamkan, sebanyak 6,500 bilik lagi akan dibina di bandar itu dalam jangka masa terdekat sebagai persediaan mengekang penularan Covid-19.

Setiap bilik akan dilengkapi katil, pemanas elektrik, tandas, sinki dan kemudahan jalur lebar (WiFi), lapor agensi berita Xinhua.

Sehingga semalam, lebih 800 penduduk yang didapati ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19 sudah dipindahkan di pusat kuarantin yang disediakan.

Projek pembinaan itu dimulakan pada 10 Januari lalu selepas kluster baharu kes Covid-19 dikesan di bandar itu.

Sementara itu, pengurus projek pembinaan pusat kuarantin berkenaan, Qu Peicheng, berkata dianggarkan 300 pekerja bekerja secara dua syif siang dan malam bagi memastikan kemudahan itu siap dalam kadar segera.

"Tangan kami kerap kali kebas kerana bekerja dalam keadaan suhu yang terlalu sejuk iaitu di bawah -16 darjah Celsius.

"Kami amat berharap kerja keras ini berbaloi dan penduduk di sini dapat meneruskan kehidupan normal secepat mungkin," katanya.

Satu lagi pusat kuarantin yang sama dengan kapasiti 3,000 bilik akan dibina di sini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:00 AM