X
Kesan darah di lokasi serangan pengebom berani mati yang membunuh 32 individu. FOTO AFP
Kesan darah di lokasi serangan pengebom berani mati yang membunuh 32 individu. FOTO AFP
AFP

Baghdad: Militan IS mendakwa mendalangi dua insiden pengeboman berani mati yang menyebabkan 32 terbunuh dan mencederakan 110 orang di tengah bandar itu pada Khamis.

Insiden itu dilaporkan antara serangan maut yang membabitkan jumlah mangsa paling ramai dalam tempoh tiga tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, dalam insiden pertama, seorang penyerang berani mati dilapor berpura-pura jatuh sakit di pasar yang sibuk dan meletupkan bom dipasang di badannya sebaik dikerumuni orang ramai.

Pasar terbuka itu merupakan tempat jualan pakaian terpakai di gerai-gerai dikunjungi orang ramai selepas sekatan akibat pandemik Covid-19 di seluruh negara ditarik balik.

Jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata, pasukan keselamatan segera menutup kawasan itu apabila darah terpercik pada pakaian yang bertaburan di pasar berkenaan manakala anggota-anggota paramedik sibuk menyelamatkan mangsa kejadian.

Kementerian Kesihatan Iraq berkata, mangsa yang dilaporkan meninggal semuanya disahkan maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang cedera sudah dibenar dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.

Untuk rekod, militan IS mengeluarkan dakwaan bahawa ia bertanggungjawab dalam serangan itu menerusi saluran dalam taliannya selepas tengah malam.

Sementara itu, Presiden Iraq, Barham Saleh mengutuk serangan itu dengan berkata, kerajaannya menentang percubaan seumpama itu bagi menjadikan Iraq tidak stabil.

Insiden itu turut dikutuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Pemangku Setiausaha Negara AS, Daniel Smith berkata, serangan bom itu merupakan satu perbuatan pembunuhan membabitkan ramai mangsa dan satu tindakan jahat.

Manakala Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengeluarkan rayuan kepada penduduk Iraq untuk menolak sebarang percubaan bagi menyebarkan ketakutan dan keganasan yang bertujuan untuk menjejaskan keamanan, kestabilan serta kesatuan.

EU pula menganggap serangan itu sebagai kejam dan mengulangi sokongan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Iraq bagi menangani keganasan dan ekstremis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 11:13 AM