DR Hilmi (tengah) berbincang mengenai minuman susu berkultur yang baik untuk sistem penghadaman.
Siti Nadirah Hafidzin

Ramai yang tidak menyedari warna dan keadaan najis mampu menterjemahkan tahap kesihatan sebenar. Biarpun nampak jijik, itulah kenyataan yang dapat membantu mengetahui apakah masalah sedang dihadapi.

Tidak hairanlah disebabkan kurang kesedaran mengenai perkara itu, kanser sistem penghadaman seakan-akan sudah menjadi penyakit biasa di negara ini. Sebenarnya ia boleh dipantau dengan memerhatikan najis anda sendiri.

Terdapat beberapa kriteria yang menunjukkan sama ada najis itu sihat atau tidak. Bagi najis yang menunjukkan sistem penghadaman anda sihat, ia seharusnya berdiameter kira-kira dua hingga lima sentimeter, sepanjang empat hingga lima sentimeter dan berbentuk sosej.

Sebaliknya, jika memiliki ciri seperti lembik, berair, berdarah, kecil dan memanjang seperti pensel atau reben, ia berkemungkinan menunjukkan terdapat halangan usus, tumor atau lebih teruk lagi, kanser kolon.

Kesihatan penghadaman penting

Sistem penghadaman yang sentiasa dijaga mampu memberikan tahap kesihatan yang baik sekali gus mengelak berlaku risiko kanser.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, rakyat Malaysia diseru memelihara kesihatan penghadaman dengan sebaik-baiknya.

“Bersempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2017, saya berharap sambutan ini menjadi peringatan kepada setiap rakyat Malaysia mengenai kepentingan menjaga sistem penghadaman.

“Fakta Kesihatan 2016 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan penyakit sistem penghadaman adalah punca keempat kemasukan ke hospital swasta, ketujuh kemasukan ke hospital kerajaan dan punca keenam kematian di kedua-dua hospital,” katanya pada Sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2017 di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam laporan tahunan 2011 dikeluarkan KKM, kanser kolorektum didedahkan sebagai kanser kedua paling lazim dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ia menjelaskan 15.7 peratus daripada kanser kolorektum berlaku dalam kalangan lelaki dan 10.4 peratus kanser dalam kalangan wanita. Kanser didapati berlaku pada semua peringkat usia tetapi risikonya meningkat mengikut usia dan didapati selepas usia 60 tahun, kadar kanser dalam kalangan lelaki lebih tinggi,” ujarnya.

Keberkesanan probiotik

Hasil penemuan satu kajian klinikal oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendedahkan pengambilan minuman susu berkultur yang mengandungi Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus casei mempunyai pelbagai faedah kesihatan.

Kajian selama setahun yang dipelopori PPUKM adalah kajian terulung dijalankan di negara ini dan menggunakan rakyat Malaysia sebagai sampel uji kaji penyelidikan berlatarbelakangkan amalan diet dan gaya hidup rakyat tempatan.

Menurut Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, kajian yang dilakukan membantu sains mencari jawapan kepada banyak persoalan mengenai fungsi usus dan bagaimana ia bekerja.

“Dengan itu, kami merancang meluaskan peranan dalam membantu membina hubungan rapat di antara institusi pengajian dan industri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Malaysia Milk Sdn Bhd Michael Ong berkata, pihaknya sentiasa menyokong langkah pencegahan.

“Tahun ini kami berpuas hati dengan kerjasama rapat bersama pakar PPUKM dan berjaya mendapat kefahaman yang lebih baik khususnya mengenai sistem penghadaman yang sihat.

“Kajian itu juga membuktikan keberkesanan probitotik di dalam minuman susu berkultur yang membuatkan kami sangat teruja,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 1:15 PM