SEBAHAGIAN pelajar belajar menikmati kebaikan susu dan pemakanan sihat.
SURAIYA (tiga dari kiri), Pesol (lima dari kiri), P Kamalanathan dan Saw (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kemenangan kepada SK Tanah Hitam.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Sekolah luar bandar juga mampu bersaing dari segi akademik dan pencapaian kokurikulum jika diberi peluang serta perhatian yang lebih daripada pihak guru serta kementerian berkaitan.

Ia dibuktikan apabila ada sekolah luar bandar yang mampu meraih kejayaan apabila diberi peluang menyertai program atau pertandingan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Melalui program dan pertandingan berkenaan, sedikit sebanyak ia boleh dijadikan sebagai platform terbaik di dalam menguji keupayaan pengurusan sekolah terutama kepada guru dan pelajar sekolah.

Walaupun masih dalam musim peperiksaan, sekolah yang memenangi Anugerah 3K 2017 mempunyai sebab yang baik untuk meraikan kemenangan kerana berjaya mengetengahkan daya kreativiti, kegigihan dan semangat kerja berpasukan dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat di sekolah masing-masing.

Dimulakan Kementerian Pendidikan pada 1991, Anugerah 3K (Kebersihan, Kesihatan, Keselamatan) adalah program anugerah kebangsaan tahunan yang mendidik dan memberi pengiktirafan kepada murid sekolah rendah serta menengah dalam usaha meningkatkan persekitaran sekolah berdasarkan tiga aspek utama - kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

PROGRAM BERMANFAAT

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan, anugerah yang diperkenalkan semula pada 2015 melalui platform digital itu menyaksikan peningkatan ketara daripada 51 kepada 200 sekolah.

“Saya berasa sungguh gembira menyaksikan peningkatan penyertaan sekolah setiap tahun. Lebih banyak kesedaran mengenai program ini dapat disebarkan dengan mencipta momentum sebelum memasuki peringkat kebangsaan yang bermula pada pertengahan tahun kedua.

“Perkara seperti ini akan menggalakkan lebih banyak penyertaan dari setiap negeri bagi memberi pengiktirafan kepada sekolah atas usaha menaik taraf persekitaran tempat belajar dan menerapkan nilai 3K kepada warga sekolah khususnya pelajar,” katanya.

Jelasnya, pihak kementerian memandang serius isu yang membabitkan sekolah seperti peningkatan masalah obesiti, pencegahan wabak seperti denggi dan kes membabitkan keselamatan pelajar termasuk buli atau merosakkan kemudahan sekolah.

Untuk melaksanakan program yang memupuk nilai positif kepada warga sekolah, Dutch Lady Malaysia menjadi rakan strategik bagi komponen kesihatan dan penaja utama Anugerah 3K melalui anugerah khas yang diperkenalkan, Drink Move Be Strong (DMBS).

Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Saw Chooi Lee berkata, pihaknya berbesar hati mengumumkan projek DMBS yang kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada program 3K.

“Ia secara tidak langsung menggalakkan sekolah yang menyertainya memainkan peranan penting untuk menggalakkan pemakanan dan gaya hidup sihat kepada pelajar.

“Projek khas ini menggalakkan pelajar minum dua gelas susu sehari dan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam melakukan aktiviti fizikal.

“Menerusi projek ini, pihak kami mengadakan ceramah nutrisi dan aktiviti fizikal berkumpulan di sekolah bagi membantu pelajar sekolah rendah dan menengah memahami kepentingan pengambilan diet yang seimbang.

“Ini termasuk minum susu dan menjalankan senaman secara kerap kerana kedua-duanya membantu memupuk amalan gaya hidup yang sihat serta aktif,” katanya.

Jelasnya, buat kali pertama, anugerah pada tahun ini dibuka untuk peringkat negeri dan menyaksikan peningkatan penyertaan sebanyak empat kali ganda.

Pihaknya sangat gembira apabila lebih banyak sekolah yang menghargai nilai program 3K dan DMBS sekali gus menyertai program bagi membantu pelajar belajar dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ini kerana sangat penting untuk mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan gaya hidup sihat memandangkan semakin ramai orang dewasa Malaysia yang termasuk dalam kategori mempunyai berat badan berlebihan dan obes termasuk masalah obesiti pada bahagian abdomen.

Obesiti menjadi faktor utama yang membawa kepada penyakit tidak berjangkit yang menyebabkan 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia.

INOVASI PINTAR, MUDAH

Pada majlis penyampaian hadiah yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Suraiya Syed Mohamad dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia, Pesol Md Saad, dua sekolah dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah 3K DMBS 2017 peringkat kebangsaan.

Dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Hitam, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) PAKA, Terengganu, masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh P Kamalanathan.

Menurut Guru Besar SK Tanah Hitam, Norhan Suid@Shuib, mereka berasa bangga dan berpuas hati kerana dipilih sebagai pemenang hadiah Anugerah 3K, berbaloi dengan penat lelah guru terbabit selama ini.

Biarpun dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, mereka tidak pernah berputus asa untuk merebut peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan bagi membuktikan kemampuan sekolah secara keseluruhannya.

“Ini adalah kali kedua kami menyertai pertandingan ini dan tahun lepas hanya sekadar berjaya merebut naib johan di peringkat negeri. Tahun ini, kami dipanggil untuk terus bertanding dan berazam melakukan lebih baik di peringkat kebangsaan selepas menjadi johan peringkat negeri.

“Kesungguhan guru yang diberi tugas dan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira waktu siang atau malam menjadi antara faktor penyumbang kepada kejayaan ini.

“Pada masa sama, kami banyak memberi tumpuan terhadap elemen perkembangan dunia masa kini yang lebih mudah dan pintar. Banyak sumber yang berkaitan teknologi maklumat dan faktor terkini itu digunakan sebaik mungkin untuk dimasukkan ke dalam 3K,” katanya.

Jelasnya, di sekolah berkenaan ada pelbagai inovasi yang menjurus kepada 3K dan tidak mahu terikat kepada kaedah lama seperti pembinaan taman.

Mereka memberikan tumpuan terhadap perkara yang mudah seperti perisian yang diletakkan dengan aspek 3K dan mendapati sistem berkenaan lebih mudah digunakan.

Selain itu, sekolah yang menempatkan seramai 523 murid itu juga banyak menekankan kepada keunikan dan kelainan kaedah lama seperti surau yang menggunakan paip sensor bagi membantu menjimatkan air serta tenaga.

Banyak cabaran yang mengiringi usaha dan penat-lelah mencari idea bersesuaian. Norhan akui salah satu cabaran adalah mencari dana untuk merealisasikan idea berkenaan yang membabitkan kos agak besar.

Begitupun, mereka berasa bertuah kerana mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen di situ yang memberi sumbangan bagi membangunkan idea 3K yang mengambil tempoh setahun dengan kos RM30,000.

“Bagi saya perkara yang lebih penting adalah kesan pelaksanaan 3K ini dalam kalangan murid sekolah. Saya dapat lihat mereka lebih berdisiplin kerana program ini dapat membentuk diri dan jiwa murid.

“Kami akan pastikan setiap murid ada semangat 3K dalam diri mereka dan ia ditanam bermula masuk ke dalam kawasan sekolah hingga pulang ke rumah.

“Lebih membanggakan apabila peratus kehadiran semakin meningkat kerana keadaan sekolah yang bertambah cantik dan kondusif sekali gus menarik minat mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK PAKA, Rosmani Besar berkata, ia adalah kali pertama penyertaan sekolah itu dalam pertandingan berkenaan.

“Kami gembira apabila dapat menerapkan elemen 3K dalam tempoh yang diberikan. Ia akan diteruskan dan diterapkan dalam diri pelajar bukan saja di peringkat sekolah tetapi hingga ke luar sekolah.

“Program ini sememangnya membabitkan banyak pelajar terutama dari segi kebersihan dan keselamatan. Kesannya dapat dilihat pada diri pelajar apabila mereka mula mengambil berat aspek keselamatan seperti mengikut peraturan sekolah dan jalan raya.

“Kini, lebih ramai pelajar yang memakai topi keledar dan memiliki lesen motosikal ketika ke sekolah. Bukan itu saja, bagi menyahut seruan penjagaan kesihatan sejak di peringkat sekolah lagi, kami mengambil berat mengenai jualan makanan di kantin dan mengamalkan kaedah pinggan sihat seperti dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia, suku suku separuh kepada pelajar,” katanya.

Penyertaan program Anugerah 3K dan DMBS peringkat negeri berlangsung antara Mac hingga awal Mei 2017 manakala acara penyampaian hadiah bagi sekolah yang menang di setiap negeri dibuat pada pertengahan Mei hingga Julai.

Sekolah yang menang di peringkat negeri akan dinilai untuk anugerah peringkat kebangsaan dan keputusan akhir diumumkan pada 30 Oktober 2017.

Di majlis sama, turut disampaikan pemenang bagi Projek Khas DMBS, masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM500. Pemenang kategori Drink dimenangi SK Lahad Datu 2, Sabah dan SMK Air Itam, Pulau Pinang.

Pemenang kategori Move, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Krokop, Sarawak dan SMK St Bernadette’s Convent. Pemenang kategori Be Strong pula dimenangi SK Lahad Datu 2, Sabah dan SMK Puteri Ampang, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:55 AM