REKAAN terkini.
MEMBERI keselesaan kepada pemakai.
BUSANA ringkas namun cantik digayakan.
Siti Nadirah Hafidzin

Siapa kata gaya ringkas tidak boleh menarik perhatian? Kalau bijak mengadun warna dan menambah aksesori, gaya ringkas akan lebih menyerlah berbanding busana yang sarat hiasan.

Ciri inilah yang dicari oleh kebanyakan wanita yang mahu tampil dengan gaya sederhana tetapi menarik. Malah ramai yang mahu konsep minimalis untuk gaya harian bagi memudahkan pergerakan dan boleh disesuaikan dengan setiap keadaan.

Atas faktor itu, jenama fesyen tempatan Clasa RTW membariskan pelbagai rekaan busana supaya si manis boleh bergaya ringkas dan tampak menawan.

Menurut pengasasnya Maisurah Mazlan, antara koleksi yang sentiasa menerima sambutan menggalakkan adalah Magnolia Exclusive, Viola, Clover, Gaun Luna, Aria, Kurung Berlisu, gaun ropol, Daisy dan Aleefa Suit.

“Semua koleksi kami adalah busana idaman wanita dan didatangkan dengan harga mampu milik serta berpatutan.

“Kami juga membariskan koleksi pelbagai rekaan yang menyerlah, ringkas tetapi klasik. Selain itu, busana kami juga dilengkapi zip tersorok pada bahagian depan baju bagi memudahkan proses penyusuan selain di hujung lengan,” katanya.

Menurutnya, fabrik yang digunakan juga berkualiti tinggi dan setiap rekaan adalah unik serta mengikut perkembangan fesyen semasa.

“Sehingga kini, kami mempunyai 13 rekaan dan harga bermula RM39 hingga RM250 bergantung kepada busana.

“Kami mengutamakan kualiti dan bukan kuantiti dan atas sebab itu saya akan memastikan setiap rekaan dan material digunakan memuaskan hati pelanggan terutama memberikan keselesaan ketika dipakai,” katanya.

Maisurah berkata, dia juga menawarkan perkhidmatan tempahan apabila pelanggan boleh memilih sendiri rekaan, saiz, fabrik dan warna yang dikehendaki.

“Kami menyasarkan pelanggan dalam kalangan wanita moden yang sukakan fesyen, wanita sudah berkahwin dan mempunyai anak tetapi sering mengalami masalah mendapatkan busana dengan rekaan terkini serta dilengkapi zip pada bahagian depan.

“Selain itu, busana kami juga boleh digayakan wanita bersaiz besar kerana selain saiz biasa, kami turut menyediakan pilihan saiz untuk wanita bertubuh berisi,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:00 AM