BAHAN semula jadi yang digunakan dalam perawatan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Proses atau kaedah bertangas wujud sejak zaman nenek moyang kita dan ia amat popular di negara Nusantara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia, begitu juga di India.

Selain memperbaiki bahagian luaran, kaedah bertangas ini mampu memberi impak hingga ke dalam badan sekiranya dilakukan secara kerap.

Kaedah bertangas amat mudah sebenarnya, tetapi ia kian dilupakan dengan wujudnya produk baru apatah lagi wanita moden zaman ini yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rawatan dalaman yang membawa kesejahteraan rumah tangga dan kesihatan serta kebersihan diri.

Malah, jika ditanya sebahagian wanita muda ketika ini, mungkin tidak ramai yang tahu atau menyedari kelebihan amalan yang diwarisi nenek moyang sejak berabad ini.

Jika kena caranya, bagi yang wanita sudah berumah tangga dan melahirkan anak mampu mengembalikan organ intim seperti ‘anak dara’.

Tangas juga amalan penjagaan kesihatan keseluruhan tubuh dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan bahagian sulit semata-mata.

Malah, amalan ini dapat membantu wanita mengatasi masalah keletihan, berat badan berlebihan, mengecutkan urat badan dan membuang angin kerana bertangas akan mengeluarkan peluh dan menyebabkan toksin keluar dari badan. Bagi ibu bersalin, ia juga dapat membantu proses penyembuhan, kemutan faraj dan rahim.

Menurut Pengasas Scentual Beauty, Sue Abdullah, ramai menganggap bertangas hanya dilakukan ketika berpantang atau untuk mereka yang melahirkan anak, namun sebenarnya amalan ini sesuai untuk semua wanita sama ada yang belum atau sudah berkahwin.

Katanya, herba yang terkandung dalam set bertangas mampu merawat, memperbaiki urat dan juga bahagian sulit wanita yang tercedera semasa proses melahirkan anak.

“Kaedah tradisional ini juga mampu meresap hingga ke dalam badan wanita sekiranya diamalkan secara berterusan,” katanya.

Kaedah bertangas sesuai dicuba semua peringkat umur dari remaja hingga wanita yang baru menopaus untuk membuang toksin dalam badan, membersih dan menghilangkan keputihan dan melancarkan aliran darah.

Menurutnya, menjelang hari bahagia, bakal pengantin pastinya mahu kelihatan cantik, segar dan menawan maka bertangas adalah kaedah pantas mengembalikan kesegaran dan tampil berkeyakinan di depan suami.

Sue berkata, tradisi bertangas memang efektif untuk melengkapi kecantikan calon pengantin apatah lagi memiliki banyak manfaat untuk menghilangkan bau tubuh.

Untuk bakal pengantin katanya, herba seperti manjakani, sirih, serapat dan kunyit antara bahan digunakan sebagai rempah tangas bagi memberi kesegaran, menghilangkan bau dan mengurangkan keputihan.

Di samping itu, semua bahan yang digunakan adalah semula jadi dan bebas daripada bahan kimia kerana mahu mengelakkan kesan sampingan terhadap pelanggan.

Dalam proses bertangas, badan biasanya diselubungi dengan kain iaitu dari paras leher dan kain berkenaan labuh hingga ke lantai agar wap tangas sampai ke seluruh badan.

Selepas beberapa minit, wanita yang menjalani rawatan bertangas duduk di atas kerusi khas dengan wap air rebusan campuran herba mengenai bahagian sulit mereka.

Proses rawatan ini biasanya dilakukan selama 15 hingga 20 minit mengikut kehendak individu dan elok dilakukan sebulan sekali.

“Di spa ini, kami menyediakan pakej lengkap buat bakal pengantin memanjakan diri sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

“Dengan pakej serendah RM299, pelanggan mendapat pakej lengkap antaranya bertangas, mandi bunga, perawatan wajah, lulur, sauna, rendaman kaki, spa rambut, urutan wajah dan kepala.

“Perawatan lengkap dari hujung rambut hingga kaki ini mengambil masa antara empat ke lima jam agar pelanggan dapat merehatkan diri, meredakan tekanan dan menyegarkan diri sebagai persediaan sebelum bergelar raja sehari,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pakej pengantin juga boleh dipilih untuk wanita yang sudah berkahwin.

Katanya, spa khusus buat wanita Muslimah di Wangsa Melawati itu bukan saja menyediakan perawatan kecantikan malah salun rambut bagi memudahkan wanita terutama yang berhijab untuk mendapatkan rawatan lebih privasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 10:49 AM