IBU menyusu anak masih boleh hamil kerana tahap kesuburan sukar diramal.
Intan Mas Ayu Shahimi


Ramai wanita beranggapan menyusukan bayi secara eksklusif boleh membina perlindungan semula jadi terhadap risiko hamil. Dalam erti kata paling mudah, ramai menyangka penyusuan bayi ialah kaedah merancang terbaik untuk menjarakkan kehamilan.

Justeru, kenapa ada wanita yang masih dikejutkan dengan berita kehamilan pada usia bayi baru mencecah enam bulan? Berapa ramai pula yang mengandung tanpa sedar dalam tempoh dua tahun menyusukan si kecil?

Begitu juga halnya dengan wanita yang merancang untuk hamil, tetapi terikat dengan komitmen penyusuan. Ketika ini, pelbagai mitos mengenai kesuburan dan penyusuan boleh mempengaruhi pemikiran. Tambahan pula melihat kemampuan wanita lain untuk hamil walaupun dalam tempoh penyusuan, tentunya terdetik pelbagai persoalan mengenai tahap kesuburan diri sendiri.

Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata, tanggungjawab menyusu biasanya akan menyebabkan seseorang itu kurang subur, bukannya tidak subur.

“Kita harus faham perbezaan antara kurang subur dan tidak subur. Apabila wanita itu kurang subur, bermakna dia tidak tahu waktu subur yang sebenar. Bagi wanita yang haidnya teratur, dia cenderung mempunyai waktu subur setiap bulan.

“Tetapi apabila ibu menyusukan bayi ini tidak datang haid secara teratur, ini bermakna dia tidak mencapai waktu subur pada setiap bulan, sebaliknya boleh subur pada bila-bila masa. Contohnya, dalam tempoh enam bulan, ibu ini mungkin akan melalui satu atau dua kali waktu subur. Berbanding mereka yang datang haid secara teratur setiap bulan selama enam bulan, mereka akan melalui enam kali waktu subur.

“Bagitupun, bagi ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif, bayi tidak diberi air kosong atau apa saja minuman selain susu ibu dan wanita itu tidak datang haid, konsep merancang kehamilan seperti ini hanya boleh dipegang dalam tempoh enam bulan saja. Selepas itu, mereka harus memikirkan kaedah merancang yang lain antaranya mengambil pil atau alat pencegah hamil,” katanya.

Menurut Dr Nurhazinat, ada juga ibu yang menyusukan bayi dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran tetapi masih datang haid setiap bulan. Keadaan itu menuntut wanita yang merancang jarak kehamilan supaya lebih berhati-hati.

“Jika ibu menyusu bayi secara eksklusif, tetapi masih datang haid setiap bulan pada enam bulan pertama kelahiran, mereka tidak boleh menggunakan konsep ini. Begitu juga dengan ibu yang menyusukan bayi dengan kaedah ‘campur’ iaitu memberi susu formula, air kosong dan sebagainya. Jangan sangka mereka tidak datang haid kerana tidak subur. Itu salah.

“Mereka boleh subur pada bila-bila masa walaupun mengalami haid tidak teratur. Proses ovulasi masih berlaku, cuma dinding rahim saja tidak cukup tebal untuk menyebabkan haid.

“Jadi, kalau seorang ibu itu menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan, kemudian mula dicampur dengan makanan pejal, susu formula, bijirin, buah atau sayuran dan masih tidak datang haid dalam tempoh setahun ke dua tahun, bukan bermakna dia tidak subur. Dia masih boleh subur, tetapi kurang berbanding wanita normal lain.

“Justeru, seandainya wanita itu merancang untuk tidak hamil dalam tempoh terdekat, dia harus membuat keputusan sama ada mengambil pil, suntikan atau alat pencegah kehamilan,” katanya.

Jelas Dr Nurhazinat, sehingga kini masih tiada garis panduan untuk ibu menyusu yang mengalami haid tidak teratur mengesan simptom kehamilan awal.

“Ibu menyusu yang tidak datang haid dalam tempoh setahun ke dua tahun adalah normal. Jika mereka mahu merancang jarak kehamilan, saya cadangkan supaya mereka menggunakan alat bantuan pencegahan kehamilan. Tidak semestinya pil, tetapi boleh juga menggunakan kondom atau kaedah pencegahan tertentu.

“Ini kerana tiada tanda khusus untuk setiap kehamilan kecuali alahan, mual dan muntah,” katanya.

MENYUSU DAN MERANCANG UNTUK HAMIL

Keadaan ini berlawanan dengan kehamilan tidak dirancang bagi ibu yang menyusukan bayi. Kata Dr Nurhazinat, ramai ibu yang bertanya, mengapa mereka sukar untuk hamil dalam tempoh penyusuan walaupun tidak menggunakan sebarang alat pencegah kehamilan.

“Kelompok ini biasanya menyusukan bayi dengan konsep campur (makanan dan susu formula), datang haid secara teratur dan memang merancang untuk hamil, namun sukar mengandung.

“Untuk kes sebegini, digalakkan supaya berbincang dengan doktor. Kebiasaannya, kami mencadangkan supaya mereka menghentikan penyusuan sebelum merancang kehamilan. Perkara ini memang bercanggah.

“Kita mungkin sangka kita kurang subur, tetapi sebenarnya masih boleh mengandung. Tetapi apabila terikat dengan penyusuan, susah untuk hamil, kami akan minta hentikan penyusuan untuk mengimbangi semula hormon. Perlu diketahui sukar hamil dalam situasi ini berlaku bukan kerana masalah kesuburan, tetapi hanya disebabkan waktu subur yang berbeza daripada biasa,” katanya.

Tambah Dr Nurhazinat, sekalipun penyusuan bayi digalakkan sehingga umur dua tahun, namun ia masih bergantung kepada usia ibu. Jika ibu berumur hampir 40 tahun dan mahu hamil anak seterusnya, mungkin tempoh penyusuan pendek sudah memadai.

“Bagi ibu yang masih menyusukan bayi berusia dua tahun, mereka juga ada dua pilihan sama ada meneruskan penyusuan dan melihat kitaran haid. Jika haid normal, dia perlu memastikan sama ada penyusuannya mengganggu rancangan untuk hamil atau sebaliknya.

“Kalau sukar (hamil), dia boleh berhenti menyusukan bayi. Begitupun, ada juga ibu yang tidak berdepan masalah walaupun menyusukan bayi mereka. Dia boleh mengandung dan meneruskan rutin penyusuan setiap hari. Jadi, kalau semuanya terkawal, ibu boleh meneruskan penyusuan bayi mengikut nasihat serta panduan daripada doktor.

“Maksudnya, doktor akan memberi nasihat untuk memastikan ibu cukup air, mengamalkan diet seimbang, cukup zat untuk penyusuan dan mengandung pada waktu sama. Ini penting kerana ibu menyusukan bayi yang mengandung tetapi tidak cukup zat, ia boleh mendatangkan risiko pada kandungan,” katanya.

RISIKO KONTRAKSI

Mengambil kira amalan kebanyakan doktor yang menasihatkan golongan ibu supaya menghentikan penyusuan ketika hamil, Dr Nurhazinat berkata, ia bergantung kepada keadaan tubuh wanita terbabit.

“Ada yang kata ramai doktor tidak menggalakkan penyusuan ketika mengandung. Bagi saya, jika penyusuan lancar dan kandungan sihat, dia boleh teruskan rutin sehingga tempoh tertentu. Tetapi jika menjejaskan kandungan, ibu perlu berhenti menyusukan bayi.

“Ini kerana ketika penyusuan, rahim ibu akan mengalami kontraksi. Walaupun tidak ada kajian spesifik, doktor berpengalaman berpendapat, penyusuan ketika hamil boleh meningkatkan risiko keguguran berbanding mereka yang tidak menyusukan bayi.

“Kecuali jika kita menjaga pemakanan dan penyusuan dengan baik, kemudian disahkan hamil dan doktor membekalkan ubat hormon, kemungkinan besar kandungan lancar dan sihat. Namun kalau kontraksi dan pendarahan tidak mampu dikawal dengan ubat, kami akan minta ibu menghentikan penyusuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 4:00 PM