WANITA jadi mangsa perokok aktif.
Intan Mas Ayu Shahimi


Kanser paru-paru kini diklasifikasikan sebagai masalah kesihatan lazim, bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Faktor risiko paling utama yang menyumbang ke arah peningkatan jumlah pesakit ini adalah tabiat merokok.

Di Malaysia, kanser paru-paru adalah yang ketiga paling lazim selepas barah payudara dan usus besar (kolorektal). Ia selalunya lambat dikesan dengan kebanyakan pesakit hanya menemui doktor apabila berada pada tahap akhir.

Tidak banyak berbeza dengan barah lain, kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru yang normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau mutasi dan mula membesar serta tumbuh tanpa kawalan.

Dalam kebanyakan kes, sel kanser boleh merebak ke organ atau struktur berdekatan dengannya dan seterusnya ke anggota lain seperti nodus limfa, hati, tulang hingga otak (keadaan ini dipanggil metastasis).

Pakar Runding Klinikal dan Onkologi Radiasi Hospital Pakar KPJ Damansara Dr Aminudin Rahman Mohd Mydin berkata, menghisap rokok sama ada aktif atau pasif adalah penyumbang utama kepada kanser paru-paru. Ini kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia yang dikenal pasti sebagai penyebab kanser paru-paru.

“Berdasarkan kajian, antara 90 hingga 95 peratus kanser ini disebabkan tabiat merokok. Karsinogen, tar dan nikotin yang terkandung dalam asap rokok bukan saja membawa risiko kepada perokok aktif, malah memberi ancaman lebih besar kepada perokok pasif, khususnya wanita,” katanya.

Mengambil kira situasi di negara ini, Dr Aminudin berkata, peratusan orang merokok semakin bertambah tidak kira lelaki, wanita mahupun remaja. Hal itu sekali gus memberi gambaran cukup jelas tahap risiko kanser paru-paru terus meningkat dari semasa ke semasa.

Walaupun rokok boleh menyebabkan penyakit lain seperti kanser mulut dan perut, perkara paling menarik perhatian kini adalah peningkatan risiko kanser paru-paru terhadap perokok pasif disebabkan asap rokok.

“Berdasarkan trend sepanjang lima hingga 10 tahun ini, kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif khususnya wanita dan orang muda semakin meningkat. Ini bermakna, ada dalam keluarga tidak kira suami atau bapa yang merokok di rumah.

“Malah mereka ini juga kelompok yang sering terdedah kepada bahaya asap rokok ketika berada di restoran, pejabat, bahkan tempat awam. Tidak dapat tidak, perokok pasif ini akan menyedut lebih banyak bahan kimia dalam asap yang dihembus perokok aktif.

“Inilah punca kanser. Ramai yang tidak sedar asap rokok yang dihembus itu lebih berbahaya daripada yang disedut perokok. Tambah mengecewakan apabila isu kesihatan awam ini dipandang enteng majoriti rakyat negara ini.

“Walaupun kita sudah mempunyai undang-undang dan peraturan yang tidak membenarkan orang merokok di tempat awam, namun penguatkuasaan masih lemah. Ramai masih merokok di tempat awam termasuk restoran, kedai makan, pejabat dan sebagainya. Situasi sebegini pastinya akan terus membahayakan kesihatan perokok pasif,” katanya.


DR Aminudin Rahman.

Wanita jadi mangsa

Memetik kajian dari luar negara, Dr Aminudin berkata, golongan perokok pasif wanita adalah kelompok paling berisiko mendapat adenokarsinoma paru iaitu sejenis kanser yang terbentuk daripada sel paru-paru yang tidak normal, membiak dan membentuk tumor.

“Menurut teori, wanita dikatakan lebih berisiko kerana sensitif terhadap asap rokok. Mereka ini kerap terdedah kepada tabiat pasangan yang merokok, rakan perokok aktif dan tempat awam yang dicemari asap rokok.

“Perlu diketahui ciri kanser paru-paru dalam kalangan perokok dan bukan perokok mempunyai banyak perbezaan. Biasanya, orang yang merokok tidak menyedut asap yang ‘dalam’.

“Mereka hanya sedut sedikit dan hembus. Jadi, asap rokok itu tidak masuk ke bahagian dalam paru-paru dan lebih kepada bahagian luaran saja. Jika kanser berlaku sekalipun, simptom itu akan datang awal. Cuma, kanser akan lebih agresif.

“Berbanding perokok pasif, mereka yang terdedah kepada asap rokok ini akan menyedut hingga ke bahagian dalam paru-paru. Kanser yang berlaku sukar menonjolkan sebarang simptom. Ia bagaimanapun berlaku di pinggir (periferi) paru-paru, bukan di tengah seperti dialami pesakit kanser yang merokok,” katanya.

Kata beliau, perokok yang menghidap kanser paru-paru biasanya akan menunjukkan simptom jelas seperti batuk, batuk berdarah, penat dan susah bernafas. Namun bagi perokok pasif, sel kanser yang tumbuh di pinggir paru-paru menyukarkan pesakit mengesan masalah dihidapi dari awal.

“Dalam kebanyakan situasi, perokok pasif yang menghidap kanser tidak akan menghadapi sebarang masalah di peringkat awal. Jadi, kecenderungan untuk mereka mendapatkan pemeriksaan lanjut adalah rendah.

“Apabila simptom jelas mula kelihatan, biasanya sel kanser sudah pun merebak ke tahap tiga, empat dan mungkin sudah terlalu lewat untuk diubati. Sebab itu, dalam kebanyakan kes membabitkan bukan perokok wanita, mereka hanya sedar di peringkat lewat. Tidak ada simptom awal. Tetapi, dalam tempoh antara sebulan hingga setahun, ia sudah mula merebak ke tulang dan organ lain. Ketika inilah baru mereka sedar menghidap kanser,” katanya.

Membina kesedaran

Dalam pada orang sibuk memperkatakan mengenai risiko kanser paru-paru, masih ramai yang bersikap ‘masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri’. Kata Dr Aminudin, masyarakat bagaikan tidak mahu sedar mengenai hakikat bahaya rokok dan kanser paru-paru.

“Kita mahu masyarakat sedar. Wanita khususnya perlu sedar risiko untuk mereka menghidap kanser ini lebih tinggi sekalipun tidak merokok. Penguatkuasaan perlu lebih menyeluruh. Kalau di barat, golongan perokok biasanya akan keluar (dari rumah atau pejabat) dan menjauhi orang lain untuk merokok.

“Di Malaysia, kesedaran itu masih kurang. Kita selalu mengingatkan orang ramai supaya jangan merokok di tempat awam, jangan membahayakan kesihatan orang lain, tetapi kesedaran umum dan penguatkuasaan masih di takuk mengecewakan.

“Kalau sudah tahu kanser paru-paru berbahaya, sukar dirawat di peringkat lewat, peratus kesembuhan rendah, apa kata setiap orang mengambil tanggungjawab terhadap diri sendiri untuk melalui ujian pengesanan awal atau setidak-tidaknya pemeriksaan kesihatan lengkap?

“Teknologi perubatan hari ini sudah maju. Kita mempunyai pilihan sama ada untuk melakukan ujian sinar-X, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau Positron Emission Tomography (PET Scan). Apa yang penting, lakukan pemeriksaan sekiranya anda dalam kelompok berisiko,” katanya.

Jelas beliau, ada ujian klinikal dibuat di Amerika Syarikat untuk melihat keberkesanan CT Scan dada bagi mengesan mengesan kanser paru-paru dalam kalangan perokok.

“Mereka mencadangkan supaya CT Scan dos rendah dibuat untuk golongan dewasa berumur antara 55 ke 80 tahun dengan sejarah 30 tahun sebagai perokok tegar. Tidak kira sama ada kelompok umur ini masih merokok atau tidak, itu adalah cadangan spesifik yang mereka keluarkan untuk mengesan pesakit kanser di peringkat awal.

“Begitupun, jika diperhatikan, perokok pasif masih berisiko mendapat kanser paru-paru. Hal ini jarang dibincangkan (ujian pengesanan awal) berbanding isu berkaitan mamogram, kanser serviks, lumuran pap, kanser kolon dan sebagainya.

“Sedangkan jika pesakit tampil di tahap lewat, peratusan untuk sembuh adalah rendah dan ramai yang meninggal dunia akibat kanser ini. Jadi, sebaiknya, kita buat CT Scan untuk kelompok berisiko,” katanya.

Merawat kanser

Menjelas lanjut, Dr Aminudin berkata, dalam bidang perubatan, terdapat dua jenis kanser paru-paru iaitu:

1. Non-Small Cell Lung Cancer (NSCLC) - jenis paling lazim membabitkan 75 hingga 85 peratus keseluruhan kanser paru-paru.

2. Small Cell Lung Cancer (SCLC) - jenis kurang lazim membabitkan 15 peratus daripada keseluruhan kanser paru-paru namun mempunyai kecenderungan untuk merebak lebih awal kepada bahagian organ lain.

Bagi perokok tegar, mereka boleh menghidapi mana-mana jenis kanser di atas. Namun, perokok pasif dikatakan lebih cenderung menghidapi adenokarsinoma paru.

“Adenokarsinoma adalah kanser jenis NSCLC. Ia kanser paling lazim berlaku. Biasanya, bagi pesakit kanser tahap satu dan dua, kami akan cadangkan untuk melalui pembedahan membuang sebahagian paru-paru.

“Tetapi, bagi pesakit berisiko untuk dibedah, mereka masih boleh menjalani rawatan radioterapi. Ini adalah pilihan rawatan kedua untuk pesakit yang tidak boleh melalui pembedahan disebabkan keadaan paru-paru tidak mengizinkan atau tidak berfungsi baik.

“Bagaimanapun, ada juga kes membabitkan sel kanser yang kecil, namun risiko pembedahan terlalu besar. Dalam situasi ini, dicadangkan pesakit menjalani rawatan Stereotactic Body Radiation Therapy (SBRT). Kita fokuskan dos radioterapi yang tinggi kepada sel kanser untuk menghilangkannya,” katanya.

Menurut Dr Aminudin, dengan pilihan rawatan yang ada hari ini, pesakit kanser paru-paru tahap empat berupaya bertahan lebih lama.

“Bagi golongan perokok pasif yang cenderung menghidapi adenokarsinoma, walaupun mereka tampil pada peringkat keempat (sel kanser sudah merebak ke organ lain), tapi ada banyak rawatan terkini yang boleh membentuk meningkatkan kadar survival pesakit (jangka bertahan hidup).

“Sekalipun tidak boleh disembuhkan, dengan rawatan berkesan, mereka boleh hidup untuk beberapa tahun lagi. Ini kelebihan rawatan terapi yang disasarkan terus ke sel kanser pesakit.

“Jika dulu kita biasa guna kemoterapi saja, rawatannya banyak kesan sampingan seperti loya, muntah, rambut gugur dan sebagainya, kini teknologi perubatan menawarkan pilihan yang lebih baik.

“Banyak ubatan berbentuk pil dan pesakit boleh pulang ke rumah menikmati hidup sebagaimana orang lain. Sedikit kesan sampingan biasanya berlaku pada kulit. Pesakit mungkin mengalami gatal-gatal, ruam, jerawat dan cirit-birit. Ia berbeza dengan kesan kemoterapi yang lebih teruk Apa yang penting, pesakit perlu melalui ujian terlebih dulu untuk menentukan jenis rawatan bersesuaian,” katanya.

Imonuterapi

Biasanya, untuk kanser paru-paru peringkat lanjut, Dr Aminudin berkata, pakar perubatan akan mempertimbangkan jenis rawatan imunoterapi untuk melawan kembali sel kanser dalam tubuh pesakit.

“Sel kanser ini adalah benda asing dalam tubuh seperti bakteria dan virus. Umum mengetahui bahawa sistem daya tahan badan kita boleh kesan bakteria dan virus kerana ia terdiri daripada benda asing. Jadi, kenapa sel imun kita tidak boleh mengesan sel kanser?

“Imunoterapi akan membantu mengembalikan fungsi sistem imun tubuh yang ‘dinyahaktif’ sebelum ini, sekali gus mengesan sel kanser dan membunuhnya. Ia adalah rawatan terkini dalam bidang kanser dan onkologi. Memandangkan kaedah ini menggunakan sistem imun tubuh untuk melawan, jadi kesan sampingannya lebih ringan berbanding kemoterapi,” katanya.

Jelas Dr Aminudin, perkembangan perubatan hari ini banyak membantu meningkatkan tahap survival pesakit kanser paru-paru.

“Jika dulu, dengan kemoterapi saja boleh bertahan selama enam bulan. Sekarang ini, pesakit boleh bertahan selama beberapa tahun dengan kombinasi terapi bersesuaian,” katanya.

Mengesan kanser peringkat awal

1. Pertimbangkan beberapa faktor berikut:

• perokok tegar

• berumur 50 tahun ke atas

• merokok melebihi 20 batang sehari

2. Dapatkan pemeriksaan kesihatan lengkap di hospital berdekatan

3. Atur pemeriksaan kesihatan dengan pakar perubatan paru-paru

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 3:07 PM