MENYERTAI acara maraton pada 2002.
MENYERTAI acara maraton pada 2002.
SHAHARUDIN menjadi jurulatih persendirian dan juga badan korporat dalam acara larian.
SHAHARUDIN menjadi jurulatih persendirian dan juga badan korporat dalam acara larian.
Siti Zarinah Sahib

Bersenam pada bulan puasa sudah menjadi kebiasaan bagi Shaharudin Hashim sejak menyertai acara maraton pada 2002. Bermula jam 6 petang dia memulakan larian di sekitar Taman Tasik Titiwangsa dan berhenti hanya kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu berbuka.

Sekali-sekala dia menukar lokasi di padang Pulapol Kuala Lumpur terutama pada hari bekerja. Dalam seminggu dia memperuntukkan enam hari untuk berlari dan cuti sehari.

Bagi Shaharudin yang juga anggota polis berpangkat sarjan dan jurulatih olahraga di cawangan Kompleks Sukan Pulapol Kuala Lumpur, tiada istilah penat atau ingin berehat sepanjang Ramadan.

Ini kerana untuk kekal cergas aktiviti senaman juga perlu dilakukan pada bulan puasa. Apa yang membezakannya hanya bentuk senaman dan tempoh ia dilakukan.

Menjelaskan lebih lanjut, dia yang juga Ketua Jurulatih Nike Malaysia mengakui senaman ketika Ramadan berbeza dengan hari biasa. Oleh kerana badan tidak menerima makanan dan minuman pada waktu siang, oleh itu larian dalam tempoh yang panjang membantu mengekalkan stamina.

“Senaman ketika Ramadan memberi kebaikan dari segi mental dan ketahanan fizikal. Ini kerana dalam bulan puasa fizikal dan mental menjadi lemah. Senaman ringan akan ‘memberitahu’ otak badan masih kekal cergas walaupun tidak makan dan minum.

“Untuk itu larian selama 30 hingga 40 minit sudah mencukupi kerana ia membantu menjadikan badan lebih bertenaga. Elak melakukan latihan berat kerana boleh menyebabkan dehidrasi,” katanya.

Sebagai jurulatih dan atlet maraton, dia sering menasihatkan individu yang ingin bersenam sepanjang Ramadan supaya hanya berlari berbanding melakukan aktiviti lain supaya badan mudah menerimanya. Latihan berat hanya akan membuatkan kecederaan dan kekejangan pada otot.

Jaga makan

Senaman saja tidak mencukupi tanpa menjaga pemakanan. Sebagai atlet maraton, amalan pemakanan seimbang sangat penting untuk kekal bertenaga.

Makanan tinggi karbohidrat seperti nasi, roti, ubi kentang, sayuran, nestum, jagung menjadi pilihan ketika berbuka dan bersahur manakala khasiat protein diperoleh daripada ayam, daging dan ikan.

“Pada waktu berbuka puasa saya amalkan minum air masak bersama dua biji kurma dan buah-buahan. Saya memilih epal, anggur, oren, lai atau pic selain makanan sunnah kurma kismis, susu dan air zamzam.

“Saya berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menyambung makan makanan berat seperti nasi, bihun, pasta dan kuih-muih dalam kuantiti sederhana. Selepas itu pergi ke masjid untuk solat Tarawih. Jika lapar saya ambil secawan Nestum sebelum tidur dan bangun sahur sekitar jam 5 pagi dengan menu nasi, roti, buah-buahan serta sayur-sayuran dalam kuantiti sederhana,” jelasnya.

Shaharudin percaya selain makanan semula jadi, makanan tambahan memberikan khasiat yang tidak diperoleh sepenuhnya. Terutama pada bulan puasa pengambilan protein, vitamin C dan multi vitamin sangat penting untuk kekal sihat sepenuhnya.

Berpengalaman dalam sukan maraton sejak 2002, setakat ini dia sudah menyertai hampir 37 pertandingan maraton di seluruh Malaysia. Antara catatan terbaiknya yang pernah dilakukannya adalah di bawah 2 jam 40 minit di Maraton Antarabangsa Melaka Bandaraya Bersejarah pada 2002 dengan catatan masa 2 jam 39 minit dan 50 saat, Maraton Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2005 dan Maraton Antarabangsa Melaka.

Untuk peringkat antarabangsa pula, Maraton Standard Chartered Hong Kong pada 2006 meninggalkan kenangan manis buatnya kerana mendapat tempat ketiga di Asia dan tempat ke-31 bagi keseluruhan (antarabangsa).

Kini Shaharudin sedang mempersiapkan diri untuk menyertai beberapa siri kejohanan maraton di Malaysia dan luar negara selepas Aidilfitri ini.

“Jadual saya selepas Ramadan dan Syawal sangat padat. Saya terbabit dalam jemputan untuk klinik larian, kelas latihan olahraga bersama atlet PDRM dan atlet olahraga Pulapol, latihan persendirian serta memenuhi jemputan sekolah dan syarikat korporat,” katanya yang baru-baru ini menjadi jurulatih untuk larian Coway.

Pada masa sama dia tidak lokek memberikan panduan larian, pemakanan dan penyesuaian kasut kepada pelari lain yang turut sama menyertai acara maraton. Paling membanggakan apabila kumpulan larian Petronas memenangi tempat pertama bagi maraton kategori korporat di bawah bimbingannya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai panduan dan teknik mengenai larian layari Facebook Din Sofia dan Instagram Coach_DINNIKE1975.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 1:12 PM