HIMPUNAN terkini beri kelainan menerusi warna garang.
HM Digital

Kecomelan kanak-kanak terserlah apabila menggayakan padanan baju kurung yang diubah suai dengan gaya moden. Walaupun ramai ibu memilih kurung sebagai pakaian tradisi untuk perayaan, menerusi potongan yang moden menampakkan padanan ini juga sesuai digayakan untuk acara kasual.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut pengasas jenama Loveds by Mostly Mayesa, Nor Eliza Mohd Dom, sebelum ini Loveds menghasilkan rekaan kasual menerusi gaun pendek, kemeja dan blaus untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan. Kemudian menjelang Aidilfitri dan Aidiladha yang lalu mereka mula menghasilkan potongan bersesuaian dengan acara keraian.

“Jadi terhasillah baju kurung kanak-kanak menggunakan rona ceria. Untuk setiap padanan kami masih mengutamakan keselesaan. Ini kerana bagi kami apa guna anak bergaya sempurna jika tidak selesa.

“Oleh itu, pakaian yang dihasilkan mementingkan kualiti fabrik kerana pelanggan terdiri daripada si comel pada usia enam bulan sehingga 10 tahun.

“Untuk itu Loveds by Mostly Mayesa sangat mementingkan fabrik berkualiti. Rekaan pula perlulah menarik dan terhad. Untuk tampil eksklusif setiap koleksi hadir dalam kuantiti yang kecil,” katanya yang menjalankan pemasaran menerusi media sosial.

Menjelaskan lebih lanjut, untuk setiap padanan kurung, Nor Eliza memilih fabrik kapas Oxford kerana sesuai dengan cuaca panas di Malaysia. Sifat kapas menyerap peluh dan sejuk menyebabkan ia selesa digayakan si kecil terutama mereka yang di bawah usia setahun. Berbanding kapas lain, Oxford lebih lembut, tidak berkedut dan mudah dicuci.

“Jika koleksi pertama kami memilih warna lembut jadi untuk himpunan kedua ini kami memberi kelainan menerusi warna garang seperti merah, kuning, merah jambu terang, biru dan hijau pudina. Ia menjadi pilihan kerana bersesuaian dengan sifat kanak-kanak yang ceria dan periang,” katanya.

Untuk potongan pula, mengikut gaya semasa iaitu mainan dengan ropol, untuk padanan baju kanak-kanak Nor Eliza mengetengahkan konsep yang sama dengan menghasilkan teknik potongan ropol pada dada dinamakan Victoria dan bahu atau Sarah. Teknik ini menjadikan si pemakai tampil menyerlah terutama apabila digayakan si kecil untuk menghadiri majlis keraian.

Untuk busana perempuan dijual pada harga RM149 manakala pakaian lelaki pada harga RM129. Hadir dalam ukuran S sehingga XL juga didatangkan pada rona sedondon untuk ibu dan anak. -Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 10:18 AM