PASANGAN memakai pelitup muka menari di sebuah taman di Wuhan.
PASANGAN memakai pelitup muka menari di sebuah taman di Wuhan.
AFP

Beijing: Setahun lalu nama Wuhan menjadi tiba-tiba popular selepas virus koronavirus baharu pertama kali dikesan di bandar itu.

Ketika itu, virus berkenaan belum lagi dikenali dengan nama rasminya iaitu Covid-19.

Wuhan mengejutkan dunia apabila melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) bagi mengekang penularan virus itu.

Pada Sabtu, warga Wuhan menyambut ulang tahun pertama kemunculan Covid-19 dengan perasaan bangga kerana sudah berjaya pulih daripada wabak berkenaan.

Bagaimanapun, ia disambut dengan penuh berhati-hati memandangkan terdapat kemungkinan virus itu kembali menular.

Kira-kira setahun lalu, 11 juta penduduk bandar itu diperintah berkurung di rumah selama 76 hari akibat pandemik misteri.

Ketika itu, operasi pengangkutan awam dihentikan dan pergerakan ke luar bandar disekat kecuali dengan kebenaran khas, menjadikan bandar itu begitu sunyi.

Satu demi persatu bandar bersebelahan Wuhan di wilayah Hubei itu kemudian turut terjejas menyebabkan pihak berkuasa menguatkuasakan langkah sama.

Covid-19 kemudian menular ke seluruh dunia.

Bagaimanapun, ketika negara lain masih bergelut dengan penularan gelombang baharu, keadaan di Wuhan, ketika ini, adalah sebaliknya.

Bandar itu kembali sibuk dengan lalu lintasnya yang sesak dan orang ramai beriadah di taman awam.

"Saya sangat takut pada tahun lalu, tetapi keadaan sudah banyak berubah selepas pandemik ini dapat dikawal.

"Hidup kembali seperti sebelum ini," kata Wang, 20-an yang melakukan aktiviti rekreasi bersama orang ramai di tepi Sungai Yangtze di Wuhan.

Namun, bencana kesihatan itu masih segar dalam ingatan penduduknya.

Seorang penduduk, Huang Genben, 76, berkata, dia menghabiskan 67 hari di hospital, berjuang melawan penyakit itu dan hampir mati.

"Ketika tidur pada waktu malam, saya tidak pasti sama ada dapat membuka mata lagi, esoknya.

"Kami tahu langkah diambil pihak berkuasa itu adalah betul." katanya.

Setakat ini, Covid-19 sudah menyebabkan lebih dua juta kematian di seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 6:30 AM