PESERTA bergerak dalam gelap dengan bantuan lampu suluh kepala.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Sepuluh peserta akhir kempen Energizer ‘Shop In The Dark’ 2017 membuktikan mereka adalah yang terbaik apabila dicabar membeli barangan dalam gelap untuk memenangi ganjaran membeli-belah selama lapan minit bernilai RM3,500, baru-baru ini.

Pendaftaran peserta dijalankan dengan kerjasama pasar raya Mydin bagi mencapai lebih ramai orang menyertai kempen itu dan Energizer memperkenalkan tiga cara berbeza untuk menarik perhatian ramai termasuk satu siri jelajah cabaran realiti maya (VR), penyertaan melalui pos dan peraduan digital Facebook.

Siri jelajah cabaran VR berkenaan memberikan kelainan bagi membeli-belah dalam gelap menggunakan mesin VR di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor.

Pengarah Perniagaan Energizer (Malaysia dan Singapura), Lee Kim Chye berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan sama ada pengguna Energizer atau pengunjung Mydin yang memilih jenama itu sebagai solusi pencahayaan dan tenaga.

“Ini adalah tahun kedua kami menganjurkan kempen membeli-belah dalam gelap. Pengenalan kepada elemen realiti maya bagi cabaran dijalankan di cawangan Mydin terpilih memberikan pengalaman baru kepada orang ramai.

“Kami mahu mengucapkan tahniah kepada peserta akhir yang menerima manfaat daripada bateri Energizer Max yang tahan lapan kali lebih lama yang digunakan sebagai penyuluh ketika cabaran berlangsung,” katanya berucap pada cabaran akhir di Mydin Subang Jaya.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin. Sepuluh peserta yang terpilih ke peringkat akhir bagi kempen berkenaan membabitkan empat pemenang daripada cabaran siri jelajah, lima pemenang daripada penyertaan melalui pos dan satu pemenang peraduan Facebook.

Mereka menerima bonus sesi beli-belah selama lapan minit dalam gelap dengan menggunakan troli beli-belah dan lampu kepala Energizer. Peserta dibenarkan mengambil apa saja barang runcit termasuk bateri Energizer daripada rak dan memenuhkan troli dengan nilai keseluruhan RM3,500 mengikut peraturan ditetapkan.

Seorang peserta, Mohd Fariq Salehudin dari Ampang, Selangor berkata, cabaran berkenaan pertama kali disertainya dan ia memberi pengalaman baru buat dirinya.

“Saya tidak sangka akan terpilih menjadi antara 10 finalis dalam acara ini. Saya suka membeli-belah dan kempen ini membolehkan saya melakukan apa yang saya suka dengan keseronokan dan cabaran melakukannya di dalam gelap.

“Memang sukar mengenal pasti lorong dan produk yang betul pada mulanya, tetapi dengan bantuan cahaya daripada lampu kepala saya berupaya bergerak dalam gelap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:51 AM