BEG kepit untuk ibu menyimpan duit raya anak kecil atau barangan peribadi.

Comel dan menarik perhatian. Rekaan beg silang duit raya dan beg kepit yang ringkas untuk kanak-kanak serta ibu ini sememangnya didatangkan khas sempena sambutan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi.

Koleksi beg comel yang ditampilkan oleh Aqma Craft adalah buatan sendiri dan keistimewaan serta kelainannya terletak pada sentuhan khas daripada pemiliknya, Maizatul Ros Akmar Mat Nasir.

“Ada juga rekaan beg silang untuk anak lelaki dan perempuan untuk memudahkan si kecil menyimpan duit raya. Ada motif burung hantu, reben dan Hello Kitty untuk anak perempuan manakala rekaan watak kartun Domo dan misai boleh dijadikan pilihan bagi anak lelaki.

“Malah, ada juga yang mahukan rekaan watak hero digemari dan kami akan cuba memenuhi permintaan pelanggan,” kata Maizatul Ros Akmar.

Menariknya, beg silang berkenaan juga boleh ditambah dengan nama anak agar ia boleh digayakan pada bila-bila masa saja selain Syawal bersama pilihan warna yang ceria.

Koleksi beg edisi terhad berkenaan dihasilkan menggunakan fabrik polyester felt, zip dan tali yang ditambah hiasan reben serta watak pilihan.

Selain itu, himpunan beg kepit pula direka untuk memastikan si kecil menyimpan duit raya mereka dengan baik. Malah, orang dewasa yang gemarkannya juga boleh menggayakannya untuk menyimpan telefon bimbit, powerbank, alat mekap atau barang peribadi yang lain.

Istimewanya, koleksi beg kepit itu membolehkan pengguna yang menempah memilih motif fabrik digemari. Beg ini disiapkan menggunakan kain kapas Jepun dan ditambah dengan pita velcro untuk menutup bukaan bahagian depan beg kepit.

Ia dihiasi reben kain felt dan resin yang comel dengan motif awan, patung anak beruang, ais krim serta pelbagai hiasan menarik yang mencuit hati.

Sementara itu, perniagaan berasaskan produk kraf kreatif itu bermula secara dalam talian di laman blog dan Facebook pada 2011, yang asalnya dilakukan sekadar memenuhi minat untuk mengisi masa lapang.

“Saya suka kongsi minat di blog. Apabila mendapat sambutan daripada rakan penulis blog, saya mula menerima tempahan secara dalam talian.

“Rakan sekelas dan sebilik juga berminat dengan kraftangan yang dihasilkan pada masa itu. Saya siapkan tempahan yang diterima secara sambilan memandangkan ketika itu masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.

“Sejak itu, saya mula bergiat aktif dan memuat naik semua hasil seni saya Facebook,” katanya. -Hajahfarhana Tarmudi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:39 AM