Khurelsukh Ukhnaa ketika mengumumkan perletakan jawatannya sebagai perdana menteri. FOTO AFP
Khurelsukh Ukhnaa ketika mengumumkan perletakan jawatannya sebagai perdana menteri. FOTO AFP
AFP

Ulaanbaatar: Perdana Menteri Mongolia, Khurelsukh Ukhnaa pada Khamis meletak jawatan susulan berdepan bantahan dan kemarahan awam terhadap layanan buruk diterima pesakit Covid-19 dan bayi yang baru dilahirkannya.

Bantahan tercetus awal minggu lalu selepas rakaman TV menunjukkan seorang wanita memeluk erat anaknya yang baru lahir ketika dipindahkan ke pusat penyakit berjangkit dengan hanya memakai baju hospital dan selipar walaupun suhu ketika itu mencecah -25 darjah celsius.

Insiden tidak berperikemanusiaan itu mencetuskan demonstrasi disertai 5,000 penunjuk perasaan di luar bangunan kerajaan pada Rabu hingga memaksa ahli politik negara itu membuat permohonan maaf bagi pihak kerajaan.

Kebanyakan daripada mereka turut melaungkan slogan menuntut pengunduran individu yang terbabit dalam kejadian itu.

"Kami membuat kesilapan ketika memindahkan pesakit itu. Saya sangat kesal melihat dia dilayan seperti itu. Sebagai perdana menteri, saya akan bertanggungjawab di atas kejadian itu," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai Suruhanjaya Kecemasan Kebangsaan untuk menangani pandemik Covid-19 dan Menteri Kesihatan serta ketua pusat di hospital berkenaan juga mengumumkan pengunduran daripada jawatan berkenaan.

Susulan pengunduran itu, Presiden Battulga Khaltmaa akan kekal memegang tampuk pemerintahan negara di Asia Tengah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 9:12 AM