TIGA menu baru bersama 80 variasi masakan disediakan bermula Julai hingga September.
TIGA menu baru bersama 80 variasi masakan disediakan bermula Julai hingga September.
Intan Mas Ayu Shahimi


Penggemar sajian ‘claypot’ dan ‘sizzling’ pasti teruja untuk mencuba hidangan istimewa menerusi menu ala carte terbaru 10 Binjai Restoran di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur.

Bermula Julai hingga September depan, rasai pengalaman berbeza menjamu selera makan tengah hari dan malam menerusi tiga pilihan menu baru, Claypot Chicken, Sizzling Angus Steak dan Chicken Fajitaz bersama variasi 80 menu ayam, ikan, makanan laut, sayur-sayuran, mi, nasi serta pencuci mulut.

Cef Eksekutifnya, Cef Ard Abd Aziz berpengalaman 27 tahun dalam penyediaan masakan Cina mencipta keunikan tersendiri dengan menggabungkan elemen fusion dalam hidangan Eropah.

Sizzling Angus Steak cukup enak dinikmati sementara hangat. Kepingan daging berjusnya dihidang bersama sayuran segar dalam pinggan sizzling dan dibawa terus ke meja sebelum sosnya dituang. Ini pastinya memberi pengalaman baru buat pelanggan yang gemarkan kelainan dalam persembahan.

Menurut Cef Ard, beliau suka mempamerkan seni masakan Cina dalam setiap hidangan bersesuaian dengan kehendak pelanggan serta imej Malaysia sebagai negara majmuk.

“Berbanding stik yang dihidang dalam pinggan lebar, gaya sizzling selalunya nampak lebih menyelerakan. Dalam masa sama, pelanggan juga boleh menikmati hidangan panas dalam jangka masa lebih panjang.

“Claypot Chicken juga istimewa kerana menggunakan nasi ayam sebagai hidangan asas. Kemudian, ayam dan cendawan hitam yang dimasak reneh bersama sos tiram dituang untuk melengkapkan hidangan.

“Sementara Chicken Fajitaz pula dihidangkan dengan gabungan gaya barat-tempatan bercitarasa mediterranean. Semua hidangan disediakan dalam saiz yang besar, berbaloi dengan nilai harga yang dibayar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 1:02 PM