BERKESAN lawan isu kesihatan daripada selesema hingga masalah oral dan kulit.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Terdapat satu bahan yang terselit di hampir setiap rak dapur yang boleh melakukan keajaiban untuk rambut, kulit dan badan anda. Bukan saja murah dan pelbagai guna, soda penaik boleh membantu anda dari kepala hingga kaki.

Soda penaik adalah natrium bikarbonat, bahan kristal semula jadi, tetapi sering muncul sebagai serbuk halus. Bahan alkali ini mempunyai ciri antibakteria, antikulat, antiseptik dan antiradang.

Ia juga bahan perubatan yang kuat dan berkesan untuk melawan isu kesihatan yang biasa daripada selesema hingga masalah oral dan kulit.

Soda penaik berkesan apabila digunakan untuk tempoh singkat. Bagaimanapun, penggunaan berlebihan boleh merosakkan kulit dan rambut anda. Juga, anda harus melakukan ujian ‘tampalan’ untuk menentukan sama ada kulit anda sensitif kepadanya.

1. Melawan jerawat

Untuk menghilangkan jerawat, anda tidak memerlukan bahan kimia yang kuat. Soda penaik melakukan kerja dengan mudah. Ciri antiseptik dan antiradang bahan ruji dapur ini membantu merawat penyebab serta mengurangkan gejala jerawat dan masalah lain. Di samping itu, ia membantu mengimbangi pH kulit yang membantu mengurangkan masalah kulit.

Caranya, campurkan satu sudu teh soda penaik dengan sedikit air untuk membuat pes. Sapukan pada kulit yang terjejas selama satu hingga dua minit sebelum dibilas dengan air sejuk. Ulang sekali setiap hari selama dua atau tiga hari, kemudian kurangkan kekerapan hingga satu atau dua kali seminggu.

2. Memutihkan gigi kuning

Soda penaik sangat baik untuk menjadikan gigi anda bersinar. Ia berfungsi sebagai pelelas ringan untuk menghilangkan noda kuning dari gigi di samping membantu mengeluarkan plak dengan meneutralkan asid yang dihasilkan bakteria.

Anda boleh meletakkan sedikit soda penaik pada berus gigi bersama ubat gigi biasa anda. Berus gigi seperti biasa selama dua minit. Lakukan sekali sehari selama beberapa hari.

Sebagai alternatif, sediakan pemutih gigi buatan sendiri dengan empat sudu serbuk akar kunyit, dua sudu soda penaik dan tiga sudu minyak kelapa dara. Campurkan semua bahan dengan teliti. Gunakan pes ini untuk memberus gigi anda sekali sehari selama beberapa hari.

Elakkan daripada menggunakan soda penaik berlebihan kerana ia boleh mengikis enamel gigi semula jadi anda.

3. Meredakan kesan selaran matahari

Oleh kerana sifat alkalinya, soda penaik mempunyai kesan menenangkan pada kulit yang terbakar akibat selaran matahari, membantu melegakan gatal dan sensasi terbakar. Ia juga mempunyai ciri antiseptik ringan dan pengeringan yang membantu mengeringkan lepuh selaran matahari dengan cepat.

Campurkan satu hingga dua sudu soda penaik dalam secawan air sejuk. Rendam tuala kecil yang bersih dalam larutan ini, perah tuala dan tekapkan pada kawasan terjejas selama lima hingga 10 minit. Ulang dua atau tiga kali sehari sehingga anda mendapat kelegaan.

Sebagai alternatif, tambahkan setengah cawan soda penaik dalam tab mandi yang penuh dengan air. Kacau rata dan berendam dalam air ini selama 10 hingga 15 minit. Selepas keluar dari tab mandi, tekap kering atau biarkan badan anda kering sendiri. Lakukan ini sekali sehari selama beberapa hari.

4. Memperbaiki ton kulit

Warna kulit tidak sekata adalah masalah utama bagi ramai orang. Jika menginginkan warna kulit lebih cerah dan sekata, soda penaik adalah penyelesaian yang mudah dan murah.

Ia adalah agen pengelupasan yang baik membantu menghilangkan sel mati, menyeimbangkan paras pH kulit yang sangat penting untuk menjaga kulit sekata dan bersih.

Campur satu hingga dua sudu teh soda penaik dengan air atau air mawar untuk dijadikan pes sebelum dioles pada wajah. Biarkan seminit dan gosok perlahan dengan hujung jari. Cuci dengan air suam. Lakukan sekali atau dua kali seminggu saja selain pastikan lembapkan kulit selepas menggunakan soda penaik.

Sebagai alternatif, campurkan satu sudu soda penaik dan jus lemon bersama empat ke lima titis minyak zaitun. Tekapkan campuran ini pada wajah dan biarkan selama lima minit sebelum dibilas dengan air sejuk. Ulang dua atau tiga kali seminggu.

5. Menghilangkan kelemumur

Kelemumur sukar dihilangkan, terutama ketika musim sejuk, tetapi ia tidak mustahil. Pelajari kaedah penjagaan rambut yang betul dan tetap, anda boleh menghapuskan kelemumur dengan mudah.

Soda penaik boleh membantu menghilangkan serpihan putih yang mengganggu kulit kepala dan rambut anda. Ia membersihkan kulit kepala dan membantu membuang serpihan.

Oleh kerana soda penaik bersifat alkali, ia membantu membawa keseimbangan pH kulit kepala ke keseimbangan yang sihat. Gosokkan satu sudu soda penaik pada rambut dan kulit kepala. Biarkan seketika, kemudian bilas bersih dengan air. Lakukan ini seminggu sekali sahaja.

Sebagai alternatif, campurkan jus segar sebiji lemon dengan satu sudu teh soda penaik.

Sapukan pada kulit kepala dan biarkan selama dua hingga tiga minit dan kemudian bilas rambut hingga bersih.. Lakukan perawatan ini seminggu sekali untuk mengekalkan kulit kepala bebas daripada kelemumur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 11:25 AM