PENSYARAH dan kawan yang menyokong Firdaus.
BANGGA mempamerkan hasil kerja kerasnya.
Kusyi Hirdan


Apabila kami tiba di bilik yang dijanjikan, dia sudah menunggu. Pakaian seragamnya memberi impak segak dan bergaya. Dia melemparkan senyum.

Bertubuh sederhana tinggi, dengan kelebihannya sebagai insan yang lurus, Muhamad Nur Firdaus Ainorazahar, 20, tampil berkeyakinan tinggi walaupun disuruh menggubah bunga di hadapan pihak media buat pertama kali.

Penulis mengusiknya bertanya adakah dia berasa takut hari itu. Dia menjawab tidak dan kami tergelak bersama-sama. Firdaus mengawal diri dengan baik walaupun kata ibunya, Nor Hayati Abu Bakar, sehari sebelumnya Firdaus memberitahunya melalui telefon akan kerisauannya.

“Saya beritahu, tak usah risau. Bukankah dia nanti akan dibantu kawan dan pensyarahnya.”

Nor Hayati turut meminta adik lelakinya menjenguk Firdaus, melihatnya berlatih menggubah dan seorang lagi saudara perempuannya menemani pada hari yang dirancang kerana dia serta suami tidak dapat hadir.

Penulis memang teruja untuk bertemu Firdaus kerana berasakan pencapaiannya dapat mengikuti kursus sijil operasi perhotelan selama empat semester sebagai sesuatu yang membanggakan. Pada sama sama tertanya-tanya juga bagaimana dia yang mempunyai masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) berjaya sampai ke tahap itu.

Ada kalangan ibu bapa yang tidak harap hati ‘melepaskan’ anak istimewa mereka berada di dunia luar yang sangat mencabar ini. Namun ibu bapa Firdaus berbeza.

“Dia sendiri yang mahu dan berminat terhadap kursus itu. Namun, tanpa sokongan dan bantuan pensyarah di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, tentulah Firdaus tidak mampu sampai ke tahap ini. Ahli keluarga di Melaka juga banyak membantu,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik, selepas selesai empat semester nanti, Firdaus akan melalui latihan industri sebelum masuk ke bidang kerjaya. Keluarganya memberi peluang dia hidup berdikari dan melakukan perkara hampir sama dengan rakan sebayanya walau kata Nor Hayati, kerisauan tetap tidak dapat dielakkan kerana keadaan Firdaus itu.

“Saya sentiasa risau. Risau dia dibuli, ditipu dan macam-macam lagi. Ia biasa terjadi tetapi itu tidak mengehadkan kami memberi Firdaus hidup senormal mungkin. Ketika dia di Kuala Lumpur, dia sama seperti remaja lain, untuk ke kolej perlu menaiki LRT atau memanggil teksi sendiri. Semuanya dia lakukan sendiri kerana ia kehendak dan minatnya,” sambungnya.

HARAPAN MENGGUNUNG

Pensyarah pengiring pada program menggubah bunga di depan media, Rosnita Hussin, membawa bersama dua teman sekelas Firdaus untuk menemani. Kehadiran mereka selain menyokong juga turut memberi semangat.

“Itu kawan-kawannya. Saya suka mendidik pelajar untuk sama-sama membantu individu seperti Firdaus, bukan membulinya. Selalu saya pastikan mereka melayan Firdaus dengan tanggungjawab. Tapi biasalah, remaja ini ada kenakalan sendiri. Sekiranya berlaku di depan saya, saya akan pantau. Begitu juga dengan rakan pensyarah yang lain.

“Sebelum ini ada juga kami menerima pelajar istimewa. Cuma, Firdaus dari segi penampilan kelihatan sama dengan pelajar lain dan orang tidak akan nampak dia mempunyai ADHD,” katanya mengakui Firdaus pelajar yang berdedikasi.

Kata Rosnita, pengalaman mengajar Firdaus amat mengujinya dan dia pernah rasa putus asa.

“Sebab kita tengok dia sama dengan pelajar lain jadi kita akan rasa marah. Lama-kelamaan baharu saya sedar pelajar seperti Firdaus memang ada tahapnya sendiri dan tidak sama dengan pelajar seusianya. Untuk memahami situasi itu bukan mudah.

“Inilah cabaran buat saya dan saya perlu atasinya. Saya belum berjaya sekiranya tidak berjaya membantu dan mendidik Firdaus sampai dia masuk ke dunia kerjaya. Saya selalu memberitahu diri, bagaimana jika dia anak saya sendiri dan tidak mendapat pertolongan sewajarnya,” katanya.

Dengan sokongan pensyarahnya yang prihatin, sedar tidak sedar, Firdaus sudah berjaya berada di semester empat dan ia perjalanan yang panjang. Ternyata Rosnita juga meletakkan harapan yang tinggi kepada Firdaus kerana melihat perkembangan Firdaus dari mula hinggalah kini dia boleh menggubah bunga.

“Dia sangat teruja hari ini. Kami sudah berlatih bersama. Sehari sebelumnya pula saya beri dia bawa balik semua bahan dan berlatih di rumahnya.

“Kursus yang diikuti Firdaus ini bukan mudah walaupun pada pelajar normal. Jadi untuk Firdaus, kami lakukan lebih. Saya sendiri buat inisiatif dengan mengadakan dua sesi pengajaran. Satu dengan semua pelajar termasuk Firdaus dan satu sesi lagi untuk dia saja. Kefahaman dia tidak sama jadi kita akan buat setakat kemampuan dia tetapi masih yang terbaik,” jelasnya.

Contohnya, pelajaran menggubah bunga itu sendiri ada banyak seperti bentuk kipas, bujur, kubah, melintang, L dan S. Sekiranya pelajar lain boleh menghafal dan membuat lebih banyak bentuk gubahan tetapi bagi Firdaus dua bentuk sudah memadai. Dia memastikan yang dua itu dibuat dengan terbaik.

Walaupun banyak membantu, namun Rosnita tegas dengan Firdaus. Dia mahu Firdaus dapat melakukan setiap tugasan sehingga selesai, walaupun jalannya sukar.

Seperti pelajar lain, Firdaus diajar sama bermula dari asas menggubah seperti mencucuk lidi pada span sehingga mahir. Kemudian baharu mengenali bentuk dan gaya dan peralatan yang perlu seperti pemotong, span, pasu serta lidi.

“Dia memang perlu disokong selalu. Namun, saya bersikap tegas dan memastikan dia selesaikan setiap tugasan dengan baik. Pada masa sama saya menasihatkan rakan sekelas menjadi kawan yang baik. Ia sukar tetapi Alhamdulillah, Firdaus ada ramai kawan yang membantunya di kolej ini,” sambungnya.

MINAT PERHOTELAN

Ditanya mengenai keluarga, pantas Firdaus bercerita mengenai ibu bapa, abang dan adiknya. Usia dan di mana mereka belajar. Begitu juga dengan minatnya menggubah bunga.

“Saya suka menggubah bunga selepas diajar oleh pensyarah Puan Rosnita. Saya belajar dari asas sehinggalah sekarang saya boleh menggubah bunga dengan cantik. Hari ini saya nak tunjukkan cara menggubah gaya kubah dan melintang.”

“Cantikkah nanti, Firdaus?”

“Cantik!” tegasnya.

Dia tampak fokus dan dapat menyiapkan dua gubahan dalam masa singkat. Bahkan dapat menjawab soalan dengan baik. Dia memberitahu untuk membuat gaya kubah, dia menggunakan 13 kuntum bunga dan sesuai menjadi hiasan di meja bulat atau penyeri tengah meja.

Apabila keadaan kelihatan serius kami mengusiknya dan beberapa kali kami bertanya mengenai warna bunga dan peralatan yang diguna. Tetap fokusnya tidak terganggu dan dia dapat menumpukan perhatian menyiapkan gubahan sehingga selesai.

Sebaik siap, dia bertanya penulis bolehkah dia mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang sangat banyak membantunya termasuk kaunselornya, Puan Tan.

Selain pensyarah, kaunselor juga banyak memberi sokongan kepada Firdaus meneruskan pembelajarannya walau ada masa anak itu tertekan dengan segala masalah dan kehidupan sebagai pelajar yang dirasanya sukar untuk dilalui.

Melihat hasil tangan Firdaus, masih banyak yang boleh diperbaiki tetapi benar seperti katanya pada awal pertemuan kami, ia cantik. Ia menyerlahkan bakat yang mampu Firdaus kembangkan lagi untuk masa depannya nanti.

Fakta ringkas:

ADHD adalah singkatan dari Attention Deficit Hyperactivity Disorder, iaitu gangguan pada perkembangan otak yang menyebabkan penderitanya menjadi hiperaktif, impulsif dan susah memfokuskan perhatian. Ciri kanak-kanak ADHD biasanya seperti tidak boleh menumpukan perhatian, tidak boleh mengawal tingkah laku dan hiperaktif. Individu ADHD biasanya kelihatan normal seperti kanak-kanak biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 12:57 PM