SEBELUM didandan
1. BAHAGIKAN rambut kepada tiga bahagian. Ikat bahagian tengah menggunakan getah pengikat rambut. Ambil satu lagi getah dan ulang ikat. Biarkan sebahagian rambut dalam keadaan terikat separuh.
2. BAHAGIKAN baki rambut di bahagian tengah kepada dua, angkat dan silangkan ke atas. Kemaskan pintal silang menggunakan pin rambut.
3. SELITKAN bakinya ke bahagian dalam rambut yang terikat separuh. Pin supaya kemas.
4. KEMASKAN bahagian kiri dan kanan rambut, ikat menggunakan getah pada jarak dua inci. Bagi wanita yang mempunyai rambut tebal atau keriting, langkah ini boleh digantikan dengan mendandan secara silang.
5. BAHAGIAN kiri dan kanan disilangkan di bawah rambut (bahagian tengah) untuk menyempurnakan bentuk sanggul serta dipin kemas. Bakinya dililit ke bahagian atas dan diselitkan menggunakan pin. Hias dengan bunga di kiri atau kanan sanggul, mengikut kesesuaian.
TAMPIL manis dengan Sanggul Seri Aidilfitri
Intan Mas Ayu Shahimi


Aidilfitri seperti kelazimannya menjadi medan untuk semua mengambil kesempatan bergaya dengan busana dan sepatu menarik. Kalau boleh, semua aksesori harus sepadan dengan gaya, barulah lebaran berganda meriahnya.

Selain fesyen busana terkini, gaya rambut juga perlu diambil berat terutama bagi wanita yang mahu tampil segar berseri pada pagi raya. Berkongsi tip penggayaan rambut terbaik, Pendandan Rambut Profesional D&D Beauty House, Rosbanni Abdullah menunjukkan langkah dandanan ringkas dan mudah.

Boleh digayakan sendiri, Rosbanni berkata, dandanan jenis sanggul ini sesuai untuk wanita yang menggayakan busana tradisi seperti kebaya, kurung riau mahupun kurung moden. Tambah manis jika dandanan ringkas ini diselit kuntuman bunga, cucuk sanggul atau disesuaikan dengan pemakaian aksesori seperti rantai dan dokoh.

Sediakan getah pengikat rambut bersama pin dan ikuti langkah demi langkah mendandan Sanggul Seri Aidilfitri. Jenis sanggul ini tidak memerlukan semburan rambut dan boleh digayakan wanita di semua peringkat usia termasuk kanak-kanak. Bagaimanapun, untuk mereka yang mahu bersanggul dalam tempoh lama, penggunaan semburan rambut mungkin boleh menyelamatkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 10:21 AM