QI (dua dari kiri) bersama pengait yang terbabit dalam projek berkenaan.
ANTARA hiasan menggunakan seni kait yang ditampilkan.
ANTARA hiasan menggunakan seni kait yang ditampilkan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Berjalan di pesisir pantai dengan bayu laut menerjah ke wajah pastinya satu perkara yang menenangkan. Bertambah damai dan menyeronokkan apabila suasana persekitaran cukup ceria dan bersih dengan hiasan unik.

Tidak hanya di tepian pantai, malah hiasan berwarna-warni yang dihasilkan menggunakan corak dan warna benang kait yang menceriakan itu turut boleh didapati di sekitar kawasan pusat beli-belah.

Idea menarik itu pasti mampu menarik perhatian sesiapa saja yang memandang kerana kebiasaannya hasil kerja tangan seni kait itu lebih banyak dipamerkan di gerai atau galeri berbanding disemadikan pada batang pokok atau tiang.

Biarpun usaha dilakukan komuniti ini agak berbeza, sedikit sebanyak ia membuka mata ramai orang awam mengenai kecantikan seni kait di samping menceriakan suasana setempat.

Idea menerapkan seni kait atau ‘yarnbombing’ ke negara ini dicetuskan oleh selebriti, Qushairi Razali atau Qi Razali yang mendapat ilham daripada pengembaraannya ke Argentina.

Selepas melihat seni itu yang rancak berkembang di sana pada 2011 dan2012, dia membawa bersama idea berkenaan apabila pulang ke tanah air.

Dikenali sebagai projek Yarnbombingmy (Yarn bombing Malaysia atau YBMY), ia adalah komuniti seni jalanan urban berasaskan benang (grafiti benang) daripada seni kait yang diasaskan oleh Qi dan diterajui Mohd Fahmi Mohd Sidek, Mohd Hafizulhilmi Mohd Sidek serta Nia Atasha Rosli.

Menurut Qi, ia dianggap sebagai penggerak untuk mengetengahkan idea berani dan kemampuan pengait dalam memastikan impian yang dibawa itu menjadi satu realiti.

“Awal penubuhan, kami tidak memilih nama sesuai apatah lagi selepas banyak percubaan mencadangkan idea itu kepada beberapa pihak tertentu ditolak.

“Secara tidak sengaja kami cuba cadangkan idea berkenaan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu dan tanpa menyangka ia diterima sekali gus mengambil inisiatif untuk menubuhkan YBMY.

“Pada mulanya, ia hanya dianggotai empat orang. Percubaan projek pertama dilaksanakan pada sambutan Hari Kebangsaaan 2016 dan kami hanya memilih dua pokok di Ipoh untuk dibalut dengan hasil seni kait.

“Apabila projek pertama berjaya dilaksanakan, kami dapat menarik perhatian 31 pengait untuk bekerjasama dengan UPEN bagi menjayakan projek kedua, YBMY2.0.

“Kami memilih meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri dengan menghias 32 pokok di sekitar pantai Batu Buruk,” katanya.

Jelasnya, hiasan seni kait yang dibalut pada pokok itu kemudian dipindahkan ke kawasan landskap sekitar KT Walk dan PB Square. Tempat yang dipilih untuk dihias dengan seni kait kebiasaannya berasaskan alam semula jadi yang berkaitan tumbuh-tumbuhan selain tiang dan bangunan.

Di sebalik keunikan hiasan pada pokok dan landskap yang terpilih, mereka perlu memastikan hasil kerja tangan yang terdedah kepada cuaca tidak menentu itu dijaga dengan baik.

Namun, untuk menjaga kualiti dan warnanya bertahan lama, ia perlu disembur semburan yang memiliki ciri kalis cuaca dan penjagaannya juga perlu diambil perhatian.

Bagaimanapun, jika hiasan berkenaan tidak lagi relevan ia terpaksa ditanggalkan atau diganti baru. Oleh itu, untuk projek akan datang komuniti terbabit merancang menukar setiap hiasan kait setiap enam bulan sekali.

Ujarnya, tujuan utama melaksanakan projek berkenaan adalah untuk bergerak dalam komuniti bagi membawa idea seni kait ini ke arah urban dan mengumpul pengait di bawah satu komuniti.

Pada masa sama, objektif penubuhannya adalah untuk meneruskan dan mengangkat martabat seni kait di negara ini sebagai produk yang unik.

“Sebenarnya, seni kait ini sudah wujud sejak dari dulu lagi, tapi dalam komuniti yang sangat kecil dan disebabkan itu, projek ini diwujudkan. Buat masa sekarang belum ada perancangan melaksanakan projek menghias pokok dengan produk seni kait, tapi akan datang mungkin lebih banyak projek akan dianjurkan.

“Terkini, kami memberi tumpuan terhadap penghasilan koleksi baju-T berasaskan hiasan pokok yang menggunakan seni kait bagi memberi peluang kepada peminat menggayakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:12 AM