ANTARA pameran yang dianjurkan.
Hajahfarhana Tarmudi

Sokongan orang sekeliling terutamanya insan yang paling dekat dengan ibu membantu menjadikan aktiviti penyusuan bayi menyeronokkan.

Bukan itu saja, orang sekeliling terutama peruncit atau penjual barangan bayi juga perlu memainkan peranan untuk menggalakkan penyusuan susu ibu.

Namun, maklumat berguna perlu dicari sebanyak mungkin untuk disebarkan kepada ibu bapa yang berkunjung ke premis mereka ketika mencari peralatan dan keperluan bayi.

Penasihat laktasi, Dr Ahmad Ridzuan berkata, banyak manfaat susu ibu yang perlu diambil perhatian bukan saja kepada bayi tetapi wanita itu sendiri.

“Kebiasaannya, sesetengah wanita begitu mementingkan matlamat untuk mengembalikan bentuk badan selepas melahirkan anak hingga ada yang sanggup mengurangkan jumlah makan dan menolak menyusukan bayi sendiri.

“Menyusukan bayi banyak manfaatnya. Misalnya, dapat membantu menurunkan berat badan secara semula jadi selain mengurangkan risiko kanser payudara, kemurungan dan osteoporosis di kemudian hari.

“Susu ibu juga memberi kelebihan kepada bayi seperti mengurangkan risiko jangkitan, obesiti, kolesterol tinggi dan diabetes di kemudian hari, alahan atau ekzema,” katanya.

Selain itu, susu ibu juga membantu memastikan kesihatan, memudahkan pergerakan usus, memperbaiki perkembangan otot sekeliling mulut dan tahap kecerdasan otak yang tinggi.

Ujarnya, masih ada ibu yang bimbang anak mudah berjangkit jika menyusukan bayi terutama jika mereka dijangkiti penyakit seperti demam.

Sedangkan ia sebaliknya. Apabila ibu dijangkiti penyakit seperti demam, sel darah putih dalam badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk melindungi dirinya.

Sebahagian sel darah putih akan masuk ke dalam payudara dan menghasilkan antibodi. Antibodi terhadap jangkitan ibu akan dirembeskan ke dalam susu untuk melindungi bayi.

Justeru, di sinilah peranan sebagai peruncit untuk mendapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu terutama jika mereka terbabit dalam industri berkaitan ibu hamil, bayi dan kanak-kanak.

Peruncit harus memberi kesedaran mengenai kebaikan penyusuan susu ibu untuk ibu dan bayi. Pada masa sama, beri keyakinan kepada ibu bapa bahawa menyusukan bayi bukanlah perkara yang sukar jika persediaan serta perancangan awal dilakukan.

Kebiasaannya, penyusuan bayi dirasakan sukar oleh sesetengah ibu bekerjaya kerana berasakan mereka memerlukan masa panjang untuk memerah susu dan dibimbangi akan mengganggu waktu bekerja.

“Disebabkan itu, persediaan awal sangat penting. Gali ilmu penyusuan susu ibu dengan menyertai kelas. Pilihlah hospital yang mesra bayi dan menyokong penyusuan susu ibu ketika bersalin.

“Suami juga perlu memberi banyak sokongan kepada isteri terutama jika isteri bersalin secara pembedahan. Selain memerlukan penjagaan lebih teliti, si ibu juga haruslah diberikan sajian berkhasiat untuk merangsang penyembuhan luka dan menguatkan badannya supaya dia dapat menyusukan bayi.

“Apabila kembali bekerja, berbincanglah dengan majikan untuk kebenaran meluangkan masa memerah susu, dapatkan peralatan penyusuan yang sesuai dan paling penting kerap memerah susu untuk mengekalkan penawaran susu,” katanya.

Ujarnya, ibu bekerjaya tidak perlu risau mengenai kebolehan mereka untuk menyusukan bayi walaupun sudah mula bekerja kerana terdapat peralatan penyusuan yang sesuai dan membolehkan mereka terus menyusukan bayi.

Penghasilan susu adalah berdasarkan konsep permintaan dan penawaran. Apabila kerap berlakunya stimulasi pada payudara melalui hisapan bayi atau pemerahan menggunakan pam, lebih banyak susu ibu akan terhasil, kata Dr Ahmad yang ditemui pada majlis perasmian pameran Babycon 2.0 yang diadakan di Viva Home, baru-baru ini.

Ini bermakna, jika tiada rangsangan diberikan kepada payudara ibu, maka penghasilan susu lama kelamaan akan menyusut. Jadi tidak hairanlah jika ramai wanita mengadu mengalami masalah kekurangan susu apabila hukum semula jadi ini tidak dipatuhi.

Pameran berlangsung selama sehari itu adalah anjuran Persatuan Peniaga Barangan Bayi (BPAM) kepada peruncit barangan bayi. Pelbagai barangan dan keperluan bayi dipamerkan bermula daripada alat bantuan penyusuan, permainan, kerusi bayi hinggalah penjagaan kulit si kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 2:33 PM