DARI kiri Dr Rajbans, Dr Ogan, Steve Yap, Carnohan dan Abdul Aziz pada majlis pelancaran Neesa inovasi penjagaan pendengaran terkini di Malaysia.
ALAT bantuan pendengaran menjadikan kehidupan lebih sempurna dan mudah.
Siti Zarinah Sahib

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan secara umumnya, hilang upaya pendengaran dalam kalangan dewasa terutama berusia 65 tahun ke atas tertinggi ialah di Asia Tenggara iaitu 48 peratus dan Asia Pasifik 43.5 peratus. Di peringkat dunia pula terdapat 360 juta individu yang mengalami masalah pendengaran manakala di Malaysia, 30 peratus daripada 3.8 juta warga emas mempunyai tahap masalah pendengaran tertentu.

Gaya hidup moden mendedahkan orang ramai terutama warga emas kepada pencemaran bunyi secara berterusan sama ada di tempat kerja atau ketika menjalani aktiviti rekreasi. Pada 2015, WHO melaporkan 1.1 bilion remaja dan golongan muda berisiko mengalami masalah pendengaran disebabkan tahap bunyi yang tidak selamat seperti pendedahan berterusan kepada alat audio peribadi, mengunjungi kelab, menonton konsert dan tempat kerja yang terlalu bising.

Doktor kesihatan pekerjaan Dr Abed Onn menyatakan masalah pendengaran adalah antara tiga penyakit berpunca daripada pekerjaan utama di Malaysia selain sakit bahagian bawah belakang dan masalah otot lengan atas.

Menurut Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia Datuk Dr Rajbans Singh, setiap orang inginkan kehidupan yang sihat terutama menjelang usia emas. Namun peningkatan usia akan menyebabkan individu kehilangan upaya fizikal seperti tidak lagi kuat berjalan, badan semakin membongkok, tidak dapat mengunyah dan menghadam, mempunyai daya ingatan yang kurang, penglihatan kurang jelas serta pendengaran yang semakin menurun.

“Semua ini akan dilalui oleh mereka yang lanjut usia. Walaupun masalah pendengaran dianggap sesuatu yang tidak serius atau diambil berat tetapi ia sebenarnya menjejaskan fungsi seharian, kurang komunikasi seterusnya menyebabkan hubungan dengan orang tersayang dan keluarga menjadi kurang berkesan.

“Akibatnya ramai warga emas yang mengalami masalah pendengaran berasa tidak dapat berhubung, semakin terasing dan cenderung ke arah kemurungan. Dalam erti kata lain, pendengaran yang baik akan menyebabkan kualiti kehidupannya menjadi semakin baik,” kata Dr Rajbans.

Katanya, mereka yang mampu mendengar dengan baik tentunya dapat meluahkan masalah dan perasaan mengenai apa mereka lalui seharian. Luahan rasa ini menjadikan kehidupan lebih bermakna bersama orang tersayang.

Menyedari pentingnya deria pendengaran, Nessa (penyelesaian penjagaan pendengaran) melancarkan alat pengenalan bantuan khas untuk pendengaran sebagai melengkapi gaya hidup moden.

Bertemakan ‘Mendengar Lebih Baik. Hidup Lebih Baik’, Nessa mengambil peluang mengetengahkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan kesedaran mengenai hilang upaya pendengaran sama ada untuk warga emas atau golongan muda kepada orang ramai.

Pada majlis yang sama Nessa turut mendedahkan beberapa penemuan daripada kaji selidik kebangsaan yang dijalankan sejak Januari lalu. Menurut kajian, 65 peratus tidak pernah melakukan ujian pendengaran dan mereka mengakui tiga masalah utama pendengaran yang dialami rakyat Malaysia ialah dengung di dalam telinga, pening dan sukar mendengar.

Kajian ke atas mereka yang mempunyai masalah pendengaran pula menunjukkan 90 peratus rakyat Malaysia tidak menggunakan alat bantuan pendengaran meskipun berhadapan dengan kesan fizikal dan psikologi dalam kehidupan mereka. Ramai beranggapan menggunakan alat bantuan pendengaran bermaksud seseorang itu ‘tua’ dan ‘kurang upaya”.

Ada juga mengandaikan masalah pendengaran sebahagian daripada penuaan oleh itu, mereka tidak mengendahkannya. Malah sesetengah pula membeli alat pembesar suara yang memburukkan lagi masalah pendengaran mereka.

PENGARUHI KESIHATAN OTAK

Menurut Pemangku Pegawai Perubatan Nessa Dr Ogan Gurel, yang juga pakar teknologi dan masa hadapan perubatan, menjelaskan teknologi penjagaan kesihatan pada masa hadapan akan memberi penekanan kepada sains kesihatan yang mengetengahkan penggunaan sains, teknologi, kejuruteraan atau matematik dalam penyediaan penjagaan kesihatan.

“Kesihatan pendengaran sangat penting kerana akan mempengaruhi kesihatan otak secara keseluruhan. Dengan menjaga pendengaran, sama ada mengelak bunyi kuat yang boleh menyebabkan masalah pendengaran atau menggunakan alat pendengaran, ia mampu mengubah kedua-duanya,” katanya.

Pandangan Dr Ogan mengenai hubungan antara masalah pendengaran dan keupayaan fungsi otak itu dibuktikan menerusi satu kajian oleh John Hopkins yang mendapati masalah pendengaran dikaitkan dengan pengurangan kognitif dalam kalangan dewasa terutama yang lebih berusia.

“Mereka yang mempunyai masalah pendengaran lebih cenderung menghidap dementia dalam jangka waktu tertentu berbanding golongan yang mengekalkan tahap pendengaran yang baik,” kata Dr Ogan.

Profesor Neurosains Universiti Brandeis, Dr Arthur Wingfield yang mengkaji penuaan kognitif dan hubungan di antara daya ingatan dan ketajaman pendengaran berkata, masalah pendengaran yang tidak ditangani bukan saja menjejaskan keupayaan seseorang untuk mendengar dengan tepat, malah ia juga menjejaskan fungsi kognitif pada tahap lebih tinggi.

CERIAKAN KEHIDUPAN

Steve Yap, pelakon dan juga model menghidap tinnitus (telinga berdesing) sejak 10 tahun lalu. Keadaan ini menjejaskan kerjaya dan kehidupan sehariannya. Ibu Steve turut mengalami masalah pendengaran dan dementia. Steve mendapati sukar baginya berkomunikasi dengan ibunya dan akhirnya, kedua-dua mereka rasa kecewa.

Namun keadaan berubah menjadi lebih baik selepas ibunya mula menggunakan alat bantuan pendengaran, yang membantu untuk meningkatkan komunikasi antara ibu dan anak serta mengembalikan keceriaan keluarga mereka.

Beberapa pengguna termasuk Presiden Skuad 69 PDRM, Abdul Aziz Bakar turut berkongsi pengalaman yang sama selepas menggunakan alat bantuan pendengaran.

“Sebelum ini saya menghadapi masalah pendengaran selepas berkhidmat dalam Skuad 69. Namun selepas menggunakan alat bantuan pendengaran, kehidupan menjadi semakin ceria kerana saya tidak perlu lagi bercakap terlalu kuat dengan isteri,” katanya.

Menurut Pengasas Neesa Olivier Carnohan, alat bantuan pendengaran umpama cermin mata. Seharusnya ia dilihat sebagai ‘sistem sokongan’ bagi membantu melancarkan kesihatan dan kualiti pendengaran. Masalah pendengaran adalah sebahagian daripada keadaan semula jadi kehidupan dan tidak dapat dielakkan apabila usia kian meningkat.

Bagaimanapun, seseorang itu mestilah menjalani pemeriksaan setiap tahun bagi mengenal pasti masalah pendengaran. Menerusi peralatan pendengaran bertaraf dunia, Neesa yang dihasilkan di Denmark, direka bentuk bersama aplikasi Apple khas untuk penggunaan televisyen dan iPhone.

Ia lebih ringan dan selesa, seberat tiga gram dan sekecil wang syiling 10 sen. Ia hampir tidak kelihatan apabila dipakai dan akan menangani sebarang stigma bagi mereka yang enggan menggunakan alat bantuan pendengaran.

Selain menyedia penjagaan pendengaran yang pertama, ia turut menawarkan pengujian dan pemasangan dari mana-mana lokasi. Pelanggan boleh berhubung dengan pakar audio dari rumah dan boleh mendapatkan nasihat daripada Penasihat Pendengaran & Gaya Hidup Neesa. Ini menjadikan keadaan lebih mudah, menyeronokkan dan selesa untuk pelanggan. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.nessa.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 12:45 PM