CERIA dan selesa digayakan.
TURBAN untuk si manja yang lasak.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bayi dan kanak-kanak perempuan pastinya tidak dapat dipisahkan dengan perhiasan di kepala. Aksesori seperti cekak, reben dengan kuntuman bunga dan turban menjadi antara pilihan terkini ibu bapa untuk menampakkan sisi comel si manja.

Selain kelihatan manis, pemakaian aksesori ini juga bagi membiasakan bayi dengan sesuatu di kepala sejak kecil. Hasilnya bayi kurang berasa rimas dan kekok apabila disarungkan turban atau tudung apabila bertambah usia.

Hal ini turut diakui pengasas Puteri Megat, Ungku Hazwani Ungku Yacob yang juga pengeluar perhiasan bayi dan kanak-kanak apabila ingin melihat bayi kelihatan comel dan bergaya dengan pelbagai aksesori sesuai usia mereka.

“Saya tertarik mengeluarkan pelbagai jenis hiasan kepala selepas menyertai ekspo jualan pakaian Muslimah dan melihat rakan menjual produk kraf tangan berasaskan fabrik felt, kapas dan reben.

“Disebabkan sifat ingin mencuba saya mula menghasilkan rantai kunci, sepit rambut, pin tudung, bantal, bunga tangan dan pelbagai barangan berasaskan felt, kapas dan reben,” katanya.

Pengalaman membuat hantaran perkahwinan dan pertunangan untuk saudara mara dan rakan digunakan bagi mengembangkan minat dalam bidang kraf tangan bagi menjana pendapatan.

Sedikit demi sedikit, perniagaan ini berkembang sehingga dia dapat menyewa tapak perniagaan dalam pusat beli-belah dan seterusnya mengambil pekerja.

Pada peringkat permulaan, jenama ini memberikan tumpuan kepada penghasilan perhiasan kepala dan cekak diperbuat daripada reben, diikuti felt dan kapas dari semasa ke semasa secara minimum bagi memberikan pilihan kepada pelanggan. Pada peringkat ini juga, Hazwani mula mengorak langkah membekalkan produk jenama sendiri Puteri Megat kepada kedai barangan bayi.

Jelas Hazwani, setiap rekaan dijahit sendiri dengan bantuan suami, Rostam Affendi Mohd Shuhaimi. Apabila sudah berkembang, dia mengambil pekerja bagi membantu urusan menjahit manakala Hazwani memberikan tumpuan memantau kualiti dan menyusun jadual penghasilan barangan mengikut tempahan.

“Dari segi jadual kerja, semua urusan menjahit dijalankan sepenuhnya di kedai. Namun ketika musim perayaan saya perlu berlipat gandakan usaha dengan menjahit di rumah disebabkan permintaan sangat tinggi sama ada untuk belian runcit atau borong,” ujarnya.

Menekankan konsep ceria dan ringkas, kebanyakan rekaan cekak Puteri Megat menggunakan rona terang seperti kuning, merah, hijau, ungu dan merah jambu. Rekaan ringkas dan tidak terlalu sarat dengan batu dan manik membuatkan ia diminati ramai.

Ada ketikanya Hazwani membuat rujukan di Internet berkenaan trend dan rekaan terkini bagi mendapatkan inspirasi. Namun ia disesuaikan dengan konsep ceria dan ringkas.

Produk perhiasan kepala ini boleh digunakan bayi berumur dari tiga bulan sehingga tiga tahun. Ada juga permintaan untuk bayi baru lahir atau kurang dari tiga bulan serta kanak-kanak melebihi usia tiga tahun.

Namun apa yang membuatkan produk ini istimewa apabila ia dihasilkan sendiri bermula peringkat penghasilan bunga sehingga menyiapkan perincian kepala.

“Saya akui pelanggan sangat teliti ketika membeli produk untuk anak mereka. Sebab itu saya menggunakan fabrik berkualiti dan

selesa yang dijahit sendiri. Memang pelanggan boleh merasai dan melihat jahitan yang kemas pada setiap produk.

“Bukan itu sahaja setiap dua atau tiga bulan, banyak rekaan baru dikeluarkan. Ini menjamin produk saya sentiasa segar dengan rekaan terkini,” katanya yang mengeluarkan ratusan produk sejak dilancarkan pada 2010.

Selain cekak dan perhiasan kepala, turut disediakan adalah tudung dan turban untuk si manja. Menggunakan fabrik lycra Korea kerana mempunyai ketebalan yang sesuai untuk pemakaian bayi agar tidak cepat panas.

“Tudung yang disediakan seawal usia enam bulan hanyalah untuk kecantikan dan keceriaan sahaja. Pemakaian tudung pada peringkat usia sebegini tidak perlu dijadikan kewajipan atau paksaan yang akhirnya boleh merimaskan bayi. Pemakaian tudung hendaklah berdasarkan keselesaan, apabila bayi berasa panas dan rimas selepas jangka masa tertentu, tudung hendaklah dibuka,” nasihatnya.

Menggunakan medium penjualan menerusi dalam talian dan juga butik vendor dengan lebih 50 wakil jualan yang menjual barangan bayi iaitu Tateh, Mamayayazone, Lunatots dan Mama’s Love, yang terdapat di Kulai, Johor Bahru, Batu Pahat, Bandar Baru Bangi, Shah Alam, Selayang, Rawang dan Putrajaya.

Harga tudung bayi Puteri Megat bermula RM27 manakala perhiasan kepala bermula dari harga RM10, RM15, RM20 dan RM23. Juga turut menyediakan rekaan eksklusif dan mewah mengikut kehendak pelanggan.

Tip pemakaian tudung untuk si manja:

1. Pilih waktu tertentu untuk pakaikan tudung

Pakaikan tudung untuk anak-anak pada masa-masa tertentu sahaja seperti selepas mandi, bergambar (majlis kahwin, hari raya atau hari jadi), keluar rumah dan ketika ke surau. Jika baru setengah jam dipakai, anak sudah menanggalkan tudung, tidak mengapa. Ibu bapa harus mengikut keselesaan anak. Apabila melihat tangan bayi seakan ingin membuka tudung itu, bantu dia menanggalkan tudungnya. Jangan paksa, gunakan pendekatan memujuk.

2. Beri pujian selepas anak memakai tudung

Setiap kali selepas memakaikan tudung pada anak, puji terus katakan padanya “Cantiknya Ayla” sambil tersenyum padanya. Galakan ayah dan anak yang lain membuatkan dia gembira dan seronok bertudung.

3. Pilih tudung yang mudah dipakai dan selesa

Pemilihan jenis tudung amat penting. Sebolehnya cari tudung segera berkonsepkan sarung. Ia lebih cepat dan menjimatkan masa selain selesa dipakai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:11 PM