ORANG ramai memakai pelitup muka ketika beratur untuk mendapatkan baucar pasar raya yang diedarkan di sebuah kuil di Taipie. FOTO AFP
ORANG ramai memakai pelitup muka ketika beratur untuk mendapatkan baucar pasar raya yang diedarkan di sebuah kuil di Taipie. FOTO AFP
Agensi

Taipie: Seorang lelaki Taiwan didenda 1 juta Dolar Taiwan (kira-kria RM144,000) kerana berkali-kali melanggar perintah kuarantin.

CNN melaporkan media tempatan mendakwa lelaki yang tinggal di Taichung, tengah Taiwan itu menjalani kuarantin selepas pulang dari China, baru-baru ini.

Dia kemudian diperintah menjalani kuarantin di pangsapuri, selama 14 hari.

Bagaimanapun, dia didakwa melanggar perintah itu sebanyak tujuh kali.

Berdasarkan berita TTV, lelaki terbabit meninggalkan pangsapurinya, antara lain, untuk membeli-belah dan membaiki kereta.

Ada jiran yang menegur perbuatannya menyebabkan berlaku pertengkaran.

Datuk Bandar Taichung Lu Shiow-yen menyelar tindakan lelaki itu yang dianggap kesalahan serius dan perlu dihukum dengan setimpal

Hukuman denda adalah tertinggi bagi kesalahan itu di negara itu.

Taiwan dengan 23 juta penduduk adalah antara negara yang berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan hanya 899 kes dan tujuh kematian setakat ini, mengikut data Johns Hopkins University.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 2:04 PM