PETUGAS kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Povisa di Vigo. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Povisa di Vigo. FOTO AFP
AFP

Madrid: Sepanyol muncul negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pertama merekodkan sejuta kes Covid-19, semalam.

Kementerian Kesihatan mengumumkan, negara berkenaan mencatat 16,973 jangkitan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kes Covid-19 mencecah 1,005,295 selepas kes pertama dikesan pada 31 Januari di La Gomera di Kepulauan Canary.

Daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan juga mendedahkan, 34,366 pesakit telah meninggal dunia termasuk 156 kematian baharu.

Menurut penjumlahan AFP berdasarkan data rasmi, Sepanyol yang memiliki 47 juta penduduk menjadi negara keenam di dunia melepasi angka 1 juta selepas Amerika Syarikat (AS), India, Brazil, Russia dan Argentina.

Bagaimanapun, angka korban dalam gelombang baharu wabak itu menurun berbanding akhir Mac dan April lalu yang mencatatkan lebih 800 kematian sehari.

Namun Menteri Kesihatan, Salvador Illa berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah baharu bagi membendung penularan wabak itu, termasuk perintah berkurung pada waktu malam seperti yang dilaksanakan di Perancis dan Belgium, baru-baru ini.

Ia berikutan amaran petugas kesihatan berhubung keupayaan hospital untuk terus menampung lonjakan kes Covid-19.

"Kita sedang berdepan waktu yang sangat mencabar. Musim sejuk bakal tiba, gelombang kedua bukan lagi satu ancaman, ia adalah satu hakikat di seluruh Eropah," katanya pada sidang media, kelmarin.

Katanya, kerajaan 'terbuka kepada segala langkah' bagi mengekang virus itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:44 AM