TETAMU memilih tudung idaman mereka.
TETAMU memilih tudung idaman mereka.
MODEL menggayakan corak baru tudung Anaqeen daripada kain Bawal.
MODEL menggayakan corak baru tudung Anaqeen daripada kain Bawal.
Rashidah Ibrahim


‘A Tile for Seville’ anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Ukhwah for Ummah (U4U) bersama Fundacion Mezquita De Seville (FMDS) untuk mengumpulkan dana pembangunan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam di Seville, Sepanyol mendapat sambutan di peringkat antarabangsa apabila video kempen ditayangkan di YouTube dalam kapsul empat minit ditonton netizen dari 33 negara.

Menurut Presiden U4U, Shaharudin Mohamad Dawam, pada mulanya kempen itu bertujuan mendapatkan kutipan daripada penderma dalam negara namun dengan hebahan oleh ikon selebriti menerusi rakaman pengalaman travelog di YouTube, beberapa negara asing seperti Switzerland, Ireland, Perancis, Australia, Amerika dan Arab menyatakan keinginan untuk turut menjayakan kutipan dana bagi pembinaan bangunan ibadat di Seville.

Shaharudin berkata, sejak kempen dimulakan tahun lalu, sebanyak 1.3 juta euro berjaya dikutip, namun banyak lagi diperlukan untuk mencukupkan jumlah sasaran bagi pembinaan iaitu 16 juta Euro (RM76 juta).

Pihak FMDS menyeru umat Islam di beberapa negara di Asia Tenggara agar menyokong rancangan pembangunan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam di Seville.

“Sehubungan itu, kempen kedua dilancarkan tahun ini membabitkan pelantikan tujuh ikon daripada kalangan selebriti, lebih ramai berbanding empat orang dalam kempen pertama tahun lalu,” ujar Shaharudin pada majlis Pelancaran Rasmi Usahasama Anaqeen For Hasmie & A Tile For Seville Campaign.

Beliau berkata, pembangunan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam itu bukan sekadar memenuhi keperluan ibadat bagi warga Muslim yang kian bertambah jumlahnya, bahkan untuk pembangunan Islam secara keseluruhan. Usaha itu bakal menjadi langkah utama dalam mengembalikan kejayaan dan fitrah Islam di bumi Sepanyol yang dulu dikenali dengan nama Andalusia.

Bandar Seville yang menjadi tempat pilihan untuk dibangunkan masjid mempunyai banyak kesan peninggalan sejarah kegemilangan Islam dari zaman Andalusia.

Tambahnya, Andalusia dulunya adalah pusat kegemilangan ilmu yang ketika itu mendahului tamadun lain, ia juga satu-satunya tempat tumpuan cerdik pandai dalam bidang sains dan kejuruteraan.

“Pada zaman itu, masyarakat Barat bertumpu di sana untuk menuntut ilmu sains dan kejuruteraan kerana ketika itu ilmuwan Islam hanya ada di Andalusia. Namun semua itu musnah apabila berkuburnya empayar Islam yang pernah bertapak di situ selama 800 tahun.

“Selama 400 tahun Islam jatuh dan dalam tempoh itu tiada lagi seruan kalimah Allahuakbar, bacaan ayat suci al-Quran atau azan. Sehinggalah pada pertengahan 1970-an, Islam meresap semula dalam masyarakat di situ dan mereka mulai kembali mengenal dan memeluk Islam,” ceritanya.

Pada masa ini 25,000 umat Islam tinggal di Seville tetapi tiada satu pun masjid sempurna melainkan surau kecil yang berpusat di kawasan rumah kedai. Hanya ada satu masjid kecil dibina di Granada oleh kumpulan pertama yang menganut Islam, itu pun mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan dan sememangnya tidak cukup bagi menampung pelbagai kegiatan.

“Walaupun kecil, setiap minggu mereka mengislamkan masyarakat Eropah di masjid itu. Kegiatan keagamaan dan dakwah ternyata giat berkembang. Masjid itu terletak di atas bukit yang cantik mengadap istana Alhambra,” ujar Shaharudin.

Sewaktu berada di sana pada 2014 bersama rombongan dari Malaysia, mereka melihat lima orang mengucap syahadah dalam tempoh dua minggu.

“Projek ini bertujuan membina masjid yang sempurna, bukan untuk solat saja bahkan semua kegiatan keagamaan termasuk pengislaman, pembelajaran agama dan menapis segala tohmahan negatif mengenai Islam,” tambahnya.

Pada tahun ini, U4U bersama FMDS dan Aksi Cepat Tanggap iaitu NGO dari tiga negara - Malaysia, Sepanyol dan Indonesia bekerjasama menjayakan kempen ini.

Kempen A Tile For Seville sedang berlangsung tahun ini membabitkan tujuh selebriti iaitu Irma Hasmie, Faizal Tahir, Suffian Amrin dan Farah Asyikin sebagai ikon dari Malaysia, Elfaeza Ul Haq dari Singapura, Oki Setiana Dewi serta Dewi Sandra dari Indonesia.

Lawatan ke bumi Andalusia sebagai ikon A Tile For Seville Campaign menjadi inspirasi kepada Irma Hasmie menghasilkan corak tudung untuk jualan mengisi tabung kutipan derma pembinaan masjid di Seville.

Dalam usaha itu, butik tudung Hasmie menjalin kerjasama dengan butik Anaqeen milik Rozilah Mohd Tamrin dalam mengeluarkan produk tudung keluaran khas, yang diberikan label Anaqeen for Hasmie.

Irma Hasmie berkata, dalam lawatan ke Sepanyol beliau mencatat pengalaman, ciri dan nilai keindahan yang dilihat di sana.

“Sekembalinya dari jelajah menelusuri jejak Andalusia, terdetik di hati saya untuk mengeluarkan tudung baru. Hasrat itu saya sampaikan kepada Rozilah dalam satu pertemuan secara kebetulan. Beliau bertanyakan reka corak yang hendak dipaparkan, lantas saya teringat kepada imej di Andalusia dan di situlah bermulanya cetusan inspirasi corak yang kemudian melahirkan jenama koleksi, Anaqeen For Hasmie,” ujarnya.

“Saya gembira dengan perkembangan kolaborasi itu, kemudian timbul pula idea untuk bekerjasama dengan U4U, iaitu penganjur A Tile For Seville Campaign, bagi memasarkan tudung itu sambil menderma,” kata Irma.

Menyokong projek kempen itu, Rozilah berkata pihaknya bersetuju 12 koleksi keluaran terbaru tudung Bawal jenama Anaqeen diberikan label Anaqeen For Hasmie yang dijual bermula Ramadan ini.

“Semua rekaan corak koleksi itu berinspirasikan perjalanan dan pengalaman Irma Hasmie ke bumi Andalusia, iaitu ciri unik di Sepanyol. Sebahagian dari hasil jualan tudung itu akan disumbangkan kepada tabung kutipan dana A Tile For Seville Campaign,” kata Rozilah.

Difahamkan koleksi Anaqeen for Hasmie juga akan dijual di Sepanyol dan menjadi satu merchandise dalam web rasmi www.atileforseville.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 11:10 AM