AYAM kunyit shitake juga enak disajikan bersama nasi panas.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Bagi mereka yang mementingkan kesihatan atau dalam usaha menjaga berat badan, tentunya menu makanan sihat menjadi pilihan manakala makanan tinggi lemak dan kolestrol menjadi kepantangan buat mereka.

Pemilihan makanan sihat yang kaya nutrisi penting untuk tubuh badan seharusnya menjadi kewajipan setiap orang bagi mengelakkan pelbagai penyakit berbahaya.

Malaysia terdapat pelbagai makanan enak, tetapi kurang menyihatkan hingga ia seakan-akan satu cabaran kepada orang ramai yang mahu mengamalkan pemakanan sihat.

Ini boleh mendorong kepada tabiat pemakanan tidak sihat, seterusnya mencetuskan masalah kesihatan kardiovaskular.

Mengurangkan makanan berlemak dan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dalam sajian yang betul adalah satu permulaan baik untuk mengekalkan kesihatan tubuh.

Jurulatih kecergasan, Siti Fadhlina Halipah berkata, sudah tiba masanya setiap orang memberi perhatian serius kepada aspek penjagaan makanan dan lebih berwaspada terhadap makanan diambil demi kesejahteraan jangka panjang apatah lagi dalam keadaan jumlah penghidap penyakit gaya hidup semakin meningkat.

“Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan bukanlah satu keputusan yang sukar atau mencabar, tetapi apabila kepentingannya disedari, kita perlu mencuba gaya hidup sihat perlahan-lahan bersesuaian dengan kehidupan dan mulakan dengan pemakanan harian kita.

“Banyak penyakit yang bermula daripada apa yang kita makan, kebanyakan orang Malaysia mahu makan sedap, tapi kebanyakannya tinggi kandungan lemak, minyak dan kolesterol.

“Masyarakat kita juga kurang kesedaran mencegah penyakit, biasanya sudah terlambat dan akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, penyediaan menu sihat tidaklah sesukar yang disangka, malah jika kena caranya, mereka yang sedang memulakan diet seimbang dapat menikmati masakan enak, namun rendah kalori dan lemak.

Sebab itu katanya, penyediaan masakan juga penting untuk memastikan hidangan dengan warna menarik dari pelbagai jenis sayuran untuk mengelakkan rasa jemu selain menarik perhatian untuk menikmatinya.

“Makanan sihat tidak semestinya kelihatan membosankan, pentingnya kreativiti untuk menjadikan hidangan menarik dipandang, sekali gus membuka selera. Makanan sihat tidak perlu lagi dianggap ‘hidangan hospital’ sebaliknya masukkan warna menarik dari sumber sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Siti Fadhlina menunjukkan cara-cara memasak hidangan ayam kunyit shitake yang kurang lemak dan berkhasiat untuk seisi keluarga.

BAHAN

• Isi ayam yang dibuang kulit

• Cendawan shitake

• Lobak merah yang dipotong dadu

• Kacang pis

• Cendawan shitake

• Bawang putih (dihiris nipis)

• Bawang merah (dihiris nipis)

• Cili padi

• Serbuk kunyit

• Gula dan garam secukup rasa


BAHAN-BAHANNYA.


1.DALAM kuali tidak melekat, tumis bawang putih, bawang merah dan cili padi yang ditumbuk kasar dengan sedikit air.

2. MASUKKAN isi ayam, serbuk kunyit dan secawan air. Air jangan terlalu banyak. Biarkan seketika dengan api yang tidak terlalu kuat.

3. SELEPAS ayam empuk, masukkan cendawan shitakae, kacang pis dan lobak merah yang dipotong dadu. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Biarkan sehingga masak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 12:19 PM