KIWI baik untuk kecantikan dan kesihatan.
Siti Nadirah Hafidzin

Siapa kata untuk tampil cantik secara semula jadi itu memerlukan modal belanja yang besar? Hakikatnya melalui pemakanan dan penjagaan diri secara teratur sesiapa saja mampu kelihatan menawan.

Sebagai contoh adalah melalui pengambilan buah-buahan dalam diet harian yang ternyata mempunyai pelbagai khasiat tersendiri dan mampu menyerlahkan lagi kecantikan anda secara semula jadi.

Contohnya dengan mengamalkan makan buah kiwi. Buah berbulu halus ini sememangnya mempunyai nilai nutrisi yang tinggi dan baik untuk kesihatan.

Kiwi kaya dengan vitamin C, E, asid amino dan antioksidan. Seperti sedia maklum, nutrisi itu mampu membantu kulit kelihatan muda dan berseri. Di sini, disenaraikan kebaikan kiwi kepada penjagaan kecantikan kulit.

1. Kulit sihat dan berseri

Penuh dengan serat dan antioksidan, menjadikannya sumber terbaik sebagai julap. Pengambilan kiwi melancarkan pembuangan toksin lebihan air dalam tubuh, sekali gus memberikan kulit yang lebih cantik.

2. Regenerasi sel

Kandungan vitamin E membantu kulit lembap dan tenang. Nutrisi itu diperlukan bagi regenerasi sel dan ini membantu memberikan kulit yang awet muda.

3. Kulit anjal

Antara nutrisi penting untuk menggalakkan pengeluaran kolagen adalah vitamin C dan kiwi kaya dengannya, seterusnya menjadi kulit lebih anjal dan cantik. Kolagen adalah rangkaian protein yang perlu untuk menjadikan kulit gebu dan kelihatan muda. Ia juga penting untuk membantu proses penyembuhan luka dan menghalang kulit daripada menjadi kasar dan kering.

4. Elak penyakit kulit

Kiwi juga boleh membantu dalam rawatan terhadap penyakit kulit. Ini kerana asid lemak omega-3 yang ada di dalamnya boleh melindungi kulit daripada beberapa jenis masalah kulit. Ia juga penting untuk mengekalkan keadaan kesihatan sel membran.

5. Mengawal pengeluaran sebum berlebihan

Campuran kiwi dan jus lemon boleh disapu pada kulit dan dibiarkan kering sebelum dicuci bagi membantu mengawal pengeluaran sebum yang menjurus kepada masalah jerawat dan bintik hitam.

6. Kulit lebih lembut

Campuran avokado dan kiwi yang dilecekkan boleh disapu pada bahagian muka dan leher sebagai pupur semula jadi. Basuh selepas 15 minit dan kulit akan dirasakan lebih lembut.

7. Melawan radikal bebas

Antioksidan yang banyak terdapat dalam kiwi boleh meneutralkan kesan antioksidan pada kulit dan meningkatkan regenerasi kulit. Secara tidak langsung, ia memperlahankan kesan penuaan seperti kedutan, tompok pada kulit dan garisan halus.

8. Melawan jerawat

Kiwi juga mengandungi AHA semula jadi dan memiliki bahan antiradang kulit. Ia melawan jerawat, akne dan membersihkan liang roma bagi mengelak masalah kulit berterusan. Sapukan kiwi yang dilecek pada wajah termasuk bahagian yang bermasalah.

9. Melindungi kulit daripada matahari

Kesan matahari merosakkan kulit dan meningkatkan penuaan. Kiwi kaya dengan asid amino dan mampu melawan kesan selaran matahari seterusnya mengelak kerosakan pada kulit.

10. Meningkatkan penghasilan sel kulit baru

Memakan kiwi atau minum jusnya secara konsisten membantu meningkatkan penghasilan sel baru pada lapisan kulit. Ia juga meningkatkan kelembapan kulit dan menjadikannya kelihatan lebih muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 1:16 PM