SOUMYA Swaminathan. FOTO AFP
SOUMYA Swaminathan. FOTO AFP
AFP

Geneva: Imuniti kelompok sukar dicapai tahun ini walaupun vaksin Covid-19 dihasilkan secara besar-besaran, kata pakar sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan berkata, penghasilan dan pengagihan vaksin akan mengambil tempoh yang panjang dan sukar bagi mengekang penularan virus terbabit tahun ini.

"Kita tidak mampu mencapai tahap imuniti kelompok tahun ini. Oleh sebab itu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan amalan selalu membasuh tangan amat penting," katanya.

Selain itu, kumpulan pakar turut melahirkan kebimbangan berhubung penularan varian baharu virus terbabit seperti dikesan di Britain dan Afrika Selatan selain yang terbaru di Jepun.

Varian baharu virus itu dikesan mampu merebak dan menjangkiti individu dengan lebih cepat.

Kadar jangkitan di seluruh dunia pula terus meningkat dengan ketara terutama di Eropah, meskipun banyak negara sudah melaksanakan sekatan ketika vaksin virus itu sedang diagihkan.

Syarikat Jerman, BioNTech yang bekerjasama dengan Pfizer dalam menghasilkan vaksin pertama diluluskan di Barat, memaklumkan mereka boleh meningkatkan pengeluaran vaksin terbabit daripada 1.3 bilion kepada dua bilion dos.

Setakat ini, Covid-19 sudah menjangkiti 91.4 juta orang termasuk mengorbankan 1.96 juta nyawa di 219 negara di seluruh dunia.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:42 PM