GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Singapura: Seorang remaja Singapura merancang menyerang dua masjid di bandar raya ini sempena ulang tahun tragedi pembunuhan umat Islam di New Zealand dua tahun lalu.

Malah, dia juga merancang menyiarkan serangan itu secara langsung.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, remaja berusia 16 tahun yang ditahan pada Disember lalu, dikatakan sudah membuat persiapan rapi untuk melakukan serangan pada 15 Mac ini menggunakan parang, dua tahun selepas tragedi di Christchurch oleh penyerang rakyat Australia, Brenton Tarrant.

"Berdasarkan persediaan dan pelan serangan, remaja terbabit terpengaruh dengan tindakan dan manifesto Tarrant.

"Malah remaja lelaki itu sudah menyediakan kenyataan untuk dikeluarkan sebelum serangan bermula, yang dikatakan sama seperti manifesto Tarrant," menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu.

Selain memilih tarikh sama seperti berlakunya tragedi di Christchurch itu, remaja terbabit turut merancang menyiarkan serangan itu secara langsung.

Remaja terbabit yang kini ditahan dan tidak boleh dibicarakan akan melakukan serangan menggunakan parang, selepas gagal membeli senjata api secara dalam talian.

Dia turut mempelajari cara menghasilkan bom, selain merancang untuk membakar masjid.

Pihak berkuasa memberitahu, siasatan awal mendapati remaja itu yang juga penganut Protestant Christian bertindak sendirian malah keluarganya, serta masyarakat sekitar tidak tahu rancangannya untuk melakukan serangan serta tahap kebenciannya terhadap Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 9:23 PM