PILIHAN kurung moden antara koleksi busana polos untuk wanita gemar gaya sederhana tapi glamor.
PILIHAN kurung moden antara koleksi busana polos untuk wanita gemar gaya sederhana tapi glamor.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kurang sebulan lagi umat Islam akan menyambut Aidiladha. Bagi kebanyakan wanita, kemeriahan hari raya ini tidak pernah kurang berbanding Aidilfitri. Baju kurung dan jubah baru tetap menjadi tumpuan untuk digayakan ketika berkunjung ke rumah sanak saudara.

Jenama fesyen Muslimah Sofia Ellen membawakan pelbagai pilihan busana indah, jubah menarik dan kurung moden mewah pada harga berpatutan untuk digayakan sepanjang Aidiladha ini.

Kurung moden Doll Pleat Letizia, Bellina, Sarah dan Farra antara koleksi busana polos untuk wanita yang sukakan gaya sederhana tetapi glamor. Potongan ringkasnya menjadikan jenis kurung ini cukup selesa dipakai terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Pemilik butik, Sofia Ellen Abdullah berkata, majoriti rekaan polos yang ditawarkan mempunyai perincian khusus di bahagian bawah baju, lengan dan kain.

“Kami banyak bermain dengan gaya lipatan, susunan pleat, ropol dan cantuman di bahagian tertentu. Ia sesuai untuk wanita yang mementingkan gaya, lipatan dan perincian ringkas.

“Bagaimanapun, untuk mereka yang sukakan fabrik bercorak, kami menawarkan Doll Kurung Amaryllis dan Sabreena. Kedua-dua rekaan ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan boleh didapati dengan harga yang berpatutan,” katanya.

DOLL PLEAT LETIZIA

Kurung ini sempurna untuk wanita yang sukakan gaya jelita umpama anak patung. Rekaan lisu anak patung (doll-pleats) yang hangat di pasaran ini memberi mesej kepada orang di sekeliling bahawa anda memang pengikut setia fesyen. Gayakan Letizia di pagi raya nanti dan pasti banyak mata mengerling cemburu.

Busana indah ini menggunakan satin krep berkualiti premium. Terdapat dalam saiz XS hingga L, kain zip tepinya dijahit ‘horse hair braiding’ dengan pinggang separuh getah.

DOLL KURUNG AMARYLLIS

Keistimewaan kurung ini adalah pada gaya elegan dan mewah fabriknya. Menggunakan material broked, keanggunan kurung ini terserlah dan nampak eksklusif dipakai untuk hari raya atau bertandang ke majlis formal. Terdapat dalam tiga warna yang menawan, kurung indah ini pasti menggamit hati anda untuk memakainya.

KURUNG MODEN SABREENA

Unik berbanding kebanyakan baju kurung, Sabreena membawakan corak buah-buahan segar untuk tatapan orang sekeliling. Menggunakan material sutera satin premium, kurung ini sejuk dan selesa dipakai seharian. Tambahan lipatan elektrik di hujung lengan dan bawah baju menyerlahkan lagi keayuan pemakai.

Usah bimbang jika terkena kotoran kerana kurung ini boleh dicuci seperti biasa. Paling penting ia tidak jarang kerana dijahit bersama pelapik bahagian dalam.

KURUNG MODEN BELLINA

Tampak manis apabila menggayakan kurung Bellina pada hari raya ini. Rekaan kain berlisu yang tersusun cantik menggunakan fabrik sifon lembut menambahkan keselesaan si pemakai. Kurung ini menjadi rebutan ramai kerana menampilkan potongan moden terkini. Ia mudah disarung dengan zip di belakang baju serta kain.

KURUNG MODEN SARAH

Dari jauh lagi sudah nampak nampak ayu dan manis apabila menggayakan kurung ini. Rekaannya yang ringkas dengan pilihan enam warna pastel menarik pasti membuatkan anda rambang mata.

Diperbuat daripada fabrik krep, kurung ini nampak lebih istimewa dengan kain potongan duyung bertingkat. Ia juga selesa dipakai dengan zip di bahagian belakang selain pinggang separuh getah.

KURUNG MODEN FARRA

Potongan baju kurung moden yang longgar digabungkan dengan lisu tersusun cantik di baju menampakkan sisi unik pemakai. Dihiasi riben di bahagian kiri bahu, perincian ini membuatkan anda bertambah manis.

Kurung ini menggunakan fabrik satin premium dengan jahitan pelapik penuh di bahagian dalam, menjadikan ia cukup sopan digayakan pada Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 1:22 AM