PESERTA bengkel leka mengadun produk penjagaan diri menggunakan minyak aroma terapi.
Intan Mas Ayu Shahimi


Mengadun wangian tubuh, lulur, mandian, syampu atau apa saja kelengkapan penjagaan diri menggunakan ramuan pati aroma pasti kedengaran menarik, bukan? Anda boleh memilih sama ada haruman bunga, kayu-kayuan, sitrus atau pudina. Semuanya bergantung kepada deria bau dan kemahuan diri.

Tidak ada istilah salah atau betul dalam mengadun haruman asalkan anda tahu jenis aroma bersesuaian dengan tubuh dan fungsinya dalam meningkatkan kualiti hidup.

Menghabiskan petang bersama Young Living baru-baru ini memang menyeronokkan. Teruja hendak meneliti tiap aroma, mencuba pelbagai resipi, membancuh, mengadun, membotolkan, kemudian melabel.

Umpama terlepas daripada bebanan dan komitmen kerja, seluruh perhatian terarah pada sesi DIY (Do-It-Yourself) hari itu. Aroma minyak terapi memenuhi ruang lokasi majlis, menerjah ke deria bau. Tenang, membuai perasaan.

KAEDAH betul menggunakan minyak aroma.

Ruang meja Scents of Self membuka peluang tetamu mengadun wangian mini mengikut empat pilihan resipi. Whisper Blend dinamakan untuk resipi wangian bunga-bungaan, Chill Pill kombinasi minyak aroma menenangkan, The Superman Blend bagi jiwa maskulin dan Have An Awesome Day melegakan hari yang memenatkan.

Selesai membotolkan wangian mini, meja tamu pula menanti dengan aktiviti DIY yang lebih menyeronokkan. Ternyata keunikan minyak pati aroma Young Living punya banyak alasan untuk diteroka.

Menurut Duta Jenama, Dr Lindsey Elmore, minyak pati pada asasnya adalah produk semula jadi yang diekstrak daripada spesies tumbuhan tertentu. Ia biasanya ditemui dalam akar, kulit, batang, daun, bunga dan bahagian lain tumbuhan. Bagaimanapun, bukan semua tumbuhan mampu menghasilkan minyak pati.

“Ramai antara kita tidak tahu minyak pati sebenarnya tidak berminyak. Ia mengandungi sebatian larut minyak dalam tumbuhan yang memberikan ciri aroma dan manfaat tersendiri.

“Sehingga ke hari ini, penggunaan minyak pati membawa banyak manfaat kepada kehidupan insan, menawarkan pelbagai kegunaan daripada kecantikan kepada kesihatan fizikal dan kesejahteraan emosi. Pilihan minyak pati bagaimanapun bergantung kepada kepada tujuan atau keperluan individu,” katanya.

MENGHIDU aromaterapi.

Jelas Dr Lindsey, minyak pati diserap menerusi kulit dan sedutan. Oleh itu, pelbagai kaedah aplikasi dicipta berasaskan kesan yang diingini.

Ia boleh digunakan sebagai minyak tunggal atau adunan minyak yang saling melengkapi untuk menghasilkan kesan bersama. Dalam kehidupan harian, aplikasi minyak pati biasanya dilakukan sama ada menerusi sedutan aroma atau topikal.

“Kaedah paling biasa kita lakukan adalah dengan menitiskan minyak pati ke tapak tangan, menggosok dan kemudian menghidu. Terbukti resapan adalah cara paling mudah untuk mempengaruhi ‘mood’, emosi dan daya tumpuan.

“Selain menggosok dan menekup ke hidung serta mulut, ia juga boleh dilakukan menggunakan alat ultrasonik. Alat ini berfungsi meresapkan udara dingin atau udara suhu bilik kerana haba boleh menjejaskan kualiti minyak pati.

“Selain itu, minyak pati juga boleh disapukan setempat pada kulit menggunakan pelbagai teknik. Kulit boleh menyerap sebatian aktif dalam minyak pati untuk mencapai kesan setempat.

“Disebabkan kekuatan dan kepekatan minyak pati, disyorkan supaya sesetengah minyak pati dicairkan dahulu dalam minyak sayuran tulen, sebelum disapukan pada bahagian tubuh,” katanya.

Selain berkongsi pengetahuan mengenai minyak aroma terapi, Dr Lindsey turut meluangkan masa membimbing tetamu mengadun empat resipi produk penjagaan diri yang ringkas. Resipi boleh diubah suai mengikut kesesuaian aroma dan fungsinya.

PESERTA bengkel leka mengadun produk penjagaan diri menggunakan minyak aromaterapi.

Panduan memilih

1. Lavender, geranium atau ylang ylang untuk suasana berehat dan bersantai selepas seharian penat bekerja. Aroma indah ini tentu sekali mudah membangkitkan mood romantis. Malah menenangkan hari buat ibu yang keletihan.

2. Bagi yang mengidamkan suasana tenang di hutan, cedarwood, idaho balsam fir dan northern light black spruce adalah pilihan nyaman yang mampu menstabilkan perasaan. Aroma kayu-kayuan ini cukup sesuai digunakan pada saat penuh tekanan dalam gaya hidup yang sibuk, menceriakan pagi yang lesu dan menguatkan emosi ketika diri berdepan hari mencabar.

3. Aroma sitrus mungkin menjadi asas kepada wangian musim bunga dan musim panas, namun ia tidak lapuk dek hujan. Tidak seperti aroma bunga-bungaan dan kayu-kayuan, aroma sitrus digemari oleh lelaki dan wanita kerana baunya yang menyegarkan. Minyak pati lemon, oren dan citrus Fresh adalah antara contoh haruman yang sesuai untuk menyejukkan dan menyegarkan hari anda yang agak perlahan.

4. Aroma pudina memberi kesan menyegarkan seperti aroma sitrus. Ia bukan sahaja membantu memberi tenaga tetapi menaikkan semangat. Minyak pati Peppermint, Eucalyptus radiata dan Spearmint antara pilihan untuk individu yang inginkan kebebasan dan ruang yang luas untuk bergerak.

HASIL produk DIY.

Resipi ringkas

SKRUB TUBUH

• 150g gula perang

• 2 sudu minyak sayuran (V6)

• 5 titis citrus fresh

• 5 titis lime

• 5 titis peppermint

• Adun bahan dan simpan dalam bekas kedap udara

RENDAMAN KAKI

• 100g garam bukit

• 1 sudu minyak sayuran (V6)

• 3 titis lavender

• 4 titis eucalyptus radiata

• 3 titis spearmint

• Adun bahan dan simpan dalam bekas kedap udara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 1:48 PM