PERLU ikut kesesuaian, kod resin disediakan pengeluar untuk elak sebarang migrasi bahan kimia.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi


Penggunaan bekas makanan plastik untuk makanan panas adalah amalan yang biasa dilakukan dalam kalangan pengguna. Terdapat beberapa jenis plastik yang digunakan untuk penyimpanan makanan panas iaitu botol minuman, plastik membungkus makanan atau polisterin.

Sebagai pengguna, anda tentu tertanya-tanya adakah selamat jika anda menggunakan plastik untuk membungkus makanan panas? Plastik terbina daripada polimer yang panjang - setiap polimer dibina daripada unit kecil yang dipanggil monomer.

Gabungan monomer yang berlainan menghasilkan polimer yang berbeza sifat dan cirinya. Plastik dikelaskan mengikut jenis resin yang digunakan dalam pembuatannya dengan simbol tiga anak panah, kod plastik di dalamnya dan diikuti nama singkatan jenis plastik di bawahnya.

Simbol ini diletakkan di bahagian bawah, tepi botol atau di bekas plastik. Bekas dan bahan pembungkus yang diperbuat daripada plastik biasanya direka secara khusus untuk kegunaan tertentu dan tidak boleh disalah gunakan.

Migrasi (perpindahan) bahan kimia daripada plastik kepada makanan atau minuman yang dibungkus boleh berlaku sekiranya penggunaan bahan plastik berkenaan disalah guna.

Pendedahan suhu yang tinggi boleh meningkatkan kadar migrasi bahan kimia plastik. Selain itu, tempoh pendedahan, makanan berasid dan jenis makanan yang ada kandungan lemak yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan.

Jenis bahan kimia dalam plastik yang digunakan sebagai bahan buatan atau bahan tambah dalam penghasilan plastik boleh mencemari makanan. Antaranya:

1. Sterin. Ia adalah bahan yang digunakan dalam pembuatan polisterina. Ada kemungkinan ia menjadi penyebab kepada penyakit leukemia dan limfoma.

Bagaimanapun kajian toksikologi secara intensif mendapati kuantiti perpindahan sangat kecil daripada pembungkus makanan dan kesan risiko bahaya kepada kesihatan manusia juga amat kecil.

2. Bisphenol A. Ia adalah bahan asas yang digunakan dalam pembuatan plastik polikarbonat, juga ditambah semasa penghasilan penebat di bawah penutup makanan dalam tin atau botol.

Penggunaannya dibuktikan memberi kesan kepada sistem hormon ke atas haiwan menerusi kajian makmal. Masih belum ada bukti saintifik yang kukuh mengenai hubungannya dengan sistem hormon dalam badan manusia. Begitupun, pengguna seperti bayi dan kanak-kanak digalakkan untuk meminimumkan pendedahan kepada bahan berkenaan.

3. Phthalates. Ia adalah bahan tambah yang dicampur ke dalam pembuatan plastik bagi meningkatkan ciri kebolehlenturan. Diethylhexyl phthalate (DEHP) adalah salah satu jenis phthalates paling kerap digunakan dalam pembuatan pelbagai barang kegunaan rumah, kosmetik dan industri.

Sebahagiannya boleh memberi kesan kepada sistem pembiakan manusia. Kebanyakan kajian semasa dari pelbagai negara menunjukkan kadar pendedahan kepada manusia masih rendah dengan risiko yang amat sedikit.

PANDUAN PENGGUNAAN BEKAS PLASTIK

Penggunaan bahan plastik untuk membungkus makanan plastik adalah selamat. Namun, penggunaan plastik perlu mengikut kesesuaian dan kod resin disediakan pengeluar untuk mengelakkan sebarang migrasi bahan kimia ke dalam makanan.

1. Jangan membungkus makanan yang panas secara terus ke dalam plastik. Sejukkan terlebih dulu.

2. Sediakan minuman dengan suhu suam sebelum dibungkus ke dalam plastik.

3. Bekas plastik yang digunakan bagi mengisi makanan sejuk beku seperti ais krim, marjerin dan yogurt biasanya tidak sesuai untuk tujuan pemanasan dalam ketuhar atau ketuhar gelombang mikro.

4. Elakkan menuang minuman panas ke dalam bekas makanan yang diperbuat daripada polisterina. Suhu yang melebihi 85 darjah Celsius akan meningkatkan kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan.

5. Mengikut ketetapan perundangan di Malaysia, Kesatuan Eropah dan Kanada, botol susu bayi yang diperbuat daripada plastik jenis polikarbonat dilarang dijual di pasaran kerana risiko migrasi Bisphenol A kepada bayi.

Pastikan jenis botol susu bayi yang ingin dibeli bebas daripada Bisphenol A seperti botol susu jenis polipropelina, silikon atau kaca yang tiada risiko kesihatan kepada bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 4:01 PM