BHARATI (tiga dari kiri), Heather dan Dr Ravindran bergambar kenangan pada majlis pelancaran kempen berkenaan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Rasanya semua orang tahu demam denggi berbahaya. Namun, berapa ramai yang mahu mencegah penularan demam denggi yang menjadi antara masalah kesihatan paling dikhuatiri rakyat Malaysia?

Kajian terbaru mendedahkan hanya satu perempat daripada kita berasa mampu mengawal atau bersedia menghadapinya. Tinjau Selidik Denggi SEA, kajian pertama yang dilaksanakan oleh GlaxoSmithKline (GSK) Consumer Healthcare mendedahkan walaupun denggi menjadi kebimbangan orang ramai namun kefahaman mengenai risiko, gejala dan pengurusannya amat terhad.

Hanya 50 peratus daripada individu dalam kajian berkenaan menyatakan bahawa mereka tahu cara mengesan gejalanya manakala 33 peratus maklum bahawa tiada penawar bagi demam denggi.

Paling membimbangkan, hampir 70 peratus daripada rakyat di negara ini tidak sedar bahawa parasetamol ialah satu-satunya ubat yang disyorkan untuk menangani demam denggi seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hasil kajian memaparkan dimensi baru kepada risiko denggi di Malaysia, potensi lebih besar untuk tersalah diagnosis atau menguruskan penyakit secara tidak betul yang mungkin meningkatkan kemungkinan berlaku kerumitan yang mengancam nyawa, lantas membahayakan pesakit.

Walaupun perangkaan negara baru-baru ini mendapati kes denggi secara keseluruhannya merosot berbanding tahun lalu, kesan dan akibatnya yang amat memudaratkan mewujudkan ancaman berterusan kepada rakyat negara ini.

ANCAMAN BERTERUSAN

Denggi adalah sejenis jangkitan virus serius yang merebak daripada seorang kepada orang lain menerusi nyamuk aedes. Sebagai penyakit virus bawaan vektor yang paling pantas merebak di dunia, ancaman denggi sememangnya berleluasa dan berbahaya, hampir 40 peratus daripada penduduk di dunia dianggarkan menghadapi risikonya.

Di Asia Tenggara saja menunjukkan tahap kelaziman demam denggi yang tertinggi iaitu dialami 2.9 juta orang setiap tahun dan menjadi beban serantau paling besar di dunia.

Naib Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Bharati Suresh Chand berkata, demam denggi disebarkan melalui nyamuk aedes aegypti dan biasanya ia terdapat di dalam atau sekeliling kediaman.

“Walaupun anda pernah menghidap demam denggi, ia tidak bermakna diri akan terlepas. Malah, risiko untuk menjadi lebih teruk berbanding kali pertama meningkat kerana denggi mempunyai empat jenis iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan Den 4.

“Disebabkan itu, jika sudah tahu akan ada aktiviti ‘fogging’ di kawasan kediaman, biarkan tingkap rumah terbuka untuk memastikan semburan berkenaan memasuki rumah, sekali gus dapat menghapuskan telur nyamuk yang sedang membiak.

“Tindakan menutup tingkap atau pintu ketika semburan ‘fogging’ dilakukan tidak akan berjaya menghapuskan telur atau nyamuk itu sendiri, malah akan merumitkan keadaan jika ia membiak di dalam atau sekitar rumah,” katanya.

Jelasnya, golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit ini adalah anak kecil kerana sistem imun mereka lebih rendah berbanding orang dewasa.

Selain itu, individu yang mempunyai penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan sebagainya akan meningkatkan risiko mendapat denggi dengan mudah.

Malah, wanita juga dikatakan berisiko tinggi untuk menghidap denggi berbanding lelaki. Lebih membimbangkan apabila mereka tidak dapat membezakan pendarahan haid atau denggi apabila penyakit dijangkiti ketika datang haid.

“Jika mengalami demam denggi berdarah dan tidak diberi rawatan segera, ia boleh menyebabkan kematian. Ini kerana tiada ubat yang boleh merawat denggi, sebaliknya penggunaan parasetamol hanya berupaya untuk mengawal simptom dan suhu badan.

“Pesakit dinasihatkan supaya banyak minum air dan berehat. Jangan gunakan ais ketika menuam kerana ia boleh menurunkan suhu badan hingga ke bawah 36 darjah Celsius, sekali gus mengejutkan tubuh dan mengundang masalah lain seperti pneumonia.

“Jika mahu menuam badan, sebaik-baiknya lakukan selang 30 minit, berhenti dan ulangi semula selepas itu. Sesetengah ubat seperti aspirin, ibuprofen, steroid dan antibiotik boleh memburukkan lagi gastritis atau pendarahan jika diambil ketika demam denggi “ katanya.

MELAWAN DENGGI

Menurut Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Ravindran Naidu, mendidik pesakit dan pengamal perubatan mengenai denggi sangat penting.

“Sangat penting untuk mengetahui bahawa diagnosis demam denggi boleh dibuat pada hari pertama jangkitan dengan melakukan ujian darah.

“Ini kerana denggi yang serius boleh membahayakan nyawa dan perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera pada 24 hingga 48 jam pertama selepas munculnya tanda serius.

“Tanda denggi yang serius biasanya muncul tiga hingga tujuh hari selepas kemunculan simptom denggi yang pertama,” katanya.

Memandangkan tahap kesedaran tinggi mengenai kesan denggi dan tahap keterukan penyakit, tidak hairanlah hampir 90 peratus daripada peserta tinjau selidik mahu mempelajari lebih lanjut mengenai penyakit itu.

Bagi memberi maklumat yang betul mengenai denggi, kempen Bersama Melawan Denggi atau Allied Against Dengue (AAD) dilancarkan, baru-baru ini.

Kempen berkenaan turut mendapat kerjasama UCSI University Malaysia, Caring Pharmacy Group Berhad, Apex Pharmacy Marketing dan MIMS Health Today selain Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Guardian Health & Beauty Malaysia Sdn Bhd serta GSK Consumer Healthcare.

Pengarah Pemasaran Asia Tenggara Bahagian Pernafasan dan Pengurangan Kesakitan, GSK Consumer Healthcare, Heather Pelier berkata, usaha itu bertujuan membantu mencegah dan menguruskan denggi dengan membabitkan, memperkasakan serta mendidik orang ramai.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditinjau selidik mengambil langkah proaktif untuk membantu mencegah denggi. Namun, apabila dijangkiti, kita tidak tahu mengenai cara mengenal pasti gejala, langkah untuk menguruskan penyakit dan paling penting cara mencari maklumat penting yang boleh dipercayai.

“Ketidakpastian ini menunjukkan keperluan untuk mendidik masyarakat semakin ketara bagi memastikan mereka lebih yakin dan berilmu dalam menangani gejala denggi,” katanya.

Diasaskan pada tahun 2015, AAD mula dilancarkan di Indonesia dan diikuti Malaysia serta Filipina. Lebih 11,500 profesional penjagaan kesihatan dan ahli farmasi menyertai misi untuk memperkasakan dan mendidik lebih tujuh juta pesakit mengenai pencegahan dan pengurusan penyakit menerusi pelbagai saluran digital, media serta aktiviti di lokasi.

Tahun ini, pelancaran kempen berkenaan dimulakan dengan Larian AAD 2017 yang akan diadakan pada 17 September 2017 di Galeri Pameran Bandar Rimbayu, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 1:05 PM