PEMERIKSAAN payudara ketika mandi membolehkan wanita peka sebarang perubahan seawal mungkin.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Penafian diri dan perasaan takut kepada diagnosis positif adalah dua sebab lazim mengapa wanita gagal melakukan pemeriksaan sendiri payudara bagi mengesan tanda awal kanser payudara seperti ketulan, benjolan, permukaan kulit yang kasar, sakit puting atau payudara.

Menurut jenama krim mandian, Shokubutsu, pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi adalah cara paling utama dan mudah dilakukan oleh setiap wanita demi kepentingan masa depan mereka.

Menegaskan kepentingan mesej ini, Shokubutsu melancarkan Kempen Shokubutsu Be My Reason (Pink Ribbon) bertujuan melahir dan meningkatkan lebih kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan sendiri payudara serta bagaimana pengesanan awal boleh mengelakkan tekanan, trauma serta kejadian yang tidak diingini.

Pengurus Pemasaran Produk Penjagaan Diri Southern Lion Jackie Low berkata, kempen itu turut memperkasakan kuasa yang dimiliki wanita bagi menjaga kesihatan mereka.

Katanya, Shokubutsu menggalakkan wanita meletakkan keluarga dan insan tersayang sebagai sebab utama mereka perlu menjalankan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi setiap hari kerana penyakit itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan dan kebahagiaan pesakit, malah ia juga secara tidak langsung memberikan kesan negatif kepada yang tersayang.


PEMERIKSAAN payudara sendiri bermula dengan angkat, luncur dan rasa .

“Ia perkara yang mudah, anda mampu menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kadar kelangsungan hidup sekiranya didiagnosis dengan keputusan positif secara melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap kali ketika mandi.

“Kami mendapati ramai wanita sedar akan kepentingan pemeriksaan payudara sendiri, namun masih ramai yang gagal menjadikannya sebagai rutin disebabkan penafian diri dan perasaan takut sekiranya ia positif,” katanya.

Menurutnya, sebagai jenama yang mengutamakan kepentingan penggunanya, Shokubutsu menggalakkan wanita di Malaysia untuk menjalankan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi kerana ia cara dan waktu terbaik untuk melakukannya.

Selain membolehkan pengesanan tanda awal kanser, pemeriksaan sendiri payudara juga membantu wanita untuk berdepan dan menangani perasaan takut, lalu berikhtiar menjaga kesihatan diri sendiri demi orang tersayang.

“Mereka ini adalah orang yang tersayang buat anda dan anda adalah peneraju kekuatan buat mereka. Cara terbaik untuk membalas kasih sayang mereka adalah dengan menjalankan pemeriksaan sendiri payudara setiap kali di kamar mandi,” katanya.

Kempen ini adalah kesinambungan dari inisiatif Ikrar untuk Pemeriksaan Sendiri Ketika Mandi Shokubutsu yang dilancarkan pada 2015 dan jenama itu berhasrat untuk mengembangkan kesedaran mengenai kanser pembunuh utama dalam kalangan wanita di Malaysia sekali gus menjadi jenama cecair sabun badan pertama yang mementingkan konsep pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi.

Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr Saunthari Somasundaram berkata, pemeriksaan sendiri payudara bukanlah hanya untuk mengesan ketulan atau abnormaliti.

“Apabila seseorang menjalankan pemeriksaan sendiri payudara, mereka akan dapat membiasakan diri dengan rupa bentuk dan struktur payudara supaya peka dengan sebarang perubahan seawal mungkin agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Jika anda seorang yang pelupa dalam melakukan pemeriksaan payudara, lakukanlah ketika anda sedang mandi kerana, sesetengah wanita berasakan pemeriksaan lebih senang dilakukan ketika kulit mereka basah dan licin,” katanya.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, Shokubutsu akan menyumbangkan 10 sen kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia daripada jualan rangkaian cecair mandian Shokubutsu Fresh Shower Foam, Shokubutsu World Famous Bathing Series dan Shokubutsu Active Guard Anti-Bacterial Body Wash.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Shokubutsu Be My Reason, layari www.facebook.com/ShokubutsuMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 1:05 PM