SERONOK dapat menyumbang tenaga untuk kelestarian alam.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Pelawaan sebagai sukarelawan membersihkan pantai disambut dengan hati terbuka. Pengalaman berehat di tepi pantai yang dicemari bekas pembungkus makanan, pinggan dan mangkuk polistirena, cawan dan botol plastik malah sisa binaan begitu menyeksakan hingga sukar dikikis daripada ingatan.

Rasa sakit hati, geram dan kesal bercampur-baur melihat keindahan pantai dirosakkan oleh sikap masyarakat yang kurang peka terhadap kesan sampah kepada alam.

Tatkala itu teringat pula bersihnya pantai di negara orang sehingga menjadi destinasi tumpuan pelancong walaupun pantai di negara sendiri lebih indah dan lunak pasirnya.

Keterujaan lebih 200 sukarelawan yang menyertai acara Pembersihan Pantai di bawah program Pemuliharaan Laut Antarabangsa ke-32 anjuran The Body Shop jelas kelihatan. Ini adalah kali ke-23 The Body Shop mengambil bahagian dalam inisiatif sukarelawan global membersihkan kawasan pantai dan perairan.

Buat pertama kali, usaha membersihkan Pantai Morib Baharu di Banting, Selangor ini mendapat kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang dimeriahkan dengan kehadiran sukarelawan muda dari German Malaysian Institute, Kolej Komuniti Kuala Langat, iM4U, Lightbulb Apparel dan masyarakat setempat.


SUKARELAWAN yang terbabit dalam pembersihan pantai.

Menurut Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia Datin Mina Cheah-Foong, program itu bukan sekadar memungut sampah supaya pantai menjadi bersih tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan ia tidak kembali ke dalam laut dan menjejaskan hidupan marin.

“Kita perlu sedar kesan sampah ke atas alam sekitar dan apa akan terjadi sekiranya ia tidak dibuang dengan betul. Sasaran utama inisiatif ini untuk mengelak sampah daripada masuk semula ke perairan, mendidik masyarakat dan memperlihatkan hasil pungutan yang berjaya dikumpulkan kepada orang ramai.

“Kami mahu orang melihat betapa banyaknya sampah yang kita buang tanpa rasa tanggungjawab sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku. Dalam memulakan komitmen baru ini, kami lebih bersungguh-sungguh untuk cuba melindungi dan mengembalikan kesejahteraan planet ini dengan pelbagai cara yang boleh dilakukan bersama,” katanya.

Katanya, ia juga sejajar dengan misi jenama itu untuk mengembangkan perniagaan yang menggunakan sumber alam supaya ia boleh ditanam dan dituai hasilnya secara semula jadi. Inilah sebabnya usaha menjaga kebersihan sumber air, pantai, laut, tasik dan sungai secara berterusan amat penting, bukan sekadar aktiviti sehari dalam setahun.

Dalam acara yang dirasmikan ahli MDKL Fazly Razaly dengan kehadiran Pengarah MDKL Arpaaii Sanat itu, sukarelawan berjaya mengumpulkan lebih 1,400 kilogram sampah dalam tempoh kurang daripada tiga jam.

Antara yang dikutip termasuk peti sejuk mini, payung, paip, pakaian, peralatan upacara keagamaan dan sampah ‘biasa’ seperti beg dan botol plastik, bekas serta pembalut makanan serta straw.

Walaupun disediakan hadiah bagi tiga kumpulan yang berjaya mengutip sampah terbanyak, mata penulis sekeluarga lebih fokus mencari serpihan kaca yang bertabur di sepanjang pantai.


ANTARA sampah yang berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua setengah jam.

Memang benar, lama-kelamaan serpihan kaca ini akan menjadi tumpul dek geseran dan hakisan, tetapi kami menemui banyak cebisan besar yang masih tajam dan berbahaya kerana biasanya pengunjung bermain di pantai tanpa memakai kasut.

Malah kami sendiri tidak menyangka, pantai Morib Baharu yang secara umumnya tampak bersih itu rupanya ada banyak sampah terselindung. Berapa agaknya hasil kutipan di pantai yang penuh sampah yang penulis kunjungi dua tahun lalu.

Berkongsi kebimbangan ini, rakan di sana turut mengambil inisiatif mengadakan aktiviti mengutip sampah bersama pelajar universiti dan dalam tempoh dua jam, hasil ‘tuaian’ mereka melebihi 900 kilogram!

Diharap kesedaran ini akan meluas ke semua tempat supaya satu hari nanti nama Malaysia setanding dengan Jepun yang sememangnya masyhur dengan kebersihannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 9:38 AM