GURU pengiring dari sekolah turut membantu.
PELAJAR diajar memilih butang dan menyusun.
PELAJAR menunjukkan hasil kreativiti mereka.
Kusyi Hirdan

Hari-hari lain, sebagai pensyarah unit pembelajaran sepanjang hayat Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, rutinnya biasa saja. Berjumpa pelajar demi pelajar, mengajar segala macam pelajaran mengenai fesyen dan jahitan.

Namun rutin itu berubah setiap Selasa yang membuatkan Shabana Mohd Yusoff, ternanti-nanti.

Sejak September tahun lalu, Shabana, 36, mempunyai tugas yang berbeza kerana hari itu dia dan rakan pensyarah yang lain akan meraikan anak istimewa seramai 31 orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, Melaka, untuk program setengah hari bersama mereka.

“Tugas ini sesuatu yang baharu bagi saya. Tetapi selepas semakin dekat dan memahami anak ini, saya dapat rasakan kasih sayang mereka yang ikhlas setiap kali datang ke kelas. Pada awalnya saya mengalami kejutan juga, sebabnya tidak biasa dan tiada pengalaman,” katanya.

Boleh dilihat bagaimana anak istimewa itu gembira diberi peluang mempelajari perkara yang baharu walaupun majoriti tidak boleh melakukannya sendiri. Mereka tetap seronok mendengar Shabana menulis penerangan bergambar mengenai apa yang mahu dibuat hari itu - cara membuat alas gelas menggunakan butang pelbagai warna dan saiz.

Shabana perlu sentiasa kreatif memikirkan idea baru untuk pelajar istimewanya. Alas gelas daripada butang tampak sangat mudah tetapi tidak begitu hakikatnya bagi anak istimewa itu. Diberi peluang memilih butang sendiri, menyusun dan melekatkan menggunakan gam adalah sesuatu yang besar bagi mereka. Mereka teruja dan seronok.

Guru pengiring kelihatan sabar mengajar dan bersama-sama melakukan aktiviti yang dirancang. Kadangkala terdengar usik-mengusik antara mereka dan ketawa pun berderai. Ada yang suka menyanyi, ada yang kuat mengajuk cakap orang. Ada pelajar tidak bercakap langsung dan ada yang cepat bosan serta merajuk kerana tidak dapat melakukan apa disuruh.

Apabila tiba waktu rehat, guru menemani pula mereka makan. Mereka lupa sebentar alas gelas yang belum siap dan menumpukan perhatian kepada nasi putih, lauk ayam dan sayur. Seperti pelajar lain, mereka juga kurang selesa dengan kehadiran sayur dalam pinggan. Guru pengiring memastikan semuanya makan dan membasuh tangan sebelum menyambung semula projek yang terhenti tadi.

Pelbagai kerenah dapat dilihat dan bagaimana guru pengiring begitu sabar. Ada yang menarik-narik tudung gurunya mahukan perhatian. Guru tetap bertanya dan melayannya dengan lembut.

Di suatu sudut Shabana dan beberapa guru lain leka menyiapkan projek hari itu. Pelajar mengelilingi menunggu alas gelas siap semuanya. Shabana mengemaskan mana-mana butang yang tidak melekat dalam jalinan yang dibuat. Untuk beberapa pelajar, dia memastikan setiap orang dapat membawa pulang alas gelas sebagai buah tangan.

“Mereka berumur dari 15 hingga 18 tahun. Ada daripada kategori lemah pembelajaran, autisme, palsi serebrum, lemah pertuturan dan lain-lain lagi. Jadi, setiap seorang berbeza. Kami bahagikan mereka kepada tiga kelas bagi mempelajari kelas kraf/jahitan, memasak dan elektrik dengan pensyarah yang berbeza. Kumpulan itu mengikut kebolehan masing-masing dan bersesuaian dengan tahap pembelajaran mereka.

“Kelas saya hari ini mempelajari kraf. Kelas kedua belajar mengenai suis elektrik manakala yang satu lagi diajar memasak roti puri dan kari ayam,” katanya.

Menurut Shabana, Program Latihan Khas bersama Kolej Komuniti Bukit Beruang ini adalah program untuk mendekati masyarakat setempat termasuk mereka yang istimewa.

“Memang perlu kesabaran tinggi, tetapi dengan bantuan rakan terutama guru pengiring dari sekolah, lama-kelamaan keadaan semakin mudah. Program dapat dijalankan dan kami saling mengenali. Setiap kali tiba di sini, mereka seronok sangat. Pada anak normal, apa yang dibuat ini mungkin biasa saja tetapi bagi pelajar istimewa ini, mereka teruja setiap kali dapat membawa pulang apa yang dipelajari.

“Program sebegini memberi pendedahan kepada anak istimewa untuk bersosial, mempelajari perkara baru yang mudah, sesuai dengan kebolehan mereka.

“Kami dan pihak sekolah mahu memberi pendedahan selain menggembirakan mereka. Kami memantau ketat setiap aktiviti demi menjamin keselamatan. Sebelum ini kami pernah ajar mereka melukis hiasan gelas, buat bantal bentuk donat dan itik, apron, tuala dapur serta aksesori hiasan kereta menggunakan perca kain,” jelasnya.

Shabana memberitahu dia dapat melihat perubahan positif sepanjang program ini berlangsung kerana ada yang sudah boleh melakukan apa diajar.

“Mereka gembira mengikuti kelas kraf dan memasak kerana hasilnya boleh terus dapat dilihat dan bawa balik sebagai kenangan. Pihak sekolah pun meminta supaya kami mengajar aktiviti yang menarik supaya membangkitkan minat mereka untuk belajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 3:26 PM