KEYSHA menggemari hidangan mangga dadih resipi ibunya.
SENTIASA menjaga kebersihan setiap kali menyediakan hidangan.
STOK makanan sejuk beku bayi untuk dihantar ke kedai.
AMIRAH menyediakan hidangan enak untuk kanak-kanak cerewet dan memilih makanan.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Apabila si kecil meningkat usia enam bulan kebanyakan ibu teruja menyediakan makanan buat mereka. Ibu mula mencari resipi sesuai di Internet atau membeli buku berkaitan makanan pertama bayi bagi mendapatkan ilmu mengenai penyediaan makanan.

Namun keghairahan ibu menyediakan hidangan ini terbantut apabila si comel menunjukkan tanda tidak mahu makan menerusi mimik muka mereka tatkala diberikan suapan pertama. Lebih malang apabila makanan yang masuk ke mulut diluahkan semula. Selepas beberapa cubaan, ramai ibu yang mengalah dengan kemahuan si anak.

Lantas ramai ibu mengatakan anak mereka cerewet dan memilih makanan tanpa menyedari bayi mempunyai menu kesukaan mereka sendiri. Misalnya ada menggemari pasta berbanding nasi, ada pula penggemar mi dan pelbagai jenis hidangan yang boleh disediakan di rumah.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata, Amirah Atiqah Khairi, mengambil jurusan kejururawatan memberi peluang kepadanya mendapatkan pendedahan mengenai makanan bayi menerusi satu mata pelajaran yang diambil ketika semester keempat.

Selepas melahirkan anak pertama pada 2014, dia cukup teruja menantikan saat permata hatinya, Mohamad Khalish Aqilmullah berusia enam bulan kerana pada masa ini Khalish sudah boleh diberikan makanan pejal pertama.

“Sebaik saja Khalish berusia enam bulan makanan pertama diberikan adalah puri berasaskan buah-buahan. Saya pula rajin meneroka dan membuat pelbagai jenis puri bagi mengetahui sama ada Khalish mengalami alahan atau sebaliknya. Antara puri yang saya berikan adalah tomato, lobak merah dan buah-buahan seperti betik, pisang, epal, avokado serta pic.

“Melihat saya menyediakan makanan berbeza pada setiap hari yang dibawa ke rumah pengasuh menyebabkan beberapa ibu mula menempah supaya saya menghasilkan sajian untuk si kecil mereka,” katanya yang bermula dengan mengambil lima hingga enam tempahan sehari.

Keadaan yang sama turut berlaku pada anak kedua apabila Amirah turut menyediakan puri buah-buahan sebagai pengenalan kepada Keysha Ariana.

Berdasarkan pemerhatiannya, kanak-kanak lebih gemar mengambil pasta berbanding bubur nasi. Berlandaskan ilmu dalam bidang pemakanan bayi yang semakin bertambah dan kepercayaan pelanggan terdiri daripada ibu membuka keyakinan Amirah untuk cuba menjalankan perniagaan berasaskan makanan sejuk beku bayi.

Bermula pada September 2016, dengan tujuan menyediakan makanan sihat dan berkhasiat kepada bayi serta membantu ibu berkerjaya memudahkan urusan mereka, Amirah mula menghasilkan 15 resipi sajian untuk si kecil berusia enam bulan sehingga tiga tahun. Bermula dengan puri buah-buahan dan sayur-sayuran serta bubur berasaskan beras Amirah memberikan makanan yang sudah siap dimasak kepada Khalish.

“Khalish sendiri memang agak pemilih orangnya. Jadi selepas menyiapkan setiap menu saya memberikan kepada Khalish dulu sebagai ‘penguji’. Jika dia menerimanya dengan baik bermakna menu yang disediakan boleh dijual kepada pelanggan,” katanya sambil tersenyum.

Menerusi pemasaran dalam talian makanan bayi menggunakan label Baby Sadoo mula mendapat sambutan menggalakkan. Mengakui tidak sempat menyediakan hidangan sebaik pulang dari kerja kerana pada masa sama perlu menguruskan anak membuatkan Amirah tekad berhenti kerja bagi menumpukan perhatian dalam perniagaan.

“Jika dulu saya hanya dapat menyediakan dua menu bermula dari jam 9 malam sehingga 1.30 pagi, tetapi selepas berhenti kerja saya dapat menyediakan empat menu secara konsisten dengan satu menu sebanyak 100 botol. Itu pun belum dapat memenuhi permintaan pelanggan,” katanya yang kini menempatkan hasil air tangannya di 25 kedai di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang.

Menu ikut peringkat usia

Menjelaskan lebih lanjut mengenai makanan sejuk beku bayi ini, menurut Amirah walaupun ada ramai pengusaha makanan bayi, hidangan untuk si kecil yang disediakannya berbeza kerana dihasilkan mengikut peringkat usia iaitu bermula enam bulan, lapan bulan, setahun hingga tiga tahun. Menerusi pembacaan dan pembelajarannya, bayi berusia enam bulan mesti diberikan puri berbeza selama tiga hingga lima hari bagi mengetahui kesesuaiannya.

“Apabila menginjak usia lapan bulan bayi memerlukan protein dan lemak untuk keperluan tumbesaran mereka. Sebab itu ayam, ikan dan daging boleh diambil pada ketika itu. Untuk keju pula hanya boleh dimakan sebaik saja bayi berusia 10 bulan. Saya juga sering mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mengenai makanan kegemaran atau makanan yang menyebabkan alahan kepada bayi,” katanya yang beroperasi di rumah di Sungai Buloh, Selangor.

Cara penyediaannya juga sangat mudah, hanya perlu dibiarkan cair pada suhu bilik atau direndam dalam air panas. Makanan bayi dalam botol ini sesuai dibawa ke mana saja sama ada ketika bercuti, dalam perjalanan pulang ke kampung atau menjadi menu harian si kecil. Tidak memasukkan sebarang bahan perisa, pengawet atau garam, Amirah mempunyai cara tersendiri bagi memberikan perisa kepada makanan si comel.

“Bagi menjaga kualiti dan keenakan makanan, saya menggunakan minyak zaitun dan mentega tanpa garam ke dalam hidangan untuk lapan bulan ke atas. Menu pula bukan dengan cara merebus atau panggang saja kerana terdapat kepelbagaian dalam cara memasak bagi memastikan nutrisi tetap terpelihara.

“Setiap makanan juga dijamin kebersihannya. Saya juga sentiasa mengingatkan pekerja supaya membersihkan tangan setiap kali memegang bekas makanan. Selepas disediakan botol perlu ditutup rapat bagi mengelak bakteria kemudian terus disimpan di ruangan sejuk beku dan ia tahan selama tiga bulan,” katanya.

Mempunyai 22 menu setakat ini, Amirah berhasrat menambah resipi untuk bayi berusia lapan bulan ke atas kerana ia mendapat permintaan tinggi. Mungkin kerana dalam lingkungan usia sebegini bayi memerlukan makanan lebih rapi menerusi pengambilan makanan berlemak dan kaya protein untuk pertambahan berat badan.

Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, Amirah juga bercadang menambah staf bagi membantu kerja pembungkusan dan pelabelan. Dia juga berharap dapat menambah stokis dan ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memberikan lebih pilihan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 1:46 PM