MOHAMAD Noor Shafiee menerima kunjungan Johor Ladies Bikers Club.
MOHAMAD Noor Shafiee menerima kunjungan Johor Ladies Bikers Club.
HM Digital

Mencari cabaran peribadi dan peluang menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik mendorong 40 ahli Johor Ladies Bikers Club dengan 25 motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi bagi menziarahi keluarga pesakit kanser usus di Kampung Makam di Kota Tinggi, Johor.

Pengerusi Johor Ladies Bikers Club, Salina Salleh berkata, sebahagian peserta konvoi itu dari Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Pontian tidak melepaskan peluang untuk menjayakan program amal bagi menyerahkan sumbangan dan barangan keperluan kepada Mohamad Noor Shafiee, 36, yang terlantar akibat kanser sejak hujung Mac lalu.

Beliau berkata, kisah Mohamad Noor Shafiee yang didedahkan di Harian Metro selain tersebar menerusi aplikasi WhatsApp mendorong pihaknya me­nganjurkan program amal dan ia menerima sambutan ahli termasuk dari luar daerah Johor Bahru.

“Menerusi kisah yang tular, Mohamad Noor dikatakan memiliki tiga cahaya mata manakala isterinya juga masih dalam pantang selepas melahirkan anak bongsu.

“Cadangan untuk meringankan beban keluarga berkenaan dengan mewujudkan tabung khas bagi mengumpul sumbangan menerima maklum balas positif dalam kalangan ahli kami.

“Biarpun sibuk dengan kerjaya masing-masing, ahli kami yang terdiri daripada pekerja swasta, korporat dan usahawan tidak melepaskan peluang untuk menjalankan usaha mengumpul derma serta turut menyumbang wang poket sendiri,” katanya.

Salina berkata, ada peserta konvoi dari Batu Pahat sanggup menempuh perjalanan sejauh 130 kilometer iaitu kira-kira dua jam bagi menyertai program berkenaan.

Pihaknya bersyukur kerana semua peserta konvoi selamat tiba di lokasi perjumpaan di bandar Kota Tinggi sebelum meneruskan perjalanan ke kediaman pesakit.

Selain meluangkan masa setengah jam bersama keluarga pesakit, mereka turut menyerahkan sumbangan RM2,500 dan barangan dapur kepada isteri pesakit kanser itu, Norfaezah Yusof, 30.

“Dunia pemotoran terutama berkonvoi mengguna­kan motosikal berkuasa tinggi sudah sebati dengan kehidupan kami. Bagi memastikan konvoi kami lebih bermakna, setiap tahun Johor Ladies Bikers Club menganjurkan aktiviti amal termasuk menziarahi keluarga asnaf dan pesakit kronik di sekitar Johor.

“Pada Ramadan lalu kami juga menganjurkan program berbuka puasa bersama kumpulan anak yatim di Kempas,” katanya.

Sementara itu, Norfaezah berkata, selepas tamat tempoh berpantang dia bercadang untuk kembali bekerja demi menyara tiga cahaya mata serta suami yang terlantar.

Norfaezah berkata, apabila dia bekerja kelak, ada kemungkinan anak sulung, Mohamad Danial Dalil, 11, terpaksa berhenti sekolah agama bagi menjaga si ayah dengan bantuan si adik yang masih kecil, Mohamad Ataullah, 7.

“Suami yang juga bekas nelayan memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana kanser ususnya mencecah tahap empat dan sudah merebak.

“Suami hanya menjamah nasi dua hari sekali kerana menghadapi masalah penghadaman, malah organ dalamannya terutama buah pinggang­nya juga dikatakan lemah,” katanya.

Norfaezah berkata, keluarganya bersyukur dengan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan beberapa budiman.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka yang membantu keluarga kami dan mendoakan suami agar cepat sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 8:44 AM