IKAN salmon untuk rambut bersinar
KANDUNGAN biotin dalam telur membantu pertumbuhan rambut.
BAYAM membantu menentang rambut rapuh.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi

Rambut bersinar tanpa masalah kelemumur, kegatalan atau keguguran menjadi impian semua orang tanpa mengira jantina. Malah, kesihatan rambut juga membantu menambah keyakinan diri di samping menyempurnakan penampilan.

Ada beberapa jenis makanan yang dikongsi oleh www.webmd.com yang mungkin boleh membantu kita mengekalkan kesihatan rambut jika diambil dengan cara yang betul. Antaranya:

1. Ikan salmon untuk rambut bersinar

Ikan seperti salmon, sardin dan tuna mengandungi asid lemak yang sihat omega-3. Badan kita tidak mampu menghasilkan asid lemak berkenaan dan kita hanya boleh mendapatkannya melalui makanan atau makanan tambahan.

Omega-3 bukan saja membantu melindungi badan daripada penyakit malah ia diperlukan untuk merangsang pertumbuhan rambut dan menjadikannya bersinar serta lebat.

2. Yogurt Greek untuk pertumbuhan rambut

Yogurt ini mengandungi protein selain bahan untuk membantu melancarkan peredaran darah ke kulit keplda sekali gus menggalakkan pertumbuhan rambut.

Ia dipanggil vitamin B5 (dikenali sebagai asid pantotenik) dan boleh membantu menghalang kehilangan dan kenipisan rambut. Kehadiran asid pantotenik boleh dikenal pasti melalui kandungan label produk penjagaan wajah dan rambut.

3. Bayam untuk menentang rambut rapuh

Sama seperti kebanyakan sayur berdaun hijau, bayam kaya dengan nutrien yang terbaik. Ia mengandungi banyak vitamin A, zat besi tambahan, beta-karotena, folat dan vitamin C.

Kandungan nutrien berkenaan membantu mendapatkan kulit kepala yang sihat, melembapkan rambut agar tidak mudah rapuh. Selain bayam, kale juga antara pilihan terbaik sayuran berdaun hijau yang memberi manfaat kepada kesihatan rambut.

5. Jambu batu untuk mencegah rambut putus

Buah tropika ini kaya dengan kandungan vitamin C. Ia membantu melindungi rambut daripada mudah putu. Secawan jus jambu batu mengandungi 377 miligram vitamin C, lebih empat kali jumlah disarankan pengambilannya setiap hari.

5. Bijirin diperkuat zat besi untuk mencegah keguguran rambut

Kekurangan zat besi boleh meningkatkan risiko keguguran rambut. Menariknya, nutrien penting itu boleh diperoleh dalam sumber bijirin diperkuat, bijian, pasta, kacang soya dan kacang dal.

Sumber daging lembu terutama organ dalaman seperti hati mengandungi banyak zat besi selain sayur berdaun hijau gelap dan kerang-kerangan.

6. Sumber ternakan

Apabila rambut tidak mendapat protein mencukupi, ia akan menjejaskan pertumbuhannya. Disebabkan proses berkenaan terbantut dan keguguran rambut atas faktor usia, ia boleh menyebabkan kita kehilangan rambut. Bagi mendapatkan sumber protein daripada daging, pilih ayam tanpa lemak berbanding daging lembu kerana ia kurang lemak tepu.

7. Keledek

Adakah anda memiliki rambut kering yang menyebabkan ia tidak lagi berkilau? Keledek kaya dengan antioksidan (beta-karotena). Tubuh kita mampu mengubah antioksidan berkenaan kepada vitamin A yang membantu memperbaiki rambut kering dan kusam. Malah, ia juga menggalakkan kelenjar di kulit kepala menghasilkan cecair berminyak (sebum) yang membantu mengekalkan kelembapan rambut. Sumber beta-karotena juga boleh didapati di dalam sayuran berwarna oren seperti lobak merah, labu, mangga dan tembikai wangi.

8. Kayu manis untuk menggalakkan peredaran darah

Tambah rempah ini ke dalam oat, roti, kopi atau masakan. Ini kerana ia membantu menggalakkan peredaran darah di samping membawa oksigen dan nutrien kepada folikel rambut.

9. Telur untuk membantu pertumbuhan rambut

Sumber protein dan zat besi boleh diperoleh apabila kita makan telur. Telur kaya dengan vitamin B yang dipanggil biotin untuk membantu menggalakkan pertumbuhan rambut. Kekurangan vitamin B boleh meningkatkan risiko kehilangan rambut. Biotin juga membantu menguatkan kuku tangan yang rapuh.

10. Tiram

Tiram kaya dengan zink. Apabila kita tidak mengambil mineral ini mencukupi dalam diet, ia boleh menyebabkan kehilangan rambut dan jangan terkejut jika bulu mata juga terjejas.

Sel yang membina rambut bergantung kepada sumber zink untuk membantunya bekerja keras. Mineral ini juga boleh ditemui dalam daging lembu, ketam, udang kara dan bijirin yang diperkuat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:00 AM