DR Nor Ashikin menerangkan kepentingan menjaga kesihatan faraj.
DR Nor Ashikin menerangkan kepentingan menjaga kesihatan faraj.
Hajahfarhana Tarmudi


Sering kali kita mendengar ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, namun berapa ramai daripada kita yang mengambil pendekatan serius bagi menjaga kesihatan badan secara keseluruhannya.

Jika ya pun, mungkin penjagaan kesihatan kulit badan dan wajah menjadi keutamaan berbanding bahagian intim. Ini kerana topik penjagaan kesihatan intim wanita ataupun lelaki bukanlah satu tajuk yang gemar dibincangkan secara terbuka, malah malu untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa atau doktor.

Masalah yang dihadapi diselesaikan dengan kaedah yang difikirkan sesuai tanpa menjalani pemeriksaan hingga menyebabkan ia menjadi serius dan sukar untuk diubati.

Malu bawa mudarat

Justeru, kesedaran awal ibu bapa terutamanya ibu mengenai penjagaan kesihatan bahagian intim perlu diambil perhatian dan kongsikan maklumat berguna bersama anak gadis yang kian remaja atau mencapai umur akil baligh.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan PrimaNora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar berkata, sikap malu perlu kena pada tempatnya dan bukan ketika bercerita mengenai aspek kebersihan atau kesihatan.

“Antara alasan utama kebanyakan pesakit yang datang ke klinik saya adalah disebabkan jangkitan vagina. Jika sudah berlaku jangkitan dan tidak ada perlindungan, pesakit mudah terkena jangkitan kuman yang lebih serius seperti human papillomavirus (HPV), penyebab kepada kanser serviks.

“Iwbu adalah orang terdekat untuk mendedahkan anak perempuan mereka yang hampir baligh dalam soal menjaga kebersihan faraj, bukan tunggu sehingga sudah berlakunya jangkitan baru hendak bertindak.

“Didik mereka dengan kepentingan penggunaan pencuci vagina dengan bahan yang sesuai dan memberikan cucian lembut bagi membantu memastikan kebersihannya dan mengekalkan pH yang betul bagi mengelakkan jangkitan kuman atau fungus di kawasan sensitif itu,” katanya.

Jelasnya, didik anak gadis secara santai dengan membawa mereka mencari pencuci feminin yang betul atau meletakkannya di dalam bilik mandi dan terangkan kepada mereka kepentingan menjaga kebersihan vagina.

Sekurang-kurangnya ia membantu menyedarkan anak gadis dan diri kita sendiri mengenai kesan buruk jika tidak menjaga kebersihan vagina.

Perlu difahami, kesihatan vagina bergantung kepada­ nilai pH, flora bakteria yang sihat dan kandungan epitelium glikogen. Kawasan vagina memiliki pH yang berasid iaitu dalam lingkungan antara antara pH3.5 hingga pH4.5.

Ketidakseimbangan pH dan bakteria sihat boleh menyebabkan wujudnya pelbagai simptom seperti kegatalan, bau yang tidak menyenangkan dan keputihan - tiga daripada empat wanita mempunyai pengalaman serta masalah ini.

“Tiga daripada empat wanita dikesan pernah mengalami masalah vagina gatal, berbau dan mengeluarkan lendiran yang disebabkan oleh masalah yang boleh dicegah.

“Lendiran boleh dibahagikan kepada dua jenis sama ada disebabkan pe­nyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Sebab berjangkit yang kerap terjadi seperti bacterial vaginosis, infeksi candida (kulat), Chlamydia trachomatis, Nesseria gonorrhoea dan infeksi Trichomonas vaginalis,” katanya.

Chlamydia trachomatis, Nesseria gonorrhoea dan infeksi Trichomonas vaginalis adalah penyakit kelamin. Sebab yang tidak berjangkit pula adalah seperti fisiologi badan, ektropion serviks (pangkal rahim), polip serviks, benda asing di dalam faraj atau alahan (alergi).

Bacterial vaginosis (BV) pula selalunya berlaku kepada 10 hingga 30 peratus wanita dalam usia reproduktif mereka. Di dalam faraj wanita terdapat bakteria ‘baik’ dipanggil lactobacillus yang bertugas mengimbangi keadaan berasid selain memberi perlindungan dalam faraj daripada bakteria berbahaya.

BV terhasil apabila bakteria ‘jahat’ seperti Gardnerella vaginalis dan genital mycoplasma tumbuh lebih banyak daripada bakteria ‘baik’ lactobacillus. Hampir 50 peratus daripada BV tiada gejala. Bagi mereka yang mengalami gejala, selalunya akan mempunyai lendiran putih yang banyak dan berbau busuk.

Gejala ini lebih teruk selepas hubungan seksual atau selepas haid manakala faraj serta kawasan kemaluan selalunya tidak bengkak.

Penting jaga kebersihan

Jika kita tahu cara cucian vagina yang betul dan mudah dapat mencegah jangkitan dan keabnormalan flora vagina, pastinya wanita akan lebih peka terhadap penjagaan bahagian intim mereka.

Tahap pH yang seimbang akan menentukan kesihatan vagina yang dapat dilihat menerusi pengeluaran lendiran dalam jumlah sedikit untuk mengekalkan kebersihannya.

“Bagi memastikan kawasan vagina kekal sihat, wanita yang mengalami masalah vulva basah secara berulang, sebaiknya gunakan seluar dalam kain kapas dan elakkan mengenakan ‘thong’ atau seluar dalam terlalu ketat dalam jangka masa panjang.

“Selain itu, selepas bersenam atau berenang, tukar pakaian dalam yang lembap dengan segera. Elakkan menggunakan pakaian dalam dan seluar ketika tidur pada waktu malam bagi membenarkannya ‘bebas’ bernafas.

“Bawalah pakaian dalam tambahan dalam beg kecil untuk menukar jika terasa lembap atau basah di tempat kerja atau sekolah bagi mengelakkan kegatalan atau tidak selesa,” katanya.

Jelasnya, elakkan juga mengambil antibiotik yang tidak diperlukan kerana ia hanya akan membunuh semua jenis bakteria sama ada ‘baik’ atau ‘jahat’. Jika sudah berkahwin, sebaiknya cuci dengan bersih kawasan intim itu selepas melakukan hubungan kelamin.

Bukan itu saja, tukar tuala wanita dengan kerap ketika haid bagi mengelakkan jangkitan. Memandangkan terdapat jangkitan yang boleh dihapuskan dan pertumbuhan bakteria tidak normal, setiap wanita perlu menjaga kebersihan vagina dengan lebih rapi.

Pilih cucian yang dapat membantu mengekalkan persekitaran bahagian intim yang sihat untuk merangsang pertumbuhan bakteria baik dan pada masa sama menyediakan perlindungan bagi mencegah kehadiran simptom yang tidak diingini.

Malangnya, dalam kajian terbaru menunjukkan lebih 50 peratus wanita menggunakan sabun mandi biasa untuk mencuci bahagian intim. Produk penjagaan badan khususnya gel dan sabun wangian boleh menjejaskan keseimbangan bakteria dan pH di bahagian intim wanita.

Disebabkan itu setiap wanita perlu bijak memilih produk yang kaya dengan kandungan semula jadi dan prebiotik dalam usaha melindungi bahagian intim daripada pelbagai simptom yang tidak diingini disebabkan ketidakseimbangan pH.

Betadine Daily Feminine Wash Foam dan Daily Feminine Liquid Wash dicipta khas untuk melengkapi kegunaan kebersihan dalaman wanita setiap hari.

Formulasinya yang lembut menjadikannya sesuai digunakan setiap hari bagi merangsang persekitaran optimum untuk pertumbuhan bakteria sihat.

Ia dirumus dengan formulasi unik Tri-Care yang mengandungi bahan immortelle, syriCalm dan deoplex, dengan prebiotik untuk membantu mengekalkan persekitaran sihat di bahagian intim wanita sekali gus menyeimbangkan tahap pH semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 2:25 PM