GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Moscow: Tujuh individu di Yakutia, di sini maut dan dua lagi koma selepas minum cecair pensanitasi tangan.

Kenyataan yang dikeluarkan penyiasat Rusia mendapati, sekumpulan sembilan warga tempatan jatuh sakit di kampung yang terletak di Tomtor selepas minum cecair berkenaan yang dibeli di kedai berhampiran kediaman mereka.

Penyiasat berkata, mereka menjumpai bekas lima liter tanpa label di tempat kejadian.

Hasil ujian mendapati cecair berkenaan mengandungi 69 peratus methanol.

Tiga mangsa pertama meninggal dunia di tempat kejadian, sementara enam yang lain diterbangkan oleh pesawat perubatan ke ibu kota wilayah Yakutsk. Empat meninggal dunia di hospital.

Ketika ini, doktor sedang bertungkus-lumus menyelamatkan dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun dan lelaki (32 tahun), di mana kedua-duanya dalam keadaan koma dan menggunakan alat bantuan pernafasan.

Semalam, pihak berkuasa kesihatan Yakutia mengeluarkan larangan penjualan cecair pensanitasi tangan berasaskan metanol.

Satu kertas siasatan dibuka kerana 'kematian akibat kecuaian'.

Penggunaan pengganti alkohol kerana harganya yang murah bukan perkara baharu di wilayah miskin di Rusia.

Pada tahun 2016, lebih daripada 100 orang diracun di wilayah Irkutsk di Siberia selepas memakan losyen mandi dengan 'hawthorn', dan 78 daripadanya mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 9:31 PM