Kevin bersama keluarga ketika bersiar di pantai Gwithian, lokasi enam sekeluarga jatuh ke laut. Foto Agensi
Kevin bersama keluarga ketika bersiar di pantai Gwithian, lokasi enam sekeluarga jatuh ke laut. Foto Agensi
Agensi

London: Seorang lelaki boleh dianggap sebagai wira apabila tindakan pantasnya menyelamatkan enam sekeluarga daripada lemas di Gwithian, Cornwall dekat sini.

Ketika kejadian, dia bersama keluarganya sedang bersiar-siar bersama anjing peliharaannya di pantai sebelum terlihat keluarga itu terjatuh ke laut.

Mereka sebelum itu berdiri di atas batu sebelum dipukul ombak kuat.

The Sun melaporkan, Kevin Viles, 44, berusaha menarik empat dewasa termasuk dua kanak-kanak ke pantai serta memberi bantuan pernafasan kepada seorang daripada mereka.

"Saya dan keluarga berjalan di sekitar pantai untuk melihat rumah api kerana anak saya sedang menyiapkan projek sekolah berkaitan rumah api.

"Kami mengambil video dan pasangan saya, Lisa berlari kepada saya memaklumkan ada orang di laut," katanya.

Menurutnya, enam mangsa itu berada pada kedalaman berbeza dengan dua daripadanya berada di pantai seperti sudah lemas.

Ketika mereka semua bergelut dengan ombak, Kevin menarik mangsa pertama, seorang wanita sementara Lisa memanggil pengawal keselamatan pantai.

"Saya kemudiannya mendapatkan mangsa kedua, seorang kanak-kanak perempuan yang muntah dan tidak sedarkan diri.

"Mereka yang lain juga mahu membantu tetapi nampak begitu keletihan," katanya.

Tidak lama kemudian, pasukan penyelamat tiba di lokasi itu dan memberikan bantuan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 3:00 PM