ADILIN menunjukkan pemakaian rompi yang betul sebelum bersenam.
JURULATIH menunjukkan carta pergerakan senaman menerusi iPad.
TAHAP intensiti setiap individu dikawal menerusi iPad yang dikendalikan jurulatih.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Pernahkah anda melihat individu bersenam menggunakan peranti khas dengan tahap frekuensi dan intensiti dikawal menerusi iPad secara Bluetooth? Bagi yang tidak pernah merasainya mungkin sukar membayangkan bagaimana teknik pergerakan ini dilakukan. Adakah ia membabitkan tenaga elektrik atau sepenuhnya dikawal oleh mesin?

Bagi memberikan kefahaman dengan lebih jelas, penulis dibawa ke Studio Fixme di Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi mendekati dan melihat sendiri senaman berpakaian ala robot yang dilakukan sekumpulan wanita.

Studio yang dimiliki pasangan suami isteri, Adilin Ali dan suaminya, Jafni Jeremy ini adalah antara pusat senaman yang menawarkan kelas kecergasan secara berkumpulan menggunakan WiemsPro iaitu peranti Electro Muscle Stimulation (EMS) atau peranti perangsang otot elektronik bagi membantu orang ramai bersenam secara lebih cekap dan berkesan.

Pergerakan senaman menggunakan EMS ini kelihatan sama dengan senaman biasa. Apa yang membezakannya apabila sesi pergerakan ini diterajui seorang jurulatih yang mengawal tahap kekuatan secara berbeza menggunakan tablet. Sebelum bersenam, individu akan memakai rompi hitam khas dengan bahagian hadapan dan belakang mempunyai jalur lilit dan wayar yang disambung pada peranti EMS menggunakan WiFi.

Jurulatih peribadi akan menggunakan kemahiran profesional bagi mengawal setiap kumpulan otot dengan melaraskan intensiti latihan, mengikut keperluan individu. Dengan EMS, hasil ketara dapat dicapai dalam tempoh tertentu terutama pembakaran lemak manakala pencapaian senaman terbaik boleh diperoleh sama ada dengan menjalankan latihan impak tinggi atau rendah.

Ujar Adilin, senaman menggunakan EMS ini membantu dalam proses pengurangan lemak dan saiz badan selain transformasi tubuh dengan lebih berkesan ke arah pembentukan badan dan kecergasan serta memudahkan pengurangan selulit.

“Dalam masa 20 minit sahaja, dengan mengawal frekuensi dan intensiti latihan di iPad secara Bluetooth, jurulatih kecergasan dapat menjalankan kelas kecergasan secara berkumpulan di mana-mana lokasi termasuk di studio, rumah, pejabat dan taman permainan di sekitar Kuala Lumpur. Malah ia dapat dilakukan secara berkumpulan untuk lebih menyeronokkan,” katanya.

MENGENALI EMS

Menurut Adilin, EMS bermaksud Rangsangan Otot Elektro atau secara teknikal, EMS adalah senaman badan yang dibantu oleh dorongan elektro dari luar. EMS adalah latihan yang menggunakan tenaga dorongan impuls, sama seperti sistem saraf pusat yang menghantar impuls elektrik untuk mengawal tindakan otot manusia.

“Dalam proses ini, teknologi EMS menghantar impuls elektrik kepada otot untuk tujuan latihan kekuatan dan kecergasan. Tambahan lagi dengan penggunaan teknologi ini, seseorang boleh mencapai tahap senaman berintensiti tinggi kerana ia akan mencapai lapisan otot yang lebih mendalam berbanding latihan biasa,” katanya.

Sebelum ‘memasuki’ industri kecergasan, EMS banyak digunakan dalam bidang kecantikan bagi melambatkan proses penuaan. Menyedari keberkesanannya, ia mula diperkenalkan dalam bidang sukan untuk pemulihan dan perubatan yang lebih kompetitif. Ramai atlet elit menggunakan EMS sebagai tambahan kepada latihan untuk meningkatkan kekuatan dan kelajuan mereka.

“Malah pakar terapi fizikal menggunakan EMS untuk pembentukan otot yang lemah keupayaan dan latihan otot belakang yang lebih cenderung alami kecederaan. Jurulatih peribadi, gimnasium dan pusat kecantikan memberi tumpuan kepada aspek kecergasan dan kecantikan, badan dibentuk melalui latihan otot dan katabolisme lemak, di samping rangsangan metabolisme dan menguatkan tisu penghubung,” katanya.

Walaupun masih baru di Malaysia, berdasarkan maklum balas pengguna banyak kelebihan yang boleh diperoleh selepas menggunakan EMS. Ramai mengakui sesi senaman selama 20 minit boleh disamakan dengan tiga jam latihan di gimnasium atau apa-apa bentuk latihan biasa. Ia turut membantu pembakaran kalori sehingga 2,000 kalori secara keseluruhan. Selain itu EMS dapat mengurangkan lemak dan saiz badan, menjadikan badan lebih terbentuk cantik sekali gus membawa kepada pengurangan selulit.

Malah kesannya boleh dirasai dalam satu sesi kerana ia dapat menguatkan otot teras dan perut, mengurangkan sakit belakang dan meningkatkan kestabilan badan, menguatkan otot pelvik untuk pemulihan selepas bersalin serta memperbaiki postur badan dan ketidakseimbangan otot.

“Dari segi kesihatan, senaman EMS bagus untuk wanita yang mengalami masalah kehamilan dan pundi kencing lemah kerana ia menguatkan otot lantai pelvik.

“Satu sesi latihan EMS dapat membantu pembakaran kalori sehingga 500 kalori sepanjang 20 minit latihan dan sehingga 1,500 kalori dalam masa 24 hingga 48 jam selepas latihan. Untuk EMS terdapat tiga jenis kelas yang menawarkan penggunaan peranti ini iaitu e- Fat Burn, e- Tabata dan e- Power Steps yang juga dikenali sebagai kelas pengaktifan,” jelasnya.

Menggunakan berat badan sendiri, latihan e-Tabata adalah satu bentuk latihan intensiti tinggi (HIIT) yang paling popular. Ia menggunakan kaedah 20 saat latihan dan 10 saat rehat. Latihan e-Tabata akan meningkatkan kadar metabolisme dan denyutan dengan segera.

“Oleh kerana anda menjalankan latihan ini pada kadar yang tinggi, badan akan bekerja lebih keras untuk melakukannya. Ini akan menyebabkan jantung anda mengepam cepat dan metabolisme meningkat, badan akan mencapai kadar penggunaan tenaga yang tinggi untuk membakar lemak. Metabolisme akan kekal pada tahap tinggi bukan sahaja semasa senaman, tetapi selepas latihan. Ini bermakna tubuh akan membakar lemak selama beberapa jam selepas itu,” katanya.

Pergerakan e-Power Step pula menggunakan keseluruhan pergerakan badan. e-Power step adalah senaman menyeluruh yang menyeronokkan. Ia baik untuk jantung dan badan kerana menjadikan individu lebih kuat dari segi ketahanan otot. Ia turut membantu keseimbangan dan koordinasi, dengan pergerakan yang lebih gigih, untuk masa yang lebih lama. Jadi, lebih banyak latihan baik untuk jantung dapat dilakukan.

TIDAK BAHAYA

Melihat wayar berselirat di bahagian luar rompi, mungkin ramai ingin tahu adakah ia membahayakan individu? Jelas Adilin senaman menggunakan EMS ini tidak berbahaya kerana stimulator elektrik berfungsi sama seperti sistem saraf.

“Bagi penggunaan EMS ini, isyarat elektrik akan menyebabkan otot menguncup apabila elektrik teknologi EMS ini diaktifkan. Ada dua isyarat perbezaan yang terhasil iaitu badan akan merasai isyarat elektrik dalaman dan stimulator elektrik akan menjana elektrik di luar badan. Oleh itu jangan bimbang dan memikirkan perkara negatif ketika bersenam kerana ia selamat,” kata Adilin.

Bagi Sophiaton Alias, 46, dia teruja melakukan senaman menggunakan peranti EMS kerana lebih mencabar. Sebelum ini Sophiaton hanya bersenam di gimnasium menggunakan peralatan bagi menjadikan tubuh lebih cergas dan sihat.

“Saya mula bersenam secara konsisten pada 2008 selepas mengalami pertambahan berat badan sehingga 79 kilogram. Pelbagai kaedah digunakan termasuk pengambilan makanan kesihatan tetapi tidak berubah. Lalu saya mengambil jurulatih peribadi di gimnasium dan berat mulai berkurang sedikit demi sedikit sehingga mencecah 63 kilogram. Memang saya sangat gembira dengan perkembangan ini dan terus bersenam,” katanya.

Mengakui seorang yang gemarkan aktiviti sihat dan aktif, dia yang juga suri rumah bersenam setiap hari (Isnin hingga Jumaat). Melalui latihan secara konsisten dan efektif menjadikan dirinya lebih bertenaga ketika melakukan kerja rumah. Melalui senaman EMS, dia dapat berasakan peningkatan otot yang jarang diperoleh terutama apabila usia semakin meningkat.

“Biasanya apabila usia mencapai 40-an, setiap kali bersenam pengiraan otot akan jatuh manakala lemak semakin meningkat. Namun sebagai individu yang tahu mengenai tahap pengurangan lemak dan pertambahan otot ia adalah sesuatu yang positif apabila otot semakin meningkat,” katanya gembira.

Senaman EMS juga lebih mencabar kerana sebelum ini badan mudah diadaptasi apabila melakukan pergerakan rutin. Tetapi dengan EMS sedikit demi sedikit jurulatih akan meningkatkan tahap intensiti bergantung kepada keperluan tubuh.

“Walaupun keesokan harinya otot rasa sakit tetapi ia menandakan tubuh mula bekerja kuat untuk melakukan pergerakan pada tahap yang lebih tinggi. Ia sebenarnya sesuatu yang sangat baik untuk mereka yang aktif bersenam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:37 PM