PELANGGAN boleh menambah baik tudung, selendang atau baju dibeli.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Melangkah ke butik yang lengkap dengan semua koleksi busana memberikan kegembiraan berganda buat semua wanita terutama bagi pencinta fesyen.

Selain menjimatkan masa kerana tidak perlu bersusah payah ke lokasi lain, konsep dibawakan itu juga memberi keselesaan kepada pelanggan bagi membolehkan mereka membuat pilihan busana diingini dengan tepat.

Bagi butik Elyashazleen yang terletak di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya, penyediaan semua jenis koleksi fesyen antaranya pelbagai jenis tudung, selendang, anak tudung, beraneka baju dan jubah itu menjadi antara cara menarik pelanggan khususnya mereka yang sibuk.

Menurut pemiliknya, Elya Shazleen Mohamed, semua koleksi fesyen yang ditawarkan di butiknya direka sendiri menggunakan fabrik berkualiti tinggi dengan warna menarik.

“Selain rekaan tersendiri, semua koleksi kami juga dihasilkan sendiri di kilang yang diusahakan ibu bapa saya bagi memastikan setiap koleksi kami berbeza dengan lambakan fesyen di pasaran.

“Syukur, sambutan yang diterima juga amat menggalakkan dan ada pelanggan setia yang sanggup mengumpul semua koleksi selendang mahupun tudung kami,” katanya.

Menurut Elya Shazleen, kejayaan menghasilkan tudung dua muka pertama di Malaysia pada 2014 dan berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia adalah antara kejayaan membanggakan pihaknya.

“Dengan tawaran harga berpatutan, pelanggan boleh menambah baik tudung atau selendang juga baju yang dibeli di butik kami seperti meletakkan aksesori atau corak tersendiri.

“Antara koleksi kami yang mendapat sambutan menggalakkan adalah rangkaian hijab segera (Hijab Laila dan Radya), anak tudung, tudung bawal premium, tudung bawal segera serta pelbagai jenis baju, kemeja dan jubah,” katanya.

Menurutnya, harga ditawarkan adalah serendah RM29 untuk tudung, RM50 untuk baju dan anak tudung pada harga RM12 saja.

“Dalam soal saiz pula, kami menawarkan saiz biasa untuk tudung yang boleh dilaraskan kelabuhannya mengikut kesesuaian dan kehendak pemakai serta yang paling utama boleh menutupi bahagian dada.

“Manakala bagi saiz baju, kami menawarkan pilihan saiz bermula S hingga XL mengikut kesesuaian rekaan dan kehendak pelanggan selain turut menyediakan lebih 250 warna menarik untuk semua koleksi,” katanya.

Katanya, koleksi Elyashazleen sesuai untuk semua peringkat usia terutama bagi wanita bekerjaya yang sentiasa mementingkan penampilan diri dan mahu tampil kemas bergaya dalam tempoh singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 9:48 AM